Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

PANDANGAN

Prabowo pemanas kerusi anak Jokowi?

Feb 19, 2024 | 05:30 AM



Menteri Pertahanan Indonesia, Encik Prabowo Subianto akhirnya mengecap kemenangan selepas keputusan kiraan pantas tidak rasmi pilihan raya pada 14 Februari menunjukkan beliau telah memenangi jawatan Presiden Indonesia dengan hampir 60 peratus undian.

Pada usia 72 tahun, Encik Prabowo adalah calon tertua dalam pertandingan itu dan merupakan percubaan ketiganya selepas dua kali gagal menentang Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo atau Jokowi pada 2014 dan 2019.

Selepas kerjaya tentera yang penuh kontroversi, beliau menyertai politik pada 2004 dan telah terbukti berdaya tahan.

Penglibatan pertamanya dalam politik pilihan raya adalah pada 2009, apabila beliau bergandingan dengan presiden kelima, Cik Megawati Sukarnoputri sebagai calon naib presidennya, tetapi mereka kecundang.

Setahun sebelum itu pada 2008, Encik Prabowo mengasaskan parti politik Gerindra dan menjadi pengerusinya sejak 2014.

Di bawah kepimpinannya, Gerindra telah meningkat menjadi parti ketiga terbesar di Parlimen dengan 78 kerusi.

Dalam pilihan raya ini, beliau cuba mencipta semula dirinya, meninggalkan persona tenteranya yang keras kepada seorang yang lebih mudah didekati.

Perhimpunan beliau tampak bertenaga, menampilkan muzik mengujakan yang dikenali sebagai ‘gemoy’ atau gerakan tarian comel, yang kini menjadi bahan kelas senaman Zumba di sini.

Meskipun beliau tidak menerima sebarang sokongan jelas daripada Encik Jokowi, beliau semakin popular hasil pergaulannya dengan musuh politik lamanya itu.

Lima tahun telah berlalu sejak Encik Prabowo dengan dengan marah membantah keputusan Pilihan Raya Presiden 2019 yang mencetuskan polarisasi dan menyebabkan rusuhan ganas di Jakarta.

Rusuhan selama dua hari itu meragut lapan nyawa dan ratusan lagi cedera.

Dalam apa yang dipercayai secara meluas sebagai quid pro quo politik atau bagi membalas sokongan, beliau kemudiannya menjadi Menteri Pertahanan dalam kabinet Encik Jokowi sehingga 2019.

Pada minggu-minggu menjelang 14 Februari, Encik Jokowi keluar makan dengan teman mesranya itu di sebuah restoran di kawasan mewah Menteng di Jakarta pada 5 Januari dan pada lewat Januari, menjamu selera berupa sup bebola daging di gerai jalanan di Magelang, Jawa Tengah.

Encik Prabowo tanpa jemu menzahirkan komitmennya untuk meneruskan pembangunan ekonomi dan projek prasarana warisan Encik Jokowi yang bercita-cita tinggi, termasuk memindahkan ibu kota pentadbiran dari Jakarta ke Nusantara di Kalimantan Timur.

Bagaimanapun, beberapa penganalisis mempersoalkan sama ada beliau akan kekal setia kepada Encik Jokowi dan, jika ya, untuk berapa lama.

“Berapa lama hubungan harmoni antara Encik Jokowi dengan Encik Prabowo ini akan bertahan? Perlawanan akhirnya ialah Encik Gibran (Rakabuming Raka) menjadi Presiden, bukan Naib Presiden.

“Adakah Encik Gibran akan cukup sabar untuk menunggu 10 tahun (jika Encik Prabowo berkhidmat dua penggal Presiden) atau berpisah di tengah jalan?” kata Encik Yoes Kenawas, zamil penyelidik di Universiti Katolik Atma Jaya, merujuk kepada pasangan calon Encik Prabowo, iaitu Encik Gibran, 36 tahun, yang merupakan anak Encik Jokowi.

Sambil menyatakan Encik Prabowo akan mempunyai “sekutu sendiri” dan kemungkinan akan “memuaskan” kepentingan mereka terlebih dahulu sebelum kepentingan Encik Jokowi dan Encik Gibran, tambah Encik Yoes:

“Encik Gibran perlu membina portfolionya dalam tempoh lima tahun akan datang untuk membuktikan bahawa beliau mempunyai apa yang diperlukan untuk menjadi seorang pemimpin dan bukan sahaja memenuhi kedudukannya sebagai anak Presiden,” katanya.

Bahkan, ada yang percaya bahawa Encik Prabowo, pada usianya yang lanjut, mungkin hanya menepati janjinya kepada Encik Jokowi.

Apatah lagi beliau bukan lagi Leftenan Jeneral Tentera yang tegas seperti dahulu.

Beliau menyertai Abri, nama lama untuk angkatan bersenjata Indonesia, dalam 1974, dan meningkat menjadi komander Komando Pasukan Khusus (Kopassus) pada 1996.

Dua tahun kemudian, beliau menjadi komander Komando Cadangan Strategis Angkatan Darat (Kostrad).

Semasa tempoh berkempen pada 28 November hingga 10 Februari di seluruh pelosok negara atau dikenali sebagai ‘politik safari’, beliau tampak keletihan.

Di Cilincing, kejiranan miskin di utara ibu kota Jakarta, rakaman menunjukkan Encik Prabowo terhincut-hincut dan menyandarkan tangannya pada bahu seseorang.

Di atas pentas satu acara lain, beliau dilihat tersandung dan jatuh terlentang selepas menyertai tariannya yang kini terkenal di Indonesia.

Tetapi beliau tetap bersemangat.

Di Sumatera, beliau mendapat sokongan padu ketika melawat beberapa wilayah dalam satu hari.

Para pengundi mengalu-alukannya, berjabat tangan dan berswafoto bersamanya.

Ucapannya berapi-api dan suaranya sentiasa bergemuruh, sama ada ketika mengumumkan rancangannya untuk memberi makan tengah hari dan susu percuma sebagai sebahagian daripada program pemakanan untuk memerangi masalah bantut dalam kalangan pelajar sekolah, atau menangkis kritikan bahawa beliau mungkin terlalu emosi dan tidak digilap secukupnya.

Leftenan Jeneral tiga bintang yang telah bersara itu tanpa berselindung, berkata:

“Saya seorang bekas tentera, saya bercakap dengan jelas. Saya tidak bercakap seperti golongan elit, ahli akademik. Itu hanya teori, kata-kata kosong.”

Kata-katanya mungkin membingungkan sesetengah orang kerana beliau berasal daripada latar belakang yang istimewa.

Anak ketiga daripada empat beradik, beliau dilahirkan dalam salah sebuah keluarga paling berkuasa di Indonesia.

Bapanya, Dr Soemitro Djojohadikusumo, adalah seorang ahli ekonomi terkemuka dan pernah menjadi menteri Kabinet kepada mantan presiden Sukarno dan Suharto.

Datuknya, Encik Margono Djojohadikusumo, adalah pengasas Bank Negara Indonesia milik negara.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan salah seorang anak perempuan Presiden Suharto, Cik Siti Hediati Hariyadi, pada 1983, tetapi bercerai kemudiannya.

Pasangan itu mempunyai seorang anak lelaki, Encik Ragowo Hediprasetyo Djojohadikusumo, seorang pereka fesyen yang berpangkalan di Paris.

Encik Prabowo adalah antara calon presiden terkaya, dengan kekayaan lebih 2 trilion rupiah ($172 juta) pada 31 Mac 2023, menurut angka pemerintah.

Beliau juga mengasaskan beberapa perniagaan dalam industri minyak sawit, arang batu dan gas, perlombongan, pertanian dan perikanan.

Namun, rekod ketenteraannya kekal sebagai titik kelemahannya.

Sebagai komander Kopassus, Encik Prabowo dituduh terlibat dalam kehilangan secara paksa aktivis prodemokrasi pada penghujung 1990-an, tuduhan yang beliau nafikan dan tidak pernah didakwa.

Beliau turut dituduh melakukan pencabulan hak asasi manusia di Timor-Leste, kemudian dikenali sebagai Timor Timur, dan di Papua.

Encik Prabowo diberhentikan daripada tentera pada 1998.

Penganalisis telah memberi amaran bahawa tentera mungkin kembali menyusup dalam kehidupan awam di bawah pemerintahannya, walaupun mereka meragui Indonesia akan kembali kepada rejim Orde Baru yang menindas di bawah Presiden Suharto.

“Dengan latar belakang ketenteraan Encik Prabowo… dasar yang akan dihasilkan jika beliau dipilih sebagai presiden akan banyak memberi manfaat kepada tentera, atau sekurang-kurangnya ia akan mempunyai pengaruh besar dalam penggubalan dasar melalui Parlimen,” kata Cik Sri Yanuarti, penyelidik kanan politik, Badan Penyelidikan dan Inovasi Nasional.

Buat masa ini, Encik Prabowo telah berikrar untuk melindungi rakyat.

Berucap kepada ribuan penyokong yang hadir di kompleks sukan tertutup semasa ucapan kemenangannya di Jakarta pada 14 Februari, beliau berkata:

“Kami akan menjadi Presiden dan Naib Presiden untuk semua rakyat Indonesia...

“Apa jua suku, apa jua kumpulan etnik, apa jua kaum, agama, apa pun latar belakang sosial, menjadi tanggungjawab kami untuk menjaga kepentingan mereka. Kami akan himpunkan pasukan pemerintah yang terdiri daripada putera dan puteri bangsa Indonesia.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >