Topik diikuti
Pergi ke BHkuZahid: Rang Jenayah Siber bukan untuk sekat kebebasan bersuara di M’sia
Zahid: Rang Jenayah Siber bukan untuk sekat kebebasan bersuara di M’sia
Tekankan fokus utama adalah untuk tangani keselamatan serta kekang jenayah siber
Zahid: Rang Jenayah Siber bukan untuk sekat kebebasan bersuara di M’sia
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026 yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 1 Julai bukan instrumen untuk mengawal perbezaan pandangan politik atau menyekat kebebasan bersuara.
Sebaliknya, fokus utamanya adalah untuk menangani aspek keselamatan serta mengekang jenayah siber, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika menggulung perbahasan RUU itu.
RUU itu diluluskan melalui undian suara selepas dibahaskan 48 Ahli Parlimen mewakili kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang.
Menurut Datuk Ahmad Zahid, kerajaan memberi jaminan bahawa tiada satu pun kuasa yang diperuntukkan di bawah RUU berkenaan bersifat mutlak dan tanpa kawalan.
Sebaliknya, beliau berkata setiap kuasa khususnya mengenai penyiasatan akan disertakan dengan mekanisme semak dan imbang yang cukup jelas.
“Ia tertakluk prosedur perundangan yang ketat sebagaimana yang sedang berjalan dan akan kita perketatkan di dalam pelaksanaan RUU berkenaan,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Datuk Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, memaklumkan kerajaan turut memberi tumpuan kepada tujuh isu utama termasuk jaminan hak asasi, privasi dan kebebasan bersuara.
Beliau berkata kerajaan akan memastikan keseimbangan antara keperluan penguatkuasaan dengan perlindungan hak asasi rakyat, iaitu kuasa mengakses dan memelihara data komputer tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya.
“Notis hanya akan dikeluarkan jika pegawai penyiasat berpuas hati data itu munasabah untuk siasatan dan berisiko dipadam atau dimusnahkan, selain skopnya yang terhad serta tidak mengatasi undang-undang perlindungan maklumat sensitif sedia ada seperti Akta Rahsia Rasmi (Akta 88).
“RUU berkenaan juga ditegaskan bukan instrumen untuk mengawal perbezaan pandangan politik atau menyekat kebebasan bersuara, sebaliknya fokus utamanya adalah untuk menangani aspek keselamatan serta mengekang jenayah siber,” katanya.
Mengenai kawal selia teknologi kecerdasan buatan (AI) dan deepfake, Datuk Ahmad Zahid berkata kerajaan mengakui potensi salah gunanya seperti penipuan dan pemerasan.
Namun, katanya sesuatu kandungan tidak dianggap bersalah semata-mata kerana dihasilkan oleh AI melainkan pihak pendakwaan berjaya membuktikan elemen niat jenayah.
“Bagi menyokong aspek teknikal itu, kerajaan menubuhkan Pusat Pembangunan Keselamatan Siber dan Kriptologi pada 3 Jun lalu di bawah kawal selia Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) untuk menyediakan kepakaran forensik AI.
“Menyentuh aspek perlindungan golongan rentan seperti wanita, kanak-kanak dan warga emas yang kerap menjadi sasaran sindiket, RUU ini turut memperuntukkan kesalahan khusus yang tiada dalam undang-undang sedia ada bagi memperkukuh perlindungan mangsa,” katanya.
Datuk Ahmad Zahid berkata statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kes jenayah siber di Malaysia melonjak lebih 160 peratus dalam tempoh empat tahun, iaitu daripada 25,479 kes pada 2022 kepada 66,204 kes pada 2025.
“Ia sekali gus menuntut peningkatan literasi digital masyarakat dan bukannya bersandarkan hukuman berat semata-mata,” katanya.
