Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Beroleh zuriat selepas jalani IVF

Jun 05, 2023 | 06:42 AM



SETELAH beberapa tahun menunggu, penantian Cik Nur Arini Suratman dan Encik Muhammad Zulfeqar Samsuri untuk mendapat cahaya mata akhirnya mencapai penghujungnya sekitar lima bulan lalu.

Pada 19 Disember 2022, pasangan itu menyambut kelahiran anak sulung mereka yang comel, Ari Idris.

Namun, perjalanan Cik Arini, 33 tahun, dan Encik Zulfeqar, 32 tahun, mendapat zuriat tidak semudah yang disangkakan.

Pasangan itu berkongsi mereka menerima berita akan menimang cahaya mata pertama mereka setelah melalui proses persenyawaan in vitro (IVF).

Selepas mendirikan rumah tangga pada Julai 2019, mereka berusaha selama setahun untuk mendapat anak, namun tidak berjaya.

Lalu, mereka memutuskan untuk mendapatkan bantuan rawatan kesuburan di Hospital Universiti Nasional (NUH).

Di situ, Cik Arini mendapat tahu beliau sebenarnya mengalami penyakit sindrom polisistik ovari (PCOS), manakala Encik Zulfeqar pula dimaklumkan beliau mempunyai jumlah sperma yang rendah.

“Kita rasa sedikit kecewa, tetapi lega juga kerana sekurang-kurangnya, sekarang kita tahu kita ada masalah yang boleh dirawat.

“Selepas kita berjumpa dengan doktor dan fahami masalah yang kita ada, kita cuba mendapatkan rawatan dan ubah gaya hidup kita dalam usaha mendapatkan zuriat,” kata Encik Zulfeqar, seorang pengurus pembangunan dron.

Cik Arini, seorang pegawai komunikasi dan pendekatan, berkata beliau mengurangkan makanan yang mempunyai kandungan gula yang sudah diproses dan minum kopi tanpa kafein.


Sementara itu, Encik Zulfeqar, yang menghidapi gout, memutuskan untuk menghentikan pengambilan ubat bagi penyakitnya dan sebaliknya, mula menjaga kesihatannya dengan rapi selain mengambil makanan tambahan.

Menurut beberapa laporan saintifik, ubat bagi gout boleh menjejas kesuburan lelaki jika diambil untuk jangka panjang.

Encik Zulfeqar juga menukar pekerjaannya. Pekerjaannya sebelum ini memerlukan beliau menyelidik dan turun padang menguji penggunaan dron, namun ini bermakna beliau terdedah kepada frekuensi gelombang radio tinggi – yang berpotensi menyumbang kepada faktor jumlah sperma rendah.

Dengan bantuan Dr Huang Zhongwei, konsultan divisyen endokrinologi reproduktif dan ketidaksuburan, di jabatan kehamilan dan sakit puan NUH, pasangan itu menjalani IVF pada 2021.

Cik Arini berkongsi bahawa tubuhnya menghasilkan 10 telur hasil suntikan hormon yang merangsang ovari untuk berkembang dan mengeluarkan telur matang yang sedia untuk persenyawaan.

Bagaimanapun, hanya tiga daripada 10 telur tersebut berjaya menjadi embrio.

Dua pemindahan embrio yang pertama gagal membawa kepada kehamilan, namun mujur, yang ketiga – dan terakhir – membuat Cik Arini mengandung, sekali gus memenuhi impian dan doa pasangan itu untuk menjadi ibu bapa.

“Pada hari yang saya sepatutnya menjalani ujian darah (bagi mengetahui jika beliau hamil), saya telah pun lakukan ujian kehamilan sendiri terlebih dahulu kerana saya dapat rasakan perbezaan pada tubuh saya dan saya dapat rasakan yang saya hamil.

“Dan betul, selepas saya ambil ujian darah, jururawat hubungi saya untuk mengesahkan yang saya hamil. Saya dan suami menangis apabila terima berita itu. Ia satu proses yang menyentuh perasaan kami,” kata Cik Arini.

Berkongsi nasihat, Cik Arini berkata pasangan yang menghadapi kesukaran mendapat zuriat harus mendapatkan bantuan dan menjalani pemeriksaan kesuburan.

“Jika anda menanti terlalu lama untuk mendapatkan anak, mungkin ia akan menjadi terlalu lewat kerana usia juga memainkan peranan penting,” kata beliau.

Oleh sebab isu kesuburan sering kali dipandang sebagai lebih sensitif untuk golongan Adam, Encik Zulfeqar berkata orang lelaki harus melihat perkara tersebut secara objektif dan tampil menjalani pemeriksaan kerana ia akan membantu usaha mereka dan pasangan dalam mendapat zuriat.

“Pada saya, kalau nak ada anak perlu kedua-dua suami dan isteri. Ia bukan hanya masalah isteri atau masalah suami sahaja. Jangan fikir tentang apa orang lain cakap.

“Bila anda periksa masalah yang anda ada, anda akan tahu apa yang perlu dilakukan, sama ada untuk tukar gaya hidup, ambil ubat atau makanan tambahan, dan sebagainya. Ini semua untuk kebaikan diri sendiri dan juga cara untuk menolong isteri anda dan dapat anak,” kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >