Berita Netizen
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Mat Salleh’ jatuh cinta dengan ais kacang di S’pura, kini jaja di Sweden

Sep 10, 2025 | 6:15 PM
Encik Nic Ribbarp dan isterinya Cik Vas Ribbarp bergambar di kota Sweden dengan mesin ais kacang dan basikal tiga rodanya.
Encik Nic Ribbarp dan isterinya Cik Vas Ribbarp bergambar di kota Sweden dengan mesin ais kacang dan basikal tiga rodanya. - Foto oleh Elin Bandmann

Bagi mereka yang sering berkunjung ke Eropah pada musim panas, ada yang mungkin tidak akan melepaskan peluang menikmati aiskrim atau gelato yang sejuk dan pelbagai perisa.

Namun, di tengah-tengah kota Stockholm, Sweden, seorang lelaki warga tempatan atau ‘Mat Salleh’ memilih untuk menjaja manisan ikonik dari Asia – ais kacang.

Baru-baru ini, kisah penjaja ais kacang ini tular di media sosial setelah seorang pengguna TikTok, @wawawandering, berkongsi videonya yang segera mencuri perhatian netizen. Ramai yang teruja melihat ais kacang dapat dinikmati di negara Scandinavia itu.

Video tersebut telah meraih lebih 554 juta tontonan, dengan rata-rata netizen kagum melihat mesin ais kacang asli yang digunakan – diperbuat daripada besi dan dikendalikan secara manual untuk menghasilkan ais halus seperti salji.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Encik Nik Ribbarp, 61 tahun, berkata beliau jatuh cinta pada sajian tradisional itu ketika kali pertama mencubanya di Singapura sekitar tahun 1989, iaitu ketika beliau berkenalan dengan bakal isterinya, Cik Vas Ribbarp, seorang warga Singapura berbangsa India.

“Kali pertama saya merasa ais kacang adalah di Singapura. Saya amat menyukainya, dan sejak itu terdetik hasrat untuk menjadikannya satu perniagaan apabila pulang ke Sweden.

“Namun, impian itu hanya menjadi kenyataan pada 2010, apabila saya memulakan ‘The Lean Mean Green Machine’,” katanya dari kediamannya di Sweden.

Menurut Encik Ribbarp, mesin ais kacang itu dibelinya di Kuala Lumpur pada 1999 daripada seorang pak ciknya. Beliau kemudian membawa pulang dua set mesin tersebut dalam penerbangan ke Sweden.

“Saya membeli dua set kerana bimbang jika salah satu rosak, saya masih ada gantinya. Mesin ini bukan mudah didapati di luar negara,” jelasnya.

Namun, usaha memulakan perniagaan tidak berjalan lancar. Encik Ribbarp mengakui beliau gagal menghasilkan ais dengan tekstur sesuai untuk dikisar halus, menyebabkan hasratnya terpaksa ditangguhkan sehingga 2009.

Kini, sejak 2010, beliau giat berniaga ais kacang menggunakan gerai basikal roda tiganya yang dibina sendiri, dan hanya beroperasi pada musim panas kerana lebih menggemari suasana kota ketika itu.

“Musim panas di sini amat singkat dan suhunya sederhana. Jika cuaca mencecah bawah 20 darjah Celsius, saya tidak akan keluar berniaga,” kata beliau yang pernah bermastautin di Singapura selama tiga tahun bersama keluarganya.

Apabila musim bertukar, Encik Ribbarp kembali kepada pekerjaan asalnya sebagai pembikin filem yang memerlukan beliau ulang-alik ke negara lain.

Jenama ‘The Lean Green Ais Kacang Machine’ menawarkan semangkuk ais kacang pada harga 60 SEK (sekitar $8), lengkap dengan kacang merah, jagung, jeli, sirap dan susu pekat manis.

Untuk memenuhi permintaan golongan muda yang mengutamakan pilihan vegan, beliau turut menyediakan santan sebagai pengganti susu pekat manis.

Selain itu, Encik Ribbarp turut menekankan penggunaan kacang merah yang direbus khas bagi melengkapkan hidangan ais kacangnya.

Walaupun sudah lama menjaja ‘ais kacang’, Encik Ribbarp mengakui respons daripada orang Eropah tidak begitu memberangsangkan, malah beliau perhatikan lebih ramai pembelinya orang dari negara Asia.

“Buat masa ini, saya menggangap menjual ais kacang sebagai satu hobi, dan dapat perkenalkan manisan ini kepada orang ramai,” kata Encik Ribbarp yang mempunyai seorang anak perempuan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg