Topik diikuti
Pergi ke BHkuMangobossku teruskan khidmat dandanan kucing, bakal tingkat kemahiran diri
Mangobossku teruskan khidmat dandanan kucing, bakal tingkat kemahiran diri
Mangobossku teruskan khidmat dandanan kucing, bakal tingkat kemahiran diri
Meskipun menerima kritikan dan laporan yang dibuat terhadapnya berhubung perkhidmatan dandanan kucing yang ditawarkan, pempengaruh Encik Mohammad Hussin Said, lebih dikenali sebagai Mangobossku, terus mempromosikan perkhidmatan tersebut di media sosial.
Dalam hantaran terbaharunya pada 11 Julai yang mengiklankan perkhidmatan itu, beliau menegaskan bahawa tiada niat untuk menyakiti atau mendera kucing, sebaliknya usaha itu dilakukan demi kebaikan serta kebersihan haiwan berkenaan.
“Biarkan apa orang cakap, yang penting kita tahu apa kita buat bukan nak sakitkan kucing atau pun nak dera kucing, kita buat ini semua untuk kebaikan dan kebersihan kucing,” kata Encik Hussin di kapsyen hantaran tersebut.
Hantaran tersebut mendapat sokongan daripada beberapa pengikutnya, termasuk pemilik Cats Garage dan pendandan kucing profesional, Cik Aziemah Zakiyyah Azmi, yang memberikan kata-kata semangat di ruangan komen.
“Kerja yang bagus! Saya suka cara pengendalian seperti ini. Awak cepat belajar. Teruskan usaha.
“Kita semua bermula di suatu tempat. Jika seseorang sanggup belajar dan memperbaiki diri, saya gembira untuk menyokong mereka. Akhirnya, matlamat kita sentiasa sama iaitu memastikan kebajikan kucing lebih terjaga,” katanya di ruangan komen.
Dalam video yang berdurasi tujuh minit itu, Encik Hussin kelihatan sedang mendandankan seekor kucing yang sukar dikendalikan, namun tetap berjaya memujuk dan menenangkan kucing tersebut sepanjang proses dandanan.
Video berkenaan turut mendapat reaksi positif daripada beberapa pengikutnya.
Antaranya ialah pengguna nama ‘chomelisme’ yang berkata:
“Menyaksikan bos beraksi. Daripada seorang bos kepada penjinak kucing. Seekor kucing yang ditolak ramai pendandan dan pemiliknya sendiri sukar mengendalikan? Cabaran diterima, Alhamdulillah. Syabas Bossku!
Pada masa yang sama seorang lagi pengguna ‘lustfulbakes’, berkata mendapat kepercayaan daripada kucing yang garang dan tidak mahu bekerjasama bukan sesuatu yang mudah.
“Bukan mudah untuk membuat kucing yang garang dan tidak bekerjasama akhirnya mempercayai anda serta kekal tenang.
“Ada pendandan yang menolak untuk mengendalikan kucing seperti ini. Malah ada pemilik sendiri yang tidak mampu menguruskan kucing mereka ketika membersihkan dan mendandan. Teruskan menimba pengalaman dan belajar sepanjang perjalanan. Insya-Allah semuanya akan menjadi lebih baik,” katanya.
Malah, Encik Hussin turut mempromosikan beberapa pilihan gaya potongan bulu atau gaya dandanan untuk kucing yang kian meraih perhatian ramai seperti Lion Cut dan Bear Cut yang menyerupai singa dan beruang.
BH juga difahamkan bahawa Encik Hussin merancang untuk mengikuti latihan di bawah Program Universal Cat Association (UCA) Cat Grooming, sebuah program pensijilan dandanan kucing yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Sebelum ini, BH mendapati terdapat sebahagian netizen yang meluahkan kebimbangan terhadap cara pengendalian kucing dalam perkhidmatan dandanan yang diperkenalkan Mangobossku, sehingga ada yang membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Siasatan berhubung laporan berkenaan masih dijalankan.
