KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengingatkan supaya pimpinan parti itu tidak bermimpi untuk pemimpin Umno menjadi Perdana Menteri, ketika parti itu mempunyai jumlah kerusi yang sedikit di Dewan Rakyat (Parlimen).
“Jangan mimpikan untuk ada seorang perdana menteri daripada Umno apabila parti ini mempunyai bilangan kerusi yang sedikit di Dewan Rakyat.
“Kita perlu menangani ‘keciputan’ (slanga Melayu untuk menggambarkan sedikit) jumlah kerusi di Parlimen terlebih dahulu,” katanya dalam temu bual khas sempena Persidangan Agung Umno (PAU) 2024 yang bermula pada 21 Ogos di Kuala Lumpur, lapor The Star.
Ketika ini Barisan Nasional (BN) hanya mempunyai 30 daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen, dengan 26 daripadanya disandang Ahli Parlimen (AP) Umno, manakala bakinya diwakili rakan komponen daripada parti dalam gabungan politik itu.
Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan BN-Umno kalah teruk dengan jumlah kerusi yang semakin merosot berbanding 78 kerusi dimenangi pada PRU14.
Blok politik itu menghadapi kekalahan bersejarah buat kali pertama di tangan Pakatan Harapan (PH), selepas 60 tahun memegang tampuk kuasa.
Datuk Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri Malaysia dalam pada itu turut mengakui sokongan orang Melayu terhadap Umno masih rendah.
Beliau menjelaskan keputusannya menerima landskap politik baru dengan membentuk kerjasama untuk menubuhkan kerajaan dengan ‘musuh tradisi’, mencetus rasa kurang senang dalam kalangan ahli Umno.
“Kita mesti berfikir di luar kotak bagaimana menyampaikan keputusan Kabinet secara berkesan kepada ahli parti dan rakyat biasa, supaya akar umbi mempunyai semangat kekitaan dalam kerajaan Madani,” katanya.
Beliau turut menepis tanggapan bahawa Parti Tindakan Demokratik (DAP) iaitu bekas musuh politiknya, adalah liabiliti kepada Umno.
Tambahnya, persepsi itu timbul kerana kegagalan Umno dan Kerajaan Perpaduan berkomunikasi secara berkesan dengan pengundi Melayu mengenai hubungan kerjasama parti itu dengan DAP.
Beliau berkata parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan sebenarnya sehaluan terutama ketika membincangkan isu-isu tertentu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg