Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

RENCANA

Bidang perubatan dan terapi tradisional Melayu boleh berkembang

Pengamatan dibuat Presiden Persatuan Perubatan Warisan Melayu (PPWM) berdasarkan bilangan pelanggan yang semakin meningkat
Aug 14, 2023 | 05:30 AM



Perubatan dan terapi tradisional Melayu telah menyaksikan perkembangan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Lebih ramai golongan muda kian ke hadapan untuk menceburi bidang ini dan mengamalkan serta menawarkan khidmat sebagai pakar perubatan dan terapi tradisional.

Bilangan pelanggan yang mendapatkan khidmat ini juga semakin meningkat, merangkumi pelbagai lingkungan usia.

Ini menandakan bahawa perubatan dan terapi tradisional Melayu masih mempunyai masa hadapan untuk terus kekal dan mendapat tempat di hati masyarakat Melayu di sini.

Demikian pengamatan Presiden Persatuan Perubatan Warisan Melayu (PPWM), Encik Zainal Abidin Abdul Rahman, ketika diwawancara Berita Harian.


“Saya sangat gembira melihat semakin ramai anak muda kita yang mula menyedari kebaikan perubatan dan terapi tradisional Melayu.

“Ini menunjukkan masih terdapat kepercayaan terhadap perubatan dan terapi tradisional kita yang telah diamalkan sejak sekian lama dan bahawa ia boleh membantu dalam membina kesejahteraan seseorang secara keseluruhan.

“Ini juga bermakna sebahagian daripada warisan dan identiti kita masih boleh diteruskan dan dimanfaatkan generasi akan datang.

“Oleh itu, kami di PPWM juga menggalakkan lebih ramai anak muda untuk terlibat dalam perubatan tradisional Melayu kita,” kata Encik Zainal, 74 tahun.

PELUANG PERTINGKAT MUTU


Dengan meningkatnya bilangan pengamal atau ahli terapi yang lebih muda dan kesedaran tentang perubatan tradisional Melayu ini, Encik Zainal berkata ini membuka ruang untuk mengembangkan lagi perubatan tradisional Melayu memandangkan pengamal perubatan dan ahli terapi muda mempunyai tahap pendidikan lebih tinggi berbanding generasi lama.

Beliau menjelaskan bahawa perubatan tradisional Melayu dapat dikembangkan lagi agar ia menjadi relevan dalam konteks moden hari ini.

“Antara manfaat perubatan tradisional Melayu kita ialah ia boleh dilihat sebagai pendekatan bagi mencegah penyakit seperti barah atau obesiti dan bukan hanya untuk menyembuhkan penyakit tersebut.

“Pada masa ini, anda juga dapat melihat bahawa terdapat lebih ramai orang yang terbuka untuk mencuba ubat-ubatan semula jadi, menggunakan sumber semula jadi, sesuatu yang ditawarkan oleh ubat tradisional kita seperti jamu.

“Justeru, perubatan tradisional kita akan kekal relevan pada masa hadapan,” tambah Encik Zainal yang turut berminat bekerjasama dengan pengamal perubatan tradisional muda untuk melihat bagaimana mereka boleh menambah baik dan membawa perubatan tradisional dan terapi ke tahap lebih tinggi.

CABARAN MENGUBAH PERSEPSI


PPWM ditubuhkan pada Februari 2022 selepas didaftar secara rasmi di bawah Pendaftaran Pertubuhan Singapura.

Bermula dengan 10 anggota, ia kini mempunyai lebih 40 anggota terdiri daripada pakar terapi dan perubatan Melayu tradisional.

Badan itu ditubuhkan bagi menjaga dan melestarikan ilmu perubatan tradisional Melayu selain menyemai minat dan mendidik masyarakat umum tentang pelbagai disiplin Perubatan Melayu Tradisional, yang pernah diamalkan secara meluas di rantau ini.

Menganggap dirinya sebagai ‘muka baru’ dalam bidang perubatan dan terapi tradisional Melayu, Encik Zainal mempunyai impian untuk melihat kaedah rawatan itu terus mekar dan maju segandingan dengan perubahan masa.

Datuk enam cucu berusia antara empat hingga 14 tahun itu, yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang ini, percaya bahawa perubatan tradisional Melayu juga mempunyai peluang berdiri setaraf dengan Perubatan Tradisional Cina (TCM) dan perubatan tradisional Ayurveda yang popular di sini.

Namun, sebelum ia dapat direalisasikan, banyak perubahan perlu dibuat, termasuk mengubah pemikiran pengamal perubatan tradisional Melayu yang lebih tua dan berpengalaman.

“Selepas kami menubuhkan PPWM lebih setahun lalu, saya sedar bahawa ia sebenarnya lebih mencabar untuk mengubah minda sesetengah orang.

“Sebahagian yang sudah lama berada dalam bidang ini akan mempersoalkan mengapa perlu menubuhkan persatuan dan siapa kami sebenarnya.

“Mereka mempersoalkan kredibiliti kami seperti berapa lama kami berada dalam industri ini dan beberapa jenis soalan.

Sejak itu, saya percaya PPWM telah berjaya mengubah persepsi pengamal perubatan tradisional muda kita seperti mereka yang berumur 50 tahun ke bawah.

“Bagi mereka yang sudah berusia, ia agak sukar kerana mereka sudah pun mempunyai pandangan mereka sendiri dan menetapkan cara mereka dalam memberi khidmat perubatan tradisional,” ujarnya

Tanggapan dan persepsi terhadap perubatan Melayu tradisional, yang kadangkala dikait atau diselitkan dengan unsur mistik atau amalan yang mencurigakan, juga perlu dihakis, kata Encik Zainal.

“Walaupun masih ada di kalangan pengamal perubatan tradisional Melayu yang menggunakan kaedah ini, bagi saya perkara ini boleh menjejas imej perubatan tradisional kita.

“Ramai yang akan berasa curiga dan tidak selesa jika diberitahu bahawa terdapat ‘benda’ yang berada dalam tubuh mereka ketika mereka mendapatkan khidmat urut tradisional,” ujarnya.

MEMBINA RANGKAIAN MENYELURUH


Badan itu juga giat berusaha untuk menjadi sebuah hab yang boleh dipercayai serta profesional bagi pengamal perubatan dan ahli terapi tradisional Melayu di Singapura.

Mereka dapat memanfaatkan sumber yang disediakan PPWM di samping bertukar pandangan serta berkongsi kepakaran menerusi beberapa program yang diatur.

Dengan penggemblengan ini, ia dapat membina satu ekosistem yang lebih menyeluruh dan bersepadu.

Encik Zainal berkata buat masa ini badan itu akan menganjurkan program dan bengkel untuk anggota dan orang ramai sebulan sekali.

Antara bengkel yang dijalankan baru-baru ini adalah bengkel perawatan kulit muka dengan para peserta diberi kesempatan mempelajari tentang rutin perawatan kulit dan wajah.

Memandang ke hadapan, Encik Zainal berharap PPWM dapat menawarkan program akademik yang dapat dimanfaatkan anggota mereka untuk meningkatkan set kemahiran mereka.

“Apabila kita lihat persatuan TCM atau Ayuverda di sini, mereka sangat sistematik dan tersusun. Mereka mempunyai program yang menawarkan pelbagai pensijilan daripada yang asas hinggalah yang lebih maju.

“Ini menjadi salah satu impian saya untuk perubatan tradisional Melayu kita dan saya rasa kita boleh meniru sistem ini.

“Saya harap sekurang-kurangnya dalam tempoh lima tahun, kita dapat memperkenalkan perubatan tradisional Melayu sebagai sebuah program pendidikan yang tulen, bermula dengan sijil diploma.

“Saya telah mengutarakan cadangan ini kepada beberapa ahli akademik di Malaysia. Saya percaya kita mempunyai bahan dan sumber yang mencukupi untuk sekurang-kurangnya memperkenalkan program diploma dalam bidang perubatan tradisional Melayu,” kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >