Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Berpeluang dalami isu masyarakat melalui dialog bersama

Oct 27, 2023 | 06:24 PM



Cik Iva Aminuddin, 44 tahun, selaku Pengarah di Kumpulan Masa Depan Pembelajaran Kolej Perkhidmatan Awam, bekerja rapat dengan pelajar dewasa.

Sebahagian daripada tugasnya sebagai pengarah adalah membantu pelajar dewasa dari sudut mencari pengajian atau kursus yang sesuai. Ini dilakukan melalui perbualan dan dialog bersama mereka untuk mengenal pasti kekuatan dan minat mereka.

Dengan sifatnya yang ekstrovert dan ramah, keinginan memperbaiki diri dan kemahiran profesionalnya mendorong Cik Iva mengambil keputusan menjadi fasilitator bersama inisiatif Melakar Hala Tuju Singapura atau Forward SG.


Beliau juga merasakan bahawa Forward SG merupakan satu platform yang mencabar dan banyak yang dapat dipelajarinya daripada peserta dan relawan lain.


“Hubungan sosial yang terjalin semasa sesi dialog membantu saya mendalami isu-isu sosial masyarakat. Kepelbagaian pendapat yang dikongsi juga membantu memperbaiki mutu tugasan harian saya”, kata Cik Iva kepada Berita Harian (BH).


Laporan Melakar Hala Tuju Singapura atau Forward SG yang dikeluarkan pada Jumaat, menggariskan cara pemerintah akan bekerjasama dengan warga Singapura untuk menyegarkan semula kompak sosial bagi masa hadapan negara.


Antara strategi yang dibentangkan adalah menggalakkan warga memainkan peranan sebagai sebuah rakyat yang bersatu.

Mengimbas pengalamannya menyertai perbincangan dengan warga lain, Cik Iva berkata beliau berminat mendengar pendapat dan perkongsian terutama sekali mengenai topik pendidikan.

Sebagai seorang ibu yang mempunyai empat anak lelaki yang masih lagi bersekolah, beliau ingin tahu lebih lanjut tentang laluan pendidikan yang sedia ada untuk anak-anaknya.

Beliau juga ingin tahu bagaimanakah masyarakat mendefinisikan kejayaan supaya anak-anaknya dapat membesar dan menjadi individu yang holistik, mengikut peredaran zaman.

Tetapi, topik yang paling menarik untuknya adalah yang menyentuh mengenai kemampanan.

Baginya, isu itu adalah sebuah isu yang baru. Dalam satu sesi yang dikendalikan olehnya, beliau turut berpeluang mempelajari tentang inisiatif di estet perumahannya sendiri.

“Saya baru dapat tahu mengenai satu inisiatif di mana kita boleh menderma barang-barang seperti tepung gandum atau serbuk penaik yang hampir tamat tempohnya.

“Barang dapur ini akan digunakan untuk membuat kek atau kuih-muih oleh relawan dan kemudian ia akan diedarkan kepada penduduk-penduduk estet itu,” kongsi Cik Iva.

“Ia merupakan satu inisiatif yang baik kerana kita dapat mengurangkan pembaziran makanan dan kita juga dapat menderma dan memupuk sifat berkongsi sesama lain,” tambahnya.

Walaupun kadangkala kesuntukan masa, Cik Iva akan cuba meluangkan masa, jika boleh, untuk menjadi relawan. Beliau ingin mengajak keluarganya bersama menjadi relawan seperti mengutip sampah di pantai bersama.

Ini, menurutnya, dapat memupuk nilai-nilai positif dalam diri anak-anaknya itu.

Cik Iva berharap sebagai satu masyarakat, warga negara ini akan selalu merasakan semangat kekitaan.

Oleh kerana beliau pernah menetap di Amerika Syarikat sementara bersama keluarganya, beliau ingin supaya anak-anaknya menganggap Singapura sebagai tanah air mereka.

Beliau berharap masa hadapan kita adalah sesuatu yang dapat dikongsi bersama menerusi penglibatan sivik.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >