Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warga S’pura miliki 2 kerakyatan mohon maaf pada Agong M’sia, didenda RM30,000

Jul 30, 2024 | 11:47 AM
Mahkamah Majistret Johor Bahru menjatuhi hukuman denda keseluruhan RM30,000 kepada seorang warga Singapura yang miliki dua kerakyatan dan melakukan jenayah di Malaysia. Tertuduh turut memohon maaf pada Yang di-Pertuan Agong.
Mahkamah Majistret Johor Bahru menjatuhi hukuman denda keseluruhan RM30,000 kepada seorang warga Singapura yang miliki dua kerakyatan dan melakukan jenayah di Malaysia. Tertuduh turut memohon maaf pada Yang di-Pertuan Agong. - Foto SINAR HARIAN

JOHOR BAHRU: Seorang warga Singapura yang memiliki dua kerakyatan telah memohon maaf kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, di Mahkamah Majistret Johor Bahru, dan diarahkan meninggalkan Malaysia setelah membayar denda.

Tertuduh, yang berusia 32 tahun, diperintah membayar denda keseluruhan berjumlah RM30,000 ($8,686) setelah mengaku salah terhadap dua tuduhan menceroboh dan memecahkan cermin di bilik simpanan Jabatan Diraja Johor dan Makmal Konservasi Perabot dan Seni Visual, Muzium Diraja Abu Bakar di Johor Bahru, pada 25 Februari lalu.

Selain itu, dia merekodkan pengakuan bersalah terhadap tiga lagi kesalahan membabitkan perbuatan khianat memecahkan cermin bilik air Hotel Z bernilai RM1,500 dan memasukkan dadah ke dalam badan sendiri serta tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan. Tertuduh merupakan pesakit mental.

Menurut peguam dari Tetuan Hasshahari & Partners, Encik Mohd Radzlan Jalaludin, yang mewakili tertuduh, dia yang juga memiliki kerakyatan Belanda telah dijatuhi hukuman denda RM10,000 dan RM4,500 di atas kesalahan memecahkan cermin bilik simpanan dan menceroboh Muzium Diraja Abu Bakar.

Untuk kesalahan ketiga, tertuduh didenda RM3,000 setelah memecahkan cermin kaca di Hotel Z sewaktu menginap di situ.

Dia turut didenda tambahan RM10,000 di bawah Akta Imigresen setelah menetap di Malaysia melebihi tempoh ditetapkan selama 183 hari.

Bagi kesalahan terakhir, dia mengaku salah atas kesalahan memasukkan dadah jenis methamphetamine dan amphetamine ke dalam tubuhnya. Dia didenda RM2,500 di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Di dalam rayuan hukuman, Encik Mohd Radzlan berhujah dan memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya merupakan pesakit mental yang telah disahkan oleh Hospital Permai Johor. Bagaimanapun, tertuduh waras ketika kejadian berlaku.

“Tertuduh turut menyesal di atas perbuatannya dan memohon maaf kepada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, serta kerabat Diraja Johor, kerajaan Johor dan kerajaan Malaysia di atas kesalahan kali pertama dilakukan itu,” katanya, lapor Sinar Harian.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg