Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zahid sedia undur sebagai Presiden Umno

Jul 15, 2024 | 4:21 PM
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Foto BERNAMA

Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mungkin menyaksikan perubahan tampuk kepimpinan menjelang pemilihan parti masing-masing pada 2026 dan Oktober 2024.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menyatakan kesediaan melepaskan jawatan Presiden Umno apabila tiba masanya, namun semuanya bergantung pada keputusan di peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Perhimpunan Agung Umno (PAU).

Timbalan Perdana Menteri Malaysia itu yang menyandang jawatan berkenaan sejak 2018 bersikap terbuka sekiranya dua jawatan utama dalam Umno dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

“Berdasarkan Perlembagaan Umno, pemilihan parti diadakan setiap tiga tahun dengan pemilihan seterusnya dijangka pada 2026. Saya amat terbuka dalam perkara ini (jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno dipertandingkan).

“Yang penting, Umno harus terus dipertahankan dan relevan... jangan difikirkan dari sekarang soal pertandingan itu,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Muar, di Johor.

Kesediaan itu juga dinyatakan susulan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Tenggara, di Johor meluluskan usul menggesa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti dipertandingkan pada pemilihan parti itu.

Datuk Zahid berdepan desakan daripada pimpinan dan ahli parti untuk beliau melepaskan jawatan Presiden sebaik Umno mengalami kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), pada 2022.

Sementara itu, Bersatu pula lebih jelas akan bertukar tangan bagi jawatan Timbalan Presiden menjelang pemilihan parti pada Oktober, apabila penyandang jawatan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, mengumumkan berundur dari jawatannya ketika ini.

Beliau berhasrat memberi laluan kepada, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, yang sekarang memegang jawatan Setiausaha Agung Bersatu untuk memegang jawatan Timbalan Presiden.

Menurut Datuk Ahmad Faizal, keputusan itu dibuat secara rela hati selepas berbincang dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan segala perundingan sudah dilakukan dengan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti.

“Ini satu cadangan daripada Presiden bagi mengelakkan berlaku sebarang pertembungan,” katanya yang tewas di tangan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam mempertahankan kerusi Parlimen Tambun (Perak) pada PRU15.

Tan Sri Muhyiddin sebelum ini mengumumkan Datuk Ahmad Faizal bersedia berundur dan menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden untuk mengisi satu kekosongan, yang kebetulan hanya ada dua pengisian jawatan itu ketika ini.

Pada masa yang sama, Tan Sri Muhyiddin pula djangka terus memimpin Bersatu sebagai Presiden selepas mesyuarat MPT parti itu sebulat suara memutuskan bahawa beliau kekal memegang jawatan itu pada pemilihan akan datang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg