Topik diikuti
Pergi ke BHkuWarga S’pura ‘balik’ kampung beraya di desa M’sia nan permai
Warga S’pura ‘balik’ kampung beraya di desa M’sia nan permai
Semakin ramai sambut Aidilfitri sambil inap desa untuk pancing di sungai, petik buah-buahan dusun, nikmati pemandangan sawah
Warga S’pura ‘balik’ kampung beraya di desa M’sia nan permai
Bagi sebahagian warga Singapura, sambutan Aidilfitri sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tidak hanya diraikan dalam persekitaran bandar moden, sebaliknya kian berkembang dengan kecenderungan untuk merasai suasana beraya yang lebih tradisional di desa.
Semakin ramai warga Singapura memilih untuk menyambut perayaan di kawasan kampung berkonsep inap desa atau juga disebut homestay dan kampung stay, termasuk di beberapa kawasan di pinggir bandar di Malaysia.
Selain menikmati kemeriahan beraya dalam suasana kampung, pelbagai aktiviti seperti memancing di sungai, memetik buah-buahan segar dari dusun, berbasikal mengelilingi kampung dan menikmati pemandangan sawah yang menghijau, dilihat semakin popular dalam menggamit kehadiran masyarakat Singapura.
Menurut pengusaha konsep inap desa di Sekinchan, Selangor, Cik Rabi’atul Adawiyah Sabain, 36 tahun, trend itu jelas dirasai apabila kehadiran pelancong antarabangsa ke inap desa miliknya meningkat lebih 30 peratus sejak kebelakangan ini.
“Setakat ini, pengunjung antarabangsa paling ramai yang datang ke inap desa kami termasuk pada Aidilfitri adalah dari Singapura.
“Selain itu, pelancong dari Jepun, Korea, China dan Eropah juga antara yang mencatatkan kehadiran tertinggi. Setiap hujung minggu memang tak pernah kosong,” katanya kepada Berita Minggu (BM).
Terletak di tengah-tengah kawasan sawah padi, penginap bukan sahaja disajikan dengan pemandangan menghijau, malah dapat merasai suasana kampung termasuk tradisi membajak sawah yang sukar ditemui.
“Konsep kami ialah rumah tradisional. Pagi-pagi boleh dengar ayam berkokok, suasana memang tenang dan tetamu dapat pengalaman kehidupan desa yang asli,” katanya.
NOSTALGIA DESA
Menurutnya, pengunjung turut ditawarkan pelbagai aktiviti yang mengimbau nostalgia kehidupan desa.
Antaranya, termasuk sesi bergambar di sawah dengan persalinan baju kurung Kedah, yang dahulunya sinonim dengan pesawah wanita; mencuba pengalaman memancing menggunakan joran buluh, atau bersiar-siar mengelilingi kampung dengan basikal yang boleh digunakan secara percuma.
“Kita juga sediakan permainan tradisional seperti congkak, ceper dan batu seremban. Ramai yang teruja sebab ada yang tak pernah cuba,” katanya.
Selain penginapan di rumah kampung, pelancong juga boleh meneroka tarikan berhampiran seperti Muzium dan Galeri Padi, bergambar di replika kapal terbang di tengah sawah dan melawat ladang kelapa serta menikmati suasana pantai.
“Tidak lengkap kunjungan ke Sekinchan tanpa menikmati makanan laut tempatan. Pelancong disarankan mencuba hidangan seperti mentarang bakar dan belangkas bakar, yang amat sinonim sebagai tarikan menu unik di sini,” katanya.
Mentarang bakar ialah hidangan siput buluh yang dipanggang atau dibakar, biasanya di atas arang.
Ia merupakan makanan laut yang sangat popular dan unik, terutamanya di kawasan pesisir pantai negeri Selangor (seperti Sekinchan dan Kuala Selangor) serta di Perlis.
Belangkas bakar pula adalah hidangan eksotik yang berasaskan haiwan prasejarah laut, iaitu belangkas (horseshoe crab).
Jika mentarang popular kerana isinya, belangkas bakar pula diburu peminat makanan laut terutamanya kerana telurnya.
Pemilik inap desa di Hulu Langat, Selangor, Encik Azman Haron, 59 tahun, juga mengakui selain kehadiran pelancong domestik, penginap antarabangsa turut menyumbang kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan tempahan, dengan pelawat dari Singapura, Brunei dan Indonesia, antara yang tertinggi.
Menurut beliau, konsep inap desa itu mampu menampung antara 20 dengan 30 tetamu pada satu-satu masa, menjadikannya sesuai untuk percutian keluarga atau Hari Keluarga, termasuk pada perayaan seperti Aidilfitri dan Aidiladha.
Menurut Encik Azman, konsep rumah kayu yang dihiasi dengan barangan vintaj dan retro era 1980-an dan 1990-an, menghidupkan suasana nostalgia buat pengunjung dan nilai rumah tradisional, terutama kepada generasi muda yang semakin dikelilingi arus kemodenan.
“Pada setiap Hari Raya, teratak ini akan dihias dengan konsep kampung seperti pelita, lampu lap lip dan hiasan ketupat, untuk beri pengalaman sebenar suasana beraya di kampung buat tetamu,” katanya lagi.
Menariknya, kata Encik Azman, kawasan inap desa yang hanya kira-kira 15 hingga 20 minit perjalanan dari Kuala Lumpur itu turut dikelilingi pokok buah-buahan seperti rambutan, manggis dan belimbing, malah durian juga sedang ditanam, membolehkan pengunjung menikmati hasilnya secara percuma ketika musim tiba.
Selain itu, pengunjung juga boleh menikmati kolam air panas berhampiran serta meneroka tarikan alam semula jadi seperti sungai dan air terjun yang terletak tidak jauh dari kawasan tersebut.
Menurut data Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, di bawah Program Pengalaman Homestay Malaysia (PPHM), seramai 977,666 pelancong memilih inap desa sebagai destinasi percutian mereka sepanjang 2025, dengan 90,907 daripadanya merupakan pelancong antarabangsa, termasuk dari Singapura.
Pada 2024, daripada jumlah keseluruhan 118,191 pelancong antarabangsa yang menginap di inap desa berdaftar di bawah program tersebut, seramai 21,503 adalah pelancong dari Singapura.
Bahagian Komunikasi Korporat Tourism Malaysia, berkata terdapat peningkatan ketara minat pelancong Singapura terhadap segmen pelancongan khusus, antaranya ekopelancongan dan alam semula jadi, pengalaman inap desa, pelancongan mesra Muslim, kesihatan dan sukan memancing.
Kementerian juga melihat potensi inap desa di bawah program PPHM sebagai pemacu utama ekonomi luar bandar yang sangat maju.
“Sehingga kini terdapat 251 kluster inap desa di serata Malaysia yang berdaftar merangkumi 594 kampung dengan penglibatan 3,514 pengusaha.
“Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, Malaysia mempromosi kehadiran pelancong terutama Singapura untuk menikmati experimental tourism di negeri-negeri lain yang menawarkan pengalaman berbeza dan unik mengikut tradisi negeri,” menurut Tourism Malaysia.
Experimental Tourism adalah satu pendekatan melancong, di mana fokus utamanya bukan kepada destinasi popular, tetapi kepada cara atau kaedah kita meneroka sesuatu tempat.
Ia bukan tentang melawat tempat-tempat ‘viral’ atau mercu tanda ikonik, sebaliknya tentang melakukan aktiviti yang aneh atau rawak demi mendapatkan pengalaman yang unik.
PENGALAMAN WARGA S’PURA
Suri rumah dari Woodlands, Singapura, Cik Nurul Akmal Razali, 29 tahun, berkata pengalaman menyambut Aidilfitri di inap desa di Sekinchan pada 2025, menjadi antara kenangan paling bermakna buat dirinya sekeluarga.
Keputusan untuk beraya dalam suasana kampung di Malaysia dibuat selepas kedua-dua ibu bapanya telah meninggal dunia, sekali gus mendorong beliau dan suami, Encik Mohd Hadri Mohd Ariff, 35 tahun, mencari suasana berbeza bagi menghidupkan kembali semangat Aidilfitri.
“Suami berasal dari Kuala Lumpur, jadi kebiasaannya kami pulang untuk beraya bersama keluarganya di Wangsa Maju. Tetapi terasa mahu cari pengalaman lain, terutama beraya dalam suasana kampung, jadi kami cuba inap desa di Sekinchan,” katanya kepada BM.
Menurutnya, mereka mengetahui mengenai inap desa tersebut menerusi media sosial yang memaparkan keindahan sawah padi, sebelum memutuskan percutian tiga hari dua malam bersama anak mereka, Hayfa Ayra, tiga tahun, bermula pada hari pertama Aidilfitri 2025.
“Di Singapura, kalau duduk di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), suasana kampung itu memang tak ada. Jadi bila sampai di Sekinchan, rasa seronok sangat,” katanya.
Beliau berkata antara pengalaman yang paling diingati termasuk memancing menggunakan joran buluh serta layanan mesra pemilik inap desa yang turut menyediakan juadah seperti rendang dan lemang serta menjemput mereka beraya bersama.
Menurut Cik Nurul Akmal, pengalaman tersebut membuka ruang untuk beliau sekeluarga lebih menghargai kehidupan kampung, malah merancang kembali lagi pada Aidiladha akan datang.
TRADISI TAHUNAN
Bagi seorang lagi pelancong Singapura, Cik Nur Jannah Mohamed, 41 tahun, tradisi meraikan Lebaran dalam suasana kampung di Malaysia telah menjadi rutin tahunan keluarganya sejak 2023.
Menurut wanita yang bekerja sebagai pentadbir itu, mereka memilih inap desa untuk menyambut Lebaran bersama sahabat dan kenalan rapat ibunya, Cik Rogayah Abdul Samad, 68 tahun, di Malaysia yang menjadikan suasana lebih meriah dan bermakna.
“Ibu saya ada ramai kenalan di Malaysia, jadi sejak 2023 kami mula memilih untuk mengadakan perjumpaan dan rumah terbuka di inap desa.
“Dari situ, kami semakin selesa dan benar-benar menikmati suasana sambutan Aidilfitri yang lebih meriah berlatarkan suasana kampung.
“Sebab itu kami terus memilih konsep beraya inap desa hingga ke hari ini,” katanya, yang memilih Sekinchan sebagai destinasi sambutan Aidilfitri 2026 dari 10 hingga 13 April.
Bagaimanapun, beliau tetap mengekalkan tradisi menyambut hari pertama Aidilfitri di Singapura bersama keluarga terdekat di Yishun, sebelum meneruskan sambutan di Malaysia pada hujung minggu berikutnya.
Tambahnya, kemeriahan Aidilfitri di inap desa memberikan pengalaman yang sukar digambarkan, termasuk suasana yang dihidupkan dengan lagu-lagu Raya serta aktiviti tradisional yang lebih bebas.
“Suasana kampung di Malaysia meriah lain macam...kita boleh berkumpul ramai-ramai, dengar lagu Raya,” katanya.
Cik Nur Jannah berkata pemilihan inap desa biasanya dibantu oleh sahabatnya dari Malaysia, Cik Nor Attiah Najwa Nik Mohd.
“Sebaik tiba di inap desa di Sekinchan ini, kami sangat teruja. Sejuk mata memandang sawah padi menghijau luas terbentang.
“Hilang penat kerana kawasan ini agak jauh dari Kuala Lumpur, hampir dua jam perjalanan. Tetapi pengalaman ini amat berbaloi,” katanya sambil tertawa.
Beliau malahan berhasrat menjadikan tradisi menyambut Aidilfitri di inap desa di Malaysia sebagai acara wajib pada tahun-tahun mendatang sebagai cara mengeratkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan, sambil menikmati keunikan dan suasana perayaan berbeza di inap desa.
