Parti Islam SeMalaysia (PAS) menyeru parti Melayu Islam terutama Umno untuk kembali bersatu menghidupkan piagam Muafakat Nasional (MN) 2.0, untuk mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dan siri pilihan raya akan datang.

Seruan itu disuarakan Timbalan Presiden PAS, yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, di tengah ketegangan hubungan partinya dengan rakan sekutu Perikatan Nasional (PN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menerusi kenyataan berjudul ‘Gelombang Perubahan’ di Facebook, beliau menegaskan bahawa perpecahan politik Melayu kini harus menjadi peringatan buat para pemimpin PAS dan Umno untuk segera bangkit menyalakan semula MN 2.0.

Beliau bimbang kegagalan menyatukan suara dan kekuatan Melayu akan terus menghimpit umat Islam. Kesan perpecahan ini kian nyata apabila pelbagai isu yang mencabar kedudukan Islam serta kuasa politik Melayu semakin berleluasa di tanah air.

“Hal ini seharusnya membuka mata pemimpin utama politik Melayu, khususnya PAS dan Umno untuk segera bertindak sebelum nasi menjadi bubur.

“Usaha penyatuan ini perlu disegerakan, bermula dengan mendepani PRN Johor dan terus diperkukuh pada masa hadapan.

“Parti-parti politik Melayu pernah bersama dalam sejarah negara. Kita pernah menyaksikannya selepas peristiwa 13 Mei (tragedi rusuhan kaum berdarah), apabila Barisan Nasional (BN) terbentuk.

“MN pula terbentuk akibat kebimbangan terhadap usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2019 yang dilihat boleh menghakis keamanan dan keharmonian rakyat Malaysia. Kini, sudah sampai masanya gagasan MN 2.0 dijayakan,” katanya dalam kenyataan pada 3 Jun.

PAS dan Umno pernah bergabung dalam Muafakat Nasional (MN) pada 2019, susulan kekalahan Umno/BN pada PRU14 (2018) yang menamatkan penguasaan politik Umno selama lebih enam dekad.

Namun, kerjasama itu tidak kekal lama. Kemasukan Bersatu ke dalam MN mencetuskan pembentukan blok Perikatan Nasional (PN) pada 2020, sekali gus mengubah landskap hubungan asal.

Dalam kenyataan sama, Datuk Tuan Ibrahim menjangkakan pembubaran DUN Johor pada 1 Jun bakal diikuti oleh negeri-negeri lain, seperti Melaka, Sarawak, dan Negeri Sembilan, menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 yang dijadualkan sebelum Februari 2028.

“Pembubaran DUN ini mengembalikan hak memilih kepada rakyat dan membuka ruang kepada satu gelombang perubahan baharu dalam politik Malaysia.

“Satu peralihan yang berpotensi mengembalikan semula kekuatan politik Melayu-Islam di negara ini. Lebih daripada itu, ia juga mampu membentuk kekuatan politik Bumiputera, bukan sahaja di Semenanjung, bahkan juga di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Saranan Tuan Ibrahim untuk menghidupkan semula MN 2.0 disambut baik oleh bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa, yang kini menganggotai PAS.

yang memegang jawatan Ketua Penerangan PN dan Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, turut mengusulkan ‘formula’ kerjasama strategik yang boleh dipertimbangkan oleh Umno.

“Timbalan Presiden PAS menganjurkan initiatif MN 2.0, Umno pula menganjurkan Rumah Bangsa. Kedua duanya ada persamaan, memerlukan muafakat dan penyatuan, terutama antara Umno dan PAS atau PN dan BN.

“Pada saya nama tidak penting. PRN Johor boleh jadi permulaan MN atau Musyawarah Nasional. Johor kubu Umno, atas nama MN, Umno ambil 80 - 90 peratus kerusi majoriti Melayu dan PAS ambil 10 - 20 peratus untuk bertanding.

“Kelantan sebagai kubu PAS perlu beri 10 - 20 peratus kepada Umno dan PAS ambil 80 - 90 peratus. Jika perlu boleh pertimbangkan PRN serentak Kelantan dan Johor,” katanya yang menegaskan kenyataan itu adalah pandangan peribadinya.