Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengamat: Larangan kenderaan asing beli RON95 harus dikaji semula

Kenderaan asing beli RON95 pada harga pasaran sumbang kepada ekonomi, tidak jejas manfaat rakyat M’sia
Sep 27, 2025 | 5:30 AM
Subsidi petrol RON95, M’sia, rakyat dapat manfaat
Pengusaha stesen minyak Petronas di Sungai Besi, Kuala Lumpur, membekukan cuti pekerjanya pada 30 September bagi memastikan kelancaran pelaksanaan inisiatif penyasaran subsidi petrol RON95 atau Budi95. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Malaysia membelanjakan sejumlah RM20 bilion ($6.11 bilion) setahun pada 2023 dan 2024 untuk menanggung subsidi petrol RON95 secara pukal.

Subsidi itu, yang sudah bertahun-tahun disediakan buat rakyat Malaysia, menyebabkan banyak ketirisan dengan sekitar 20 peratus subsidi berkenaan turut dinikmati warga asing dan kenderaan asing yang sebenarnya tidak layak mendapat manfaat daripadanya.

Kos yang begitu besar itu telah menyebabkan ketirisan sejumlah wang kerajaan kepada pihak tidak sepatutnya, dengan perbelanjaan itu jika dijimatkan boleh dilaburkan dalam pelbagai projek pembangunan demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

Justeru, pengumuman Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 22 September lalu mengenai pelaksanaan inisiatif penyasaran subsidi petrol RON95 yang dinamakan Budi Madani RON95 (Budi95) dianggap hadiah bermakna buat warga Malaysia.

Menerusi Budi95, warga Malaysia berusia 16 tahun ke atas yang memegang lesen memandu aktif layak menikmati penurunan harga petrol RON95 daripada RM2.05 seliter ketika ini, kepada RM1.99 seliter bermula 30 September, tanpa mengambil kira latar belakang ekonomi individu berkenaan.

Namun, harga istimewa itu hanya dikhaskan buat warga Malaysia yang perlu membuat pembelian dengan menyertakan kad pengenalan (MyKad) mereka sebagai pengesahan, dengan had 300 liter sebulan.

Bagi warga asing yang bermastautin di Malaysia dan menggunakan kenderaan dengan nombor pendaftaran tempatan, mereka perlu membayar kos RON95 pada harga yang dijangkakan sekitar RM2.60 seliter bermula tempoh sama.

Peraturan ketat sedia ada yang melarang kenderaan pendaftaran asing termasuk dari Singapura mengisi petrol RON95 masih diteruskan.

Justeru, kenderaan asing termasuk dari Singapura masih tertakluk kepada peraturan yang hanya membenarkan mereka membeli petrol RON97 seperti sebelum ini.

Mengulas soal larangan kenderaan asing membeli RON95, pakar ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai, berpandangan dasar itu wajar dikaji semula.

“Jika warga asing membeli pada harga pasaran tanpa subsidi, kerajaan tidak menanggung kerugian. Malah pelancong asing terutama dari Singapura yang membeli petrol di Malaysia turut menyumbang kepada ekonomi negara. Jadi, halangan itu tidak sepatutnya kekal,” katanya.

Menurutnya, isu ketirisan hanya timbul apabila subsidi turut dinikmati oleh warga asing.

Namun, jika harga diapungkan kepada paras pasaran sekitar RM2.60 seliter, pembelian oleh kenderaan asing tidak lagi menjadi masalah.

Sementara itu, Profesor Dr Barjoyai berkata keputusan kerajaan pimpinan Datuk Anwar menurunkan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter sambil melaksanakan penyasaran subsidi bermula 30 September bukan saja memberi kelegaan kepada warganya, malah turut mencetuskan pelbagai dimensi politik dan ekonomi.

Pakar ekonomi dan Provost Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (Must), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai.
Pakar ekonomi dan Provost Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (Must), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai. - Foto ihsan PROFESOR EMERITUS DR BARJOYAI BARDAI

Menurut beliau, langkah itu pastinya memberi kelebihan politik kepada kerajaan Madani, namun beliau menegaskan ia bukan sekadar soal politik semata-mata.

Beliau menyifatkan keberanian kerajaan melaksanakan langkah yang ditunggu-tunggu sejak 15 tahun lalu itu sebagai satu pencapaian penting, walaupun jumlah penjimatan tidak kelihatan besar secara mutlak, namun disifatkan sebagai permulaan ke arah sistem subsidi yang lebih telus dan mampan.

“Yang lebih penting ialah kerajaan membuktikan kesanggupan menjaga kesejahteraan rakyat.

“Penurunan harga minyak juga menunjukkan kerajaan menunaikan janji pilihan raya, sekali gus memberikan sentimen positif kepada rakyat,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Dari segi ekonomi, penurunan harga enam sen seliter, kata Profesor Dr Barjoyai, walaupun secara kasar dilihat kecil, namun memberi kesan besar kepada perbelanjaan kerajaan dan pengguna. 

Menurutnya, dengan anggaran setiap warga yang menikmati subsidi petrol RON95 itu mampu menjimatkan sehingga RM250 sebulan, kerajaan Malaysia pula mampu menjimatkan sehingga RM5 bilion setahun dengan penyasaran subsidi tersebut.

Beliau, yang juga Provost di Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (Must), berkata pelaksanaan penyasaran subsidi menutup ruang ketirisan, khususnya pembelian petrol oleh kenderaan pendaftaran asing yang sukar dikawal. 

“Kerajaan telah memulakan langkah dengan menghapuskan subsidi diesel pada Jun 2024 yang menjimatkan RM4 bilion dan kini RON95 pula dijangka menjimatkan RM5 bilion.

“Secara keseluruhan, subsidi tahunan dapat dikurangkan daripada RM20 bilion kepada RM12 bilion,” katanya kepada BH.

Profesor Dr Barjoyai menambah, langkah itu bakal mencetuskan multiplier effect atau kesan berganda terhadap ekonomi negara. 

“Biasanya kesan ini antara 1.8 dengan 2.5 kali ganda yang akan membantu meningkatkan pertumbuhan Hasil Dalam Negara Kasar (GDP),” jelasnya.

Selain faedah ekonomi, Profesor Dr Barjoyai turut melihat aspek psikologi dan sentimen rakyat turut penting. 

“Apabila kerajaan sebelum ini memberi Sumbangan Asas Rahmah RM100 kepada semua warga, termasuk golongan berpendapatan tinggi (T20), ada yang menganggap ia kecil. 

“Tetapi sebenarnya semua pihak dapat rasakan manfaatnya dan dihargai.

“Hal yang sama berlaku dengan penyasaran subsidi petrol ini apabila kerajaan memberikannya tanpa mengira taraf ekonomi dan pendapatan.

“Ini satu penghargaan termasuk kepada golongan berkemampuan kerana mereka turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara melalui bayaran cukai tinggi,” katanya.

Pakar kewangan pengguna, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri, pula menyifatkan penurunan harga petrol RON95 bukan sekadar membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat, bahkan peluang terbaik buat warga Malaysia menguruskan kewangan dengan lebih bijak dan berhemah.

Pakar kewangan pengguna, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri.
Pakar kewangan pengguna, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri. - Foto BULETIN TV3

Menurutnya, rakyat kini berpeluang menikmati lebihan wang hasil penjimatan petrol yang boleh disalurkan kepada perkara lebih bermanfaat seperti tabungan kecemasan, perlindungan insurans atau takaful, serta menambah kemahiran diri dengan menghadiri kursus tertentu yang akhirnya boleh digunakan untuk menjana pendapatan tambahan.

“Subsidi bersasar memastikan rakyat tempatan menikmati harga petrol pada kadar terbaik sekali gus memberi ruang penjimatan dalam perbelanjaan bulanan.

“Apabila ada lebihan wang, ia boleh digunakan untuk perkara lain yang lebih penting.

“Malah dengan harga petrol turun, peniaga dan industri tidak lagi boleh menjadikan alasan kos bahan api ini untuk menaikkan harga barang atau perkhidmatan. 

“Sebaliknya mereka seharusnya menyokong usaha kerajaan mengurangkan kos sara hidup rakyat,” ujarnya kepada BH.

Dalam masa sama, Profesor Dr Mohamad Fazli, yang juga Dekan Fakulti Ekologi Manusia di Universiti Putra Malaysia (UPM), mengingatkan orang ramai agar tidak membazir hasil penjimatan petrol kepada perbelanjaan tidak perlu.

“Ini satu rahmat. Rakyat sepatutnya gunakan lebihan itu untuk simpanan kecemasan.

“Data menunjukkan hanya 48 peratus mampu menyediakan dana simpanan sekurang-kurangnya RM1,000.

“Ramai juga tiada perlindungan takaful. Jadi wang lebihan ini wajar disalurkan ke arah itu,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa harga petrol serendah RM1.99 seliter bukan jaminan kekal dan boleh berubah mengikut pasaran.

“Jadi ambil peluang berjimat sebaik mungkin ketika subsidi bersasar ini menjanjikan harga petrol yang murah,” katanya kepada BH.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz, mengharapkan orang ramai tidak panik dengan menyerbu stesen minyak pada hari pelaksanaan Budi95.

“Harga RM1.99 seliter untuk RON95 bukan hanya sehari, tetapi akan kekal untuk satu tempoh mengikut perubahan harga pasaran.

“Justeru orang ramai tidak perlu panik kerana kita tidak mahu berlaku insiden seperti ketika agihan Sara yang bermula pada 31 Ogos lalu,” katanya kepada BH.

Beliau turut berkata semua 4,221 stesen minyak di seluruh Malaysia sudah bersedia melaksanakan Budi95.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg