Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

145 Ketua Umno Bahagian desak Anwar segera laksana tahanan rumah Najib

Jul 18, 2025 | 3:30 PM
Najib Tun Razak
Umno mendesak pelaksanaan segera titah adendum atau perintah tambahan yang membolehkan bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak (tengah), menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah, sebagaimana diperintahkan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 2024, Sultan Abdullah Ahmad Shah. - Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR: Seramai 145 Ketua Umno Bahagian di seluruh Malaysia mendesak supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, segera mengambil tanggungjawab penuh melaksanakan titah adendum bagi membenarkan bekas presidennya, Encik Najib Tun Razak, menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah.

Mereka menegaskan ia sebagaimana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Sultan Abdullah Ahmad Shah, sekali gus tiada lagi alasan untuk melengahkan pelaksanaannya.

Ketua Umno Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah, berkata kesemua mereka turut mendesak Peguam Negara menarik balik rayuan yang difailkan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bertarikh 6 Januari 2025 berkait kes titah adendum itu.

“Sebagai penasihat undang-undang tertinggi kerajaan, Peguam Negara seharusnya menjunjung titah Raja serta mendukung keadilan dan bukan menghalangnya,” katanya pada sidang media selepas Perjumpaan Khas Ketua-Ketua Umno Bahagian, di Kuala Lumpur, pada malam 17 Julai, lapor Berita Harian Malaysia.

Perjumpaan khas itu turut mendesak Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, segera mengadakan pertemuan dengan Datuk Anwar, bagi membincangkan soal pelaksanaan tahanan rumah terhadap Encik Najib.

“Selain itu, semua Ketua Umno Bahagian di seluruh Malaysia yang belum bersidang, dicadangkan membawa usul khas mengenai isu titah adendum ini dalam persidangan bahagian masing-masing.

“Usul ini penting sebagai bukti kesepakatan dan perpaduan parti dalam mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu serta menegakkan prinsip keadilan buat semua.

“Ini bukan hanya soal individu, tetapi juga soal kedaulatan undang-undang, penghormatan kepada institusi diraja dan prinsip keadilan,” katanya.

Ia menyusuli kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) di mahkamah bahawa ia tidak mempertikaikan kewujudan titah adendum yang dikatakan diberikan Agong Ke-16 untuk membolehkan Encik Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan dalam rumah.

Sebaliknya, media Malaysia melaporkan AGC hanya mempertikaikan prosedur untuk mengemukakan titah itu sebagai bukti baru dalam permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.

Menyusuli pengesahan AGC itu, Umno pada 11 Julai lalu memohon ihsan Agong ke-17, Sultan Ibrahim, agar membenarkan Encik Najib menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.

Encik Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang, Selangor, sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan dana RM42 juta ($12.6 juta) milik SRC International. 

Bagaimanapun, Encik Najib diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya dan pengurangan denda yang perlu dibayar daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Encik Najib mendakwa wujud titah adendum yang dititahkan oleh Agong-16 untuk beliau menghabiskan baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg