Warga S’pura rancakkan niaga di Johor Bahru jelang Aidilfitri

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warga S’pura rancakkan niaga di Johor Bahru jelang Aidilfitri

Mar 16, 2026 | 5:30 AM

Warga S’pura rancakkan niaga di Johor Bahru jelang Aidilfitri

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
johor bahru, aidilfitri
Orang ramai mula membuat persiapan terakhir untuk menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Kehadiran warga Singapura yang merentas sempadan bagi membeli keperluan Aidilfitri terus memberi suasana meriah di Johor Bahru.

Ia kelihatan khususnya pada tempoh minggu terakhir Ramadan apabila orang ramai mula membuat persiapan akhir menjelang Syawal.

Ketua Pegawai Operasi Angsana Johor Bahru, Encik Imran Salleh, berkata bazar jualan Aidilfitri di kompleks itu bermula sejak 30 Januari dan berlangsung hampir dua bulan bagi memberi peluang kepada pengunjung membuat persiapan awal.

Ketua Pegawai Operasi Angsana Johor Bahru, Encik Imran Salleh.
Ketua Pegawai Operasi Angsana Johor Bahru, Encik Imran Salleh. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Menurutnya, pada 2026, pihaknya menyediakan kira-kira 400 petak jualan yang merangkumi peniaga di dalam dan di luar kompleks.

“Bazar Aidilfitri di Angsana Johor Bahru berlangsung kira-kira 80 hari dan keseluruhannya kita mempunyai sekitar 400 petak jualan.

“Bazar ini dilaksanakan secara berperingkat dan fasa terakhir bermula pada 1 Ramadan yang memberi tumpuan kepada juadah serta kuih Raya,” katanya.

Menurut Encik Imran, pengunjung dari Singapura memainkan peranan penting dalam merancakkan kegiatan ekonomi di pusat membeli-belah itu, terutama menjelang musim perayaan.

“Kami memang sangat mengharapkan kehadiran warga Singapura kerana mereka banyak membantu merancakkan perniagaan di Johor Bahru.

“Disebabkan itu, kami menyediakan kemudahan khas untuk mereka termasuk tempat mengambil dan menghantar pengunjung yang datang melalui Koswe,” katanya.

Beliau berkata kemudahan itu dilaksanakan dengan kerjasama ejen pelancongan tempatan yang membantu membawa pengunjung dari Singapura terus ke kompleks berkenaan.

“Pengunjung akan dihantar terus ke kompleks ini dan selepas selesai membeli-belah mereka akan dihantar pulang semula.

”Sambutan terhadap kemudahan ini sangat menggalakkan dan jumlah pengunjung dari Singapura memang mencecah ratusan setiap hari,” katanya.

Pelakon Razzuan Rosli (kanan), merupakan antara peniaga yang memeriahkan Bazar Aidilfitri di Angsana Johor Bahru.
Pelakon Razzuan Rosli (kanan), merupakan antara peniaga yang memeriahkan Bazar Aidilfitri di Angsana Johor Bahru. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Di samping itu, tambah Encik Imran, pihaknya turut menyediakan kawasan khas untuk bermain mercun, yang menjadi antara daya tarikan kepada pengunjung dari Singapura.

“Ramai pengunjung Singapura teruja bermain mercun di sini kerana mereka tidak boleh membawa pulang mercun ke negara mereka.

“Kita sediakan kawasan khas sedikit jauh dari kompleks supaya ia selamat dan teratur,” katanya.

Beliau menambah, jumlah pengunjung dijangka terus meningkat menjelang penghujung Ramadan.

“Jika dibandingkan dengan 2025, jumlah pengunjung setakat ini hampir sama.

“Pada 2025, kita menerima kira-kira 4.5 juta pengunjung dan pada 2026, kita menyasarkan sehingga enam juta.

“Setakat ini jumlahnya sekitar 3.8 juta dan kita menjangkakan lebih ramai akan datang dalam minggu terakhir Ramadan,” katanya.

Seorang pengunjung dari Singapura, Encik Abdul Razak Omar, 56 tahun, berkata beliau memilih membeli keperluan Aidilfitri di Johor Bahru kerana harga yang lebih rendah berbanding di Singapura.

“Saya datang ke sini untuk membeli baju kurung, songkok dan mungkin juga kain samping. Saya juga mencari kuih Raya untuk keluarga,” katanya.

Beliau berkata kesibukan kerja menyebabkan beliau hanya sempat membeli-belah pada saat-saat akhir.

“Saya bekerja hampir setiap hujung minggu, jadi minggu ini sahaja saya ada masa untuk datang ke Johor Bahru membeli barang.

“Biasanya saya datang ke Malaysia sekali atau dua kali sebulan untuk membeli barangan keperluan,” katanya.

Menurut Encik Abdul Razak, perbezaan harga antara Malaysia dengan Singapura menjadi salah satu faktor utama warga Singapura datang membeli-belah di Johor Bahru.

“Secara umum harga barangan di Malaysia memang lebih murah. Di Singapura pun, ada barang yang sama, tetapi banyak kuih Raya sebenarnya datang dari Malaysia juga,” katanya.

Sementara itu, pemilik Mak Ungku Tarts and Cafe, Ungku Harya Melina Ungku Mohd Najib, 52 tahun, berkata kuih tart nanas yang dihasilkan di kedainya mendapat sambutan pelanggan dari pelbagai negara termasuk Singapura.

Pemilik Mak Ungku Tarts and Cafe, Ungku Harya Melina Ungku Mohd Najib, memaklumkan setiap kuih tart nanas yang telah dibakar akan terus dijual dan tidak disimpan.
Pemilik Mak Ungku Tarts and Cafe, Ungku Harya Melina Ungku Mohd Najib, memaklumkan setiap kuih tart nanas yang telah dibakar akan terus dijual dan tidak disimpan. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Menurutnya, resipi tart nanas yang digunakan adalah resipi keluarga sejak 1950-an dan diwarisi sejak beliau berusia 16 tahun.

“Resipi ini adalah resipi keluarga yang sudah lama dan saya mula membuat kuih tart ini sejak umur 16 tahun.

“Kami menggunakan nanas segar yang diambil terus dari ladang di Johor dan dimasak pada hari yang sama,” katanya.

Menurut beliau, kedainya menghasilkan sehingga 5,000 biji tart nanas sehari ketika musim perayaan.

“Pada hari biasa kami menghasilkan sekitar 3,000 hingga 3,500 biji sehari, tetapi menjelang Hari Raya jumlahnya boleh meningkat sehingga 5,000 biji.

“Kami tidak menggunakan bahan pengawet kerana mahu memastikan kesegaran dan mutu produk,” katanya lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg