Topik diikuti
Pergi ke BHkuZahid anggap pertemuan PAS-Umno langkah positif selaras dinamika politik baharu
Zahid anggap pertemuan PAS-Umno langkah positif selaras dinamika politik baharu
Zahid anggap pertemuan PAS-Umno langkah positif selaras dinamika politik baharu
PUTRAJAYA: Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyifatkan pertemuan antara pimpinan partinya dan Parti Islam SeMalaysia (PAS) baru-baru ini sebagai satu langkah positif yang perlu disusuli dengan beberapa tindakan susulan.
Beliau berkata pertemuan yang diadakan atas inisiatif kepimpinan kedua-dua parti itu adalah bagi merungkai pelbagai permasalahan serta membincangkan agenda yang bukan semata-mata berkaitan politik.
“Kita merestui perjumpaan hasil inisiatif kepimpinan Umno dan PAS untuk merungkai beberapa permasalahan dan agenda yang bukan agenda politik.
“Jika ia ada terkait pun dengan politik ia tentunya akan lebih diperhalusi kerana kita tetap berada dalam Kerajaan Perpaduan yang terbentuk sekarang ini.
“Itu asas kita dan asas itu mesti dihormati, tetapi pintu harus juga dibuka untuk kita mengadakan rundingan dan juga mencari beberapa pendekatan baharu jika dinamika politik ini akan berlangsung satu ketika nanti,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau ditemui media selepas menyempurnakan Sambutan Hari Pendidik Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Putrajaya, pada 9 Jun.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan hasil pertemuan pimpinan kedua-dua parti berkenaan baru-baru ini.
Media Malaysia sebelum ini melaporkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, mengesahkan beliau ada dimaklumkan mengenai perjumpaan antara pimpinan partinya dengan Umno di Kuala Lumpur dan merujuk perjumpaan itu sebagai ‘pertemuan biasa’.
Datuk Ahmad Zahid pula dilaporkan berkata pertemuan itu hanya membincangkan soal kerjasama yang boleh dilakukan bagi memastikan kestabilan politik negara terus terpelihara.
Mengulas lanjut, Datuk Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata beliau yakin tiada sebarang masalah atau perbezaan pendapat yang tidak boleh diselesaikan sekiranya semua pihak bersedia untuk berbincang.
“Saya yakin tidak ada satu pun masalah yang tidak boleh dirungkaikan, tidak ada satu pun perbezaan pendapat selama ini yang tidak boleh dilakukan penyatuan semula,” katanya.
Sehubungan itu, beliau melihat pertemuan yang berlangsung antara pimpinan Umno dan PAS sebagai perkembangan yang membina dan wajar diteruskan.
“Saya melihat pertemuan ini satu langkah positif yang harus disusuli dengan beberapa langkah selanjutnya,” katanya lagi.
Dalam satu majlis lain pada 9 Jun, Datuk Ahmad Zahid mengumumkan parti itu akan bertanding solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
“ Ya, di Negeri Sembilan pasti (BN) bergerak solo kerana Pakatan Harapan (PH) telah mengumumkan mereka (akan) bertanding di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.
