Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zahid: Penagih bawah umur di M’sia membimbangkan

Ada terjebak seawal usia 10 tahun; pengedar guna taktik beri gula-gula kandungi dadah secara percuma
Sep 25, 2025 | 2:06 PM
Zahid, dadah, muda
Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Foto fail

PUTRAJAYA: Isu penagihan dadah dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia semakin membimbangkan, dengan ada sebahagiannya mula terjebak seawal sekolah rendah pada usia 10 tahun, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata antara punca ketagihan dalam kalangan bawah umur adalah taktik pengedar yang memberikan gula-gula mengandungi dadah secara percuma.

“Perkara ini saya telah bincangkan dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan di institusi prasekolah agar dapat kita bendung dan usaha ini perlukan kerjasama bukan sahaja daripada guru dan ibu bapa, tetapi masyarakat keseluruhan,” katanya, lapor Harian Metro.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Membanteras Dadah (JKMD) berkata pelbagai usaha dilaksanakan bagi membendung gejala tersebut termasuk mempelajari kaedah membanteras penyeludupan dadah secara lebih berkesan selain aspek pencegahan dan pemulihan.

Untuk itu, beliau berkata agensi penguatkuasaan seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) perlu lebih kreatif, terutama dalam mengesan penyeludupan dadah, termasuk trend penggunaan perkhidmatan penghantaran.

“Kadang-kadang kita lihat pembungkusannya seolah-olah barang yang dibeli secara dalam talian, tetapi isinya dadah.

“Mereka sangat kreatif dalam perkara ini dan saya fikir pihak penguat kuasa dan agensi pemulihan mesti lebih kreatif daripada mereka ini (pengedar dadah),” katanya dalam satu temubual khas.

Dalam pada itu, Datuk Ahmad Zahid berkata masalah penyalahgunaan dadah di Malaysia adalah isu merentas kaum, dengan negeri yang mencatatkan kadar penagihan tertinggi ialah Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah.

“Dalam jenayah penyalahgunaan dadah ini, ia benar-benar bersifat satu Malaysia. Pengedar yang besar orang Cina, pengedar secara tersusun orang India, manakala pengedar runcit orang Melayu,” katanya.

Datuk Ahmad Zahid berkata situasi penyalahgunaan dadah kini berada pada tahap kritikal dengan peningkatan 32.5 peratus pada 2024 berbanding 2023.

Beliau berkata terdapat 436 penagih bagi setiap 100,000 penduduk pada 2023 dan melonjak kepada 586 pada 2024, manakala setakat Jun 2025, statistik menunjukkan terdapat 396 penagih bagi setiap 100,000 penduduk.

Kata Datuk Ahmad Zahid bagi memastikan kebertanggungjawapan dalam aspek penguatkuasaan, pemulihan dan pencegahan, AADK, dengan dipacu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tahunan yang ditetapkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta berpandukan Pelan Strategik KDN 2020-2025, kini dalam proses merangka pelan baru bagi tempoh 2026-2030.

Beliau berkata antara indikator minimum untuk menilai kejayaan perang melawan dadah adalah Indeks Antidadah yang mencatatkan 68.3 peratus berdasarkan kajian penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 2024.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg