Sesi senaman selama 15 minit selepas solat Jumaat kini menjadikan Masjid Yusof Ishak sebagai ruang yang tidak dijangka untuk menggalakkan penuaan aktif di kalangan jemaah lelaki warga emas.

Inisiatif 15-Minute Bodyweight Strength Training for Senior Men yang diadakan di dewan solat utama masjid yang terletak di 10 Woodlands Drive 17 itu membolehkan jemaah warga emas meluangkan masa untuk bersenam bersama sebelum pulang.

Menurut Penolong Pengurus bagi Jangkauan Komuniti Masjid Yusof Ishak, Ustaz Abdul Fattah Abdussamad, pihak masjid mahu memudahkan jemaah warga emas untuk kekal aktif dengan membawa kegiatan senaman ke tempat yang sememangnya mereka kunjungi setiap Jumaat.

“Daripada meminta mereka pergi ke tempat lain atau komited terhadap program kecergasan yang lebih panjang, kami terfikir, ‘Mengapa tidak kita bawakan sesi senaman yang singkat dan mudah diikuti terus ke lokasi masjid?’” ujarnya.

Inisiatif ini turut melengkapi usaha masjid menerusi program Santunan Emas, yang bertujuan mendekati dan menyokong warga emas dalam kehidupan seharian mereka.

Menurut Ustaz Fattah, 40 tahun, terdapat kaitan semula jadi antara kecergasan fizikal dengan kehidupan harian dan ibadah warga emas.

Beliau berkata mengekalkan kecergasan dapat membantu warga emas bergerak dengan lebih yakin, terus hadir ke masjid, serta menjalankan kegiatan harian dan ibadah mereka.

“Pesanan kami kepada mereka mudah sahaja iaitu kekal aktif, kekal kuat, dan teruskan ibadah dengan penuh keyakinan,” katanya.

Ustaz Fattah menerangkan bahawa tempoh 15 minit sengaja ditetapkan bagi memastikan sesi senaman mudah disertai dan tidak membebankan, khususnya bagi warga emas yang tidak bersenam secara kerap.

Dikendalikan oleh seorang jurulatih peribadi bertauliah American Council on Exercise (ACE), Encik Arun Rosiah, 62 tahun, yang juga merupakan seorang jemaah masjid tersebut, program itu dijalankan secara sukarela setiap Jumaat dari 2.45 petang hingga 3 petang.

Menurut guru latihan jasmani itu, kerusi plastik digunakan bagi memastikan sesi latihan selamat dan tidak menakutkan, terutamanya bagi golongan warga emas.

Malah, beliau menerapkan sistem latihan empat tonggak dalam sesi tersebut bagi menangani keperluan warga emas seperti ketangkasan, refleks, serta fungsi kognitif.

“Saya bukan sekadar mengajar perkara yang saya tahu; saya sendiri pernah melalui perjalanan daripada keadaan sangat lemah, sakit dan terlantar kepada membina semula kekuatan diri,” katanya.

Encik Arun, yang pernah menghidapi barah kolorektal tahap tiga, terdorong menggunakan pengetahuannya dalam bidang kecergasan untuk menyumbang kepada masyarakat selepas menunaikan ibadah haji pada 2022.

Apabila mendengar khutbah Jumaat mengenai kaitan kesihatan dan kecergasan dengan ibadah pada Julai lalu, beliau melihatnya sebagai peluang untuk bekerjasama dengan masjid untuk memperkenalkan inisiatif itu.

“Selain membantu mereka membina semula kesihatan fizikal, peluang melihat mereka membina ikatan persaudaraan dan silaturahim yang berkekalan membuatkan saya berasa sangat bersyukur kepada Allah kerana memberi saya peluang dan kemampuan untuk membantu komuniti ini,” terang Encik Arun.

Senaman yang dilakukan pula terdiri daripada pergerakan berat badan yang ringkas dan berimpak rendah, dengan tumpuan kepada kekuatan, keseimbangan, dan mobiliti bagi membantu pergerakan seharian.

Sesetengah pergerakan boleh dilakukan secara duduk, manakala kerusi plastik digunakan sebagai sokongan bagi senaman tertentu.

Encik Arun turut dikatakan akan menyesuaikan pergerakan mengikut keupayaan peserta, tanpa mengharapkan semua peserta melakukan senaman pada tahap yang sama.

Dalam setiap sesi, peserta biasanya melakukan sekitar empat hingga lima jenis pergerakan.

“Meskipun program itu baru sahaja diperkenalkan pada 24 Julai lalu dan masih di peringkat awal, sambutan yang diterima setakat ini menggalakkan, dengan sekitar 10 warga emas menyertai setiap sesi,” ulas Ustaz Fattah.

Tempoh 15 minit sengaja ditetapkan bagi memastikan sesi senaman mudah disertai dan tidak membebankan, khususnya bagi warga emas yang tidak bersenam secara kerap.
Tempoh 15 minit sengaja ditetapkan bagi memastikan sesi senaman mudah disertai dan tidak membebankan, khususnya bagi warga emas yang tidak bersenam secara kerap. - Foto TANGKAP LAYAR INSTAGRAM PLATINUM GRAY UNDERTONES

Menurut pihak masjid, masih terlalu awal untuk menilai sebarang perubahan fizikal dalam kalangan peserta kerana penilaian sebelum dan selepas program belum dijalankan secara formal.

Namun, apa yang menggalakkan ialah peserta semakin selesa dengan idea untuk bersenam bersama dan menyedari bahawa mengekalkan kecergasan tidak semestinya memerlukan gimnasium, peralatan khusus, atau sesi senaman panjang, kongsi mereka.

Bagi pihak masjid, perubahan sikap itu sendiri merupakan satu langkah penting.

Pada masa akan datang, Masjid Yusof Ishak juga bercadang menjejaki penyertaan dan penglibatan berterusan dengan lebih sistematik bagi memahami perkembangan program tersebut serta sejauh mana ia dapat menggalakkan lebih ramai warga emas untuk kekal aktif.