Selepas menjalani ibadah umrah pada 2017, Cik Rozana Aini Kaseh, 54 tahun, yang dilahirkan pekak dan bisu, merasakan sendiri cabaran yang dilalui golongan berkeperluan khas, yang kurang panduan untuk berbuat demikian.

Berbanding anggota jemaah yang boleh mendengar yang menghadiri kelas amali sebelum menunaikan umrah, beliau sendiri hanya mampu bergantung kepada buku-buku panduan umrah ketika itu.

Berbekalkan semangat untuk membuat ibadah itu lebih mudah diakses golongan tersebut, beliau, yang boleh menggunakan bahasa isyarat, telah mengajak beberapa rakan pekak dan bisu daripada kelas agama yang dihadirinya di Masjid Sultan, untuk ke Tanah Suci. Masjid tersebut menyediakan program pembelajaran agama khas untuk anggota masyarakat yang pekak dan bisu.

Hasrat Cik Rozana untuk membawa mereka ke sana menjadi realiti apabila beliau dan suaminya, Encik Mohd Hanifa Mohd Ali, 60 tahun, seorang pekerja pembersihan di hospital, yang juga pekak dan bisu, bersama 14 anggota jemaah berkeperluan khas seperti itu, berangkat ke Jeddah, Arab Saudi, pada dinihari 10 Oktober untuk menunaikan umrah.

Mereka menyertai 15 anggota jemaah lain dan empat pegawai daripada NZ Travel Singapore.

Turut menyertai rombongan itu ialah seorang jurubahasa isyarat yang akan mendampingi kumpulan jemaah pekak dan bisu itu sepanjang ibadah mereka.

NZ Travel telah mula menyediakan pakej untuk jemaah berkeperluan khas seperti itu apabila mendapat tahu tentang hasrat Cik Rozana menunaikan umrah bersama rakan-rakannya daripada golongan itu.

Cik Rozana pernah mengikuti rombongan wisata syarikat itu ke Kuala Lumpur dan Ipoh sebelum ini.

NZ Travel turut menyediakan empat kelas persiapan umrah dan empat kelas memperbaiki solat bagi kumpulan tersebut, dengan dibantu seorang jurubahasa isyarat.

Jurubahasa isyarat, Encik Syed Muhammad Abdul Hamid, sedang memberi arahan dalam bahasa isyarat di Lapangan Terbang Changi pada malam 9 Oktober.
Jurubahasa isyarat, Encik Syed Muhammad Abdul Hamid, sedang memberi arahan dalam bahasa isyarat di Lapangan Terbang Changi pada malam 9 Oktober. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Berkongsi harapannya untuk umrah kali ini, Cik Rozana, yang bertugas sebagai pekerja pembersihan di pejabat, ketika dihubungi Berita Harian (BH) melalui perbualan teks di WhatsApp, menyatakan bahawa beliau berharap perjalanan rombongan itu dipermudah dan mereka dapat menumpukan perhatian kepada ibadah.

“Pakej umrah khas seperti ini memastikan golongan berkeperluan khas juga dapat menikmati pengalaman beribadah dengan selesa, selamat, dan bermakna,” tambah beliau.

Difahami kumpulan jemaah pekak dan bisu itu membeli pakej pada harga yang sama seperti anggota jemaah lain.

Anggota jemaah umrah berkeperluan khas diberikan sokongan tambahan oleh NZ Travel, seperti pegawai dan mutawif tambahan, untuk membimbing mereka.
Anggota jemaah umrah berkeperluan khas diberikan sokongan tambahan oleh NZ Travel, seperti pegawai dan mutawif tambahan, untuk membimbing mereka. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Cik Rozana juga melahirkan harapan agar lebih banyak kelas agama dan peluang menjalani umrah diadakan untuk golongan berkeperluan khas sepertinya.

Bercakap dengan BH, pengasas NZ Travel, Encik Zaini Azad Yahya, berkata syarikatnya telah mengambil beberapa langkah sokongan tambahan bagi kumpulan tersebut.

Difahami, peruntukan tambahan itu ditampung NZ Travel dan beberapa penaja dan tidak menyebabkan kos tambahan untuk anggota jemaah berkenaan.

“Kami juga mahu memudahkan urusan jemaah menjalankan ibadah. Jadi, kami cuba melengkapkan segala keperluan mereka seperti menyediakan pegawai dan mutawif tambahan serta lanyard pengenalan yang lebih khusus,” ujar Encik Zaini.

Semasa BH berada di Terminal 3 di Lapangan Terbang Changi pada malam 9 Oktober, suasana sayu boleh dirasai apabila ahli keluarga yang mengiringi rombongan itu mengucapkan selamat tinggal dengan lambaian tangan, pelukan erat dan doa agar perjalanan rombongan itu dipermudah dan ibadah mereka diterima.

Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam (tengah), juga menghantar rombongan jemaah umrah tersebut.
Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam (tengah), juga menghantar rombongan jemaah umrah tersebut. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Antara mereka yang hadir untuk mengucapkan selamat jalan kepada mereka ialah Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam.

“Perjalanan rombongan itu juga menjadi peringatan tentang pentingnya untuk terus menjadikan bimbingan dan sokongan agama lebih mudah diakses,” kata beliau dalam satu hantaran Facebook pada 10 Oktober.

Rombongan tersebut selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di Jeddah dengan penerbangan Saudia Airlines pada 10 Oktober sekitar 11.45 pagi, waktu Singapura.

Apabila dihubungi BH pada 12 Oktober, Encik Zaini berkata rombongan tersebut telah selamat menunaikan umrah pertama mereka dan tidak terkesan dengan serangan kumpulan Houthi pada 10 Oktober yang berlaku di lapangan terbang lain.

Mereka dijangka pulang ke Singapura pada 19 Oktober.