Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zahid: Anwar ‘pemimpin baik’ terima maaf Najib

Oct 29, 2024 | 11:37 AM
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi - Foto fail

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, disifatkan sebagai “seorang pemimpin yang baik” kerana sedia menerima permohonan maaf bekas perdana menteri, Encik Najib Tun Razak, mengenai skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, antara lain berkata sembarang pemimpin yang baik harus mengambil pendekatan sama seperti Datuk Anwar, yang juga Menteri Kewangan.

“Seorang pemimpin yang baik harus menerima permohonan maaf daripada sesiapa sahaja, dan Umno menyokong kenyataan yang dibuat oleh setiausaha agung (parti itu, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki).

“Kita berasa Encik Najib diperdaya oleh seseorang atau sekumpulan orang dan perkara ini harus diambil dengan serius.

“Kita jangan terus berprasangka, lemparkan pelbagai tafsiran terhadap perkara ini.

“Kita tahu kenyataan berkenaan dikeluarkan selepas keterangan saksi di mahkamah dan hanya disedari Encik Najib selepas saksi memberi keterangan,” kata Datuk Dr Ahmad Zahid, yang juga presiden Umno, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Beliau berkata demikian pada satu sidang media selepas merasmikan Konvensyen Ekonomi Gig Malaysia Madani di sini pada 28 Oktober.

Pada 25 Oktober, Datuk Anwar dilapor menerima permohonan maaf secara terbuka Encik Najib berhubung kejadian salah laku dalam syarikat pelaburan negara 1MDB.

BHM melaporkan pada 24 Oktober bahawa Encik Najib membuat permohonan maaf secara terbuka itu menerusi satu kenyataan yang dibacakan oleh anaknya, Datuk Mohamad Nizar.

Bekas Ahli Parlimen (AP) Pekan itu kekal menyatakan dia tidak bersalah dan meletakkan kesalahan pada ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low, dan eksekutif syarikat Arab Saudi, PetroSaudi.

Permohonan maaf Encik Najib itu dibuat beberapa hari sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan sama ada dia perlu membela diri dalam kes rasuah 1MDB yang bermula lima tahun lalu.

Encik Najib juga memaklumkan dia berasa amat terluka mengetahui segala kecurangan yang berlaku dalam 1MDB ketika syarikat itu berada bawah pengawasannya sebagai menteri kewangan dan perdana menteri ketika itu.

Sebelum ini, Datuk Anwar menyelar pihak yang mempersoalkan kewajaran beliau menerima permohonan maaf Encik Najib.

“Ada dua tiga orang ini umpamanya, bila saya sebut berhubung kes baru-baru ini, apabila Encik Najib buat kenyataan meminta maaf atas apa yang berlaku dalam 1MDB dan sebagainya... dia marah, ... bebal tak tentu arah, terus nak marah.

“Orang minta maaf pada kita, takkan hendak kata aku tak terima... ini apa perangai, manusia apa ini?

“Saya perdana menteri, saya ‘bapa’ pada negara... (apabila) orang cakap macam itu (mohon maaf) saya nak buat apa?” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg