Anak cucuku, maafkan ibu dan nenekmu ini
Setelah usiaku tujuh puluh tahun, baru hendak berpesan pada kalian.
Jagalah aurat sedari kecil.
Jangan biarkan yang bukan hak menyentuh
Tujuh rongga di tubuh kalian kecuali darurat.
Kukatakan demikian kerana
Ketika usiaku tujuh puluh tahun
Tenagaku sudah lampus
Hanya kekentalan semangat bermunajat
Mohon Yang Kuasa menyambung hayat,
Dalam keadaan diri seperti diperkosa dan disiat-siat.
Kebocoran injap jantung kedua mendebarkan rasa setiap waktu.
Terbayang Izrail sudah menunggu.
Pembedahan risiko tinggi terpaksa juga kulalu
Kiranya tidak mahu bahaya juga sedang menunggu
Kuserah diri pada yang Kuasa
Ditangani tangan-tangan bijaksana dengan izin-Nya.
Morfin penenang perubatan
Zikir penenang jiwaku yang kontang.
Maka timbul keinginan, bagaimana aku hendak berpesan pada anak cucuku
Jagalah aurat terutama tujuh rongga.
Kecuali darurat dan tidak berdaya.
Usia tujuh puluh tahun, nenekmu sudah tidak berdaya
Semasa pembedahan rumit yang hampir meragut nyawa
Mulut dirodok paip sambung nyawa atau pembantu usia
Lubang hidung diusik tiub oksigen
Lubang telinga dimasukkan jangka suhu, untuk tahu demam tak demam
Rongga seni dimasukkan tiub buang air kecil
Ah rongga sungai besar juga diusik juga dengan memasukkan julap. Alahai.
Itu semua dalam keadaan tidak sedar dan tidak berdaya.
Bersambung hingga keadaan selesa.
Malunyaaaa.
Ya Tuhan, ampunkan aku.
ROHANI DIN


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg