Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerajaan M’sia jimat hingga RM4b sasar subsidi petrol RON95

Sep 24, 2025 | 11:21 AM
Penyasaran subsidi petrol RON95, M’sia, kos sara hidup
Menteri Kewangan ll, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (kiri), dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Datuk Mahmood Merican, pada Taklimat Media mengenai program penyasaran subsidi Malaysia dikenali sebagai Budi Madani RON95 di Selangor, pada 23 September. - Foto NSTP

SHAH ALAM (Selangor): Pelaksanaan program penyasaran subsidi petrol Malaysia, Budi Madani RON95 (Budi95), dijangka memberikan penjimatan antara RM2.5 bilion ($760 juta) dengan RM4 bilion setahun kepada kerajaan.

Ia sekali gus memperkukuh kedudukan fiskal negara serta membolehkan lebihan kewangan disalurkan kepada perbelanjaan pembangunan lain.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata penjimatan itu diperoleh melalui penyasaran semula subsidi RON95, memandangkan dianggarkan 22 peratus daripada penggunaan bahan api tersebut selama ini dinikmati golongan yang tidak layak.

Malah, Budi95 yang akan bermula pada 30 September ini dengan penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter daripada RM2.05 seliter ketika ini.

Ia bakal memberikan penjimatan bulanan yang ketara kepada pengguna – dianggarkan sehingga RM228 bagi setiap individu yang layak.

Datuk Amir Hamzah berkata apabila subsidi disasarkan, mereka yang tidak layak perlu membayar harga pasaran dan daripada situlah datangnya penjimatan antara RM2.5 dengan RM4 bilion setahun, bergantung kepada harga minyak semasa.

“Apabila harga pasaran dibayar sepenuhnya oleh mereka yang tidak layak, kerajaan tidak lagi menanggung kos subsidi untuk golongan tersebut.

“Seperti yang kita lihat dalam kes diesel sebelum ini, langkah ini turut membantu mengurangkan risiko penyeludupan.

“Penjimatan hasil daripada program Budi95 akan digunakan untuk terus melindungi rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana, di samping menyalurkan bantuan secara lebih bersasar agar manfaat subsidi dinikmati oleh mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya pada taklimat media Budi95 di Shah Alam, Selangor, pada 23 September, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Amir Hamzah menjelaskan perbelanjaan subsidi petrol RON95 mencecah kira-kira RM20 bilion pada 2023 dan 2024, dengan majoritinya dinikmati secara pukal termasuk oleh warga asing serta syarikat besar.

Beliau berkata ketirisan subsidi berlaku apabila lebih 20 peratus daripada jumlah subsidi dinikmati golongan yang tidak layak, sama ada melalui penggunaan terus oleh warga asing dan sektor perniagaan, atau melalui penyeludupan akibat perbezaan harga dengan negara jiran.

Menerusi program Budi95 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 22 September, semua rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah, layak membeli petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter bermula 30 September.

Warga asing yang bermastautin dan menggunakan kenderaan bernombor pendaftaran Malaysia pula boleh membeli RON95 pada harga tanpa subsidi dijangka sekitar RM2.60 bermula tarikh sama.

Kenderaan bernombor pendaftaran asing pula tertakluk kepada peraturan sedia ada yang melarang mereka membeli RON95, dan hanya boleh membeli petrol RON97.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg