Topik diikuti
Pergi ke BHkuHasrat bawa jemaah pekak tunai umrah tercapai
16 jemaah pekak dan bisu berangkat untuk ibadah umrah pada 10 Oktober
Hasrat bawa jemaah pekak tunai umrah tercapai
Selepas menjalani ibadah umrah pada 2017, Cik Rozana Aini Kaseh, yang dilahirkan pekak, merasakan sendiri cabaran yang dilalui golongan berkeperluan khas, yang kurang sumber panduan untuk berbuat demikian.
Berbanding jemaah yang boleh mendengar yang menghadiri kelas amali sebelum menunaikan umrah, beliau sendiri hanya mampu bergantung pada buku-buku panduan umrah.
Berbekalkan semangat untuk membuat ibadah itu lebih mudah diakses golongan tersebut, beliau, yang boleh menggunakan bahasa isyarat, mengajak beberapa rakan pekak dari kelas agama yang dihadirinya di Masjid Sultan untuk ke Tanah Suci.
Hasrat Cik Rozana untuk membawa mereka ke sana akhirnya menjadi realiti apabila beliau dan suaminya, Encik Mohd Hanifa Mohd Ali yang juga pekak, bersama 14 jemaah pekak dan bisu berangkat ke Jeddah, Saudi pada dini hari 10 Oktober untuk menunaikan umrah.
Mereka menyertai 15 jemaah dan empat pegawai daripada NZ Travel Singapore. Turut menyertai rombongan itu ialah seorang jurubahasa isyarat yang akan mendamping jemaah pekak sepanjang ibadah mereka.
Berkongsi harapannya untuk umrah kali ini, Cik Rozana, bertugas sebagai pekerja pembersihan di pejabat, berkata:
“Saya berharap perjalanan kami dipermudah dan kami dapat menumpukan perhatian kepada ibadah kami.”
“Pakej umrah khas seperti ini, memastikan golongan berkeperluan khas juga dapat menikmati pengalaman beribadah dengan selesa, selamat, dan bermakna,” kata Cik Rozana ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Difahami kumpulan jemaah pekak itu membeli pakej pada harga yang sama seperti jemaah lain.
Cik Rozana juga melahirkan harapan agar lebih banyak kelas agama dan peluang menjalani umrah diadakan untuk golongan keperluan khas sepertinya.
Bercakap dengan BH, pengasas NZ Travel, Encik Zaini Azad Yahya berkata syarikatnya telah mengambil beberapa langkah sokongan tambahan bagi rombongan tersebut.
Difahami, peruntukan tambahan itu ditampung NZ Travel dan beberapa penaja dan tidak menyebabkan kos tambahan untuk jemaah.
“Kami juga mahu memudahkan urusan jemaah menjalankan ibadah. Jadi, kami cuba melengkapkan segala keperluan mereka seperti menyediakan pegawai dan mutawif tambahan serta lanyard pengenalan yang lebih khusus,” ujar Encik Zaini.
Semasa BH berada di Terminal 3 di Lapangan Terbang Changi pada malam 9 Oktober, suasana sayu boleh dirasai apabila ahli keluarga yang mengiringi rombongan itu mengucapkan selamat tinggal dengan lambaian tangan, pelukan erat dan doa agar perjalanan jemaah dipermudah dan ibadah mereka diterima.
Antara mereka yang hadir untuk mengucap selamat jalan kepada mereka ialah Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam.
“Perjalanan rombongan itu juga menjadi peringatan tentang pentingnya untuk terus menjadikan bimbingan dan sokongan agama lebih mudah diakses,” kata beliau dalam satu hantaran Facebook pada 10 Oktober.
Rombongan tersebut dijangka pulang ke Singapura pada 19 Oktober.
