Apa yang bermula daripada usaha tiga sahabat untuk mencari kelas senaman yang lebih mudah disertai, kini berkembang menjadi kumpulan Zumba yang aktif menggalakkan gaya hidup sihat dan mengeratkan silaturahim sesama anggota.

Kumpulan yang dikenali sebagai Group Kekal Sihat (GKS) itu diasaskan pada Februari 2025 oleh Cik Norliah Deraman, 59 tahun; Cik Juliyah Jaafar, 59 tahun; dan Cik Sarinah Kandar, 64 tahun.

Kelas Zumba yang diadakan secara mingguan di gelanggang badminton di Woodlands Drive 16 itu, kini menghimpunkan sekitar 20 anggota berusia antara lewat 30 tahun dengan lewat 70 tahun.

Lebih daripada sekadar kumpulan kecergasan, GKS menjadi wadah untuk anggotanya menjalin persahabatan dan saling memberi sokongan, kata anggota kumpulan itu.

Malah, ramai dalam kalangan mereka sanggup datang dari luar Woodlands setiap Ahad bagi menyertai sesi tersebut yang dimeriahkan dengan irama dangdut, Bollywood dan lagu-lagu berentak rancak.

Mengimbau permulaan GKS, Cik Norliah, memberitahu Berita Harian (BH), beliau dan dua rakannya mula berkenalan ketika menghadiri sebuah kelas Zumba sebelum menyedari lokasi serta jadual kelas berkenaan kurang sesuai dengan komitmen masing-masing.

“Kami mengambil keputusan untuk mencari jurulatih Zumba bertauliah melalui cadangan daripada kenalan untuk memulakan kelas yang lebih sesuai dengan keperluan kami.

“Nasib baik kami bertemu dengan Cikgu Rafidah Sani yang bersetuju mengendalikan kelas setiap Ahad dengan syarat sekurang-kurangnya 10 peserta menyertainya,” kata Cik Norliah yang kini menjaga cucu-cucunya sambil mencari peluang pekerjaan.

Kini, sesi Zumba yang dikendalikan Cikgu Rafidah berlangsung setiap Ahad dari 9.15 pagi hingga 10.15 pagi dengan yuran penyertaan sebanyak $6 seorang.

Penyertaan dalam kelas tersebut berkembang menerusi perkongsian daripada perbualan langsung serta anggota sedia ada yang mengajak rakan dan kenalan untuk turut serta.

Menurut Cik Norliah, kelas itu direka untuk memenuhi keperluan peserta daripada pelbagai tahap kecergasan, sekali gus membolehkan setiap individu bersenam mengikut kemampuan masing-masing.

Bagi Cik Juraini Ahmad Ishak, 54 tahun, yang menyertai GKS sejak penubuhannya, sesi Zumba mingguan bukan lagi sekadar kegiatan untuk mengekalkan penampilan, malah, usaha untuk memastikan beliau terus cergas dan berdikari apabila usia semakin meningkat.

“Seronok ber-Zumba bersama mereka. Kami banyak ketawa, dan pada masa yang sama belajar daripada Cikgu Rafidah cara menguatkan tulang dan badan supaya tidak mudah terseliuh atau terjatuh.

“Apabila ada kawan, hati pun gembira, badan sihat dan saya rasa mutu hidup juga semakin meningkat,” kata guru tadika sambilan itu.

Beliau turut aktif berkongsi perjalanan penurunan berat badan serta kegiatan Zumba GKS di TikTok dengan harapan dapat menggalakkan lebih ramai mengamalkan gaya hidup aktif.

Anggota kumpulan Zumba itu berkata antara manfaat senaman itu termasuk peningkatan pergerakan dan kelenturan badan, keupayaan melakukan kegiatan harian, serta keyakinan untuk kembali aktif selepas menjalani pembedahan atau berdepan masalah kesihatan dengan bersenam.

Menurut Cik Norliah, hubungan yang terjalin dalam kalangan anggota juga tidak terhad di gelanggang senaman semata-mata.

“Kami juga sering mengadakan aktiviti bersama di luar kelas seperti berjalan-jalan dan bercuti.

“Tetapi tujuan utama bukan untuk membeli-belah, sebaliknya mengeratkan hubungan melalui aktiviti seperti luncur udara (paragliding), menyeberangi jambatan gantung dan menikmati tempat-tempat menarik bersama,” tambahnya.

GKS turut mempunyai pakaian seragam sendiri dengan warna merah jambu sebagai pilihan utama, sekali gus menyemarakkan semangat kekitaan dalam kalangan anggota.

Kejayaan GKS bukan diukur melalui jumlah anggota, tetapi kemampuan kumpulan itu membantu peserta kekal aktif dan saling menyokong ketika usia semakin meningkat.

“Apabila kita sihat, kita bukan sahaja dapat menjaga diri sendiri, malah mampu menjaga ibu bapa dan keluarga dengan lebih baik,” katanya.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui Facebook GKS Group Kekal Sihat.