Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Bilangan wanita dalam lembaga pengarah meningkat

Namun Presiden Halimah gesa usaha mendalam dilakukan dapatkan keahlian lebih pelbagai
Aug 31, 2023 | 05:38 PM



Penyertaan wanita dalam lembaga pengarah 100 syarikat tersenarai terbesar di Bursa Singapura (SGX) berjumlah 22.7 peratus setakat Jun 2023 adalah satu peningkatan yang memberangsang berbanding dengan sekitar 7.5 peratus lebih sedekad lalu, kata Presiden Halimah Yacob.

Namun ini tidak bermakna tugas lembaga tersebut sudah sempurna, sebaliknya usaha lebih mendalam harus dilakukan untuk mendapatkan keahlian yang lebih pelbagai, termasuk kepelbagaian peringkat usia, bangsa dan juga kepakaran dalam bidang-bidang yang diperlukan, kata beliau di majlis forum anjuran Majlis Kepelbagaian Lembaga Pengarah (CBD).

“Kita mesti pergi lebih mendalam dari segi jawatankuasa yang berbeza yang dimiliki syarikat, sama ada jawatankuasa penamaan atau jawatankuasa audit kerana pelantikan masih agak tipis,” kata Puan Halimah di sesi 30 minit “sembang api” dengan Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling, pada acara ulang tahun kelima CBD.

Dalam acara di Hotel Shangri-La itu pada Khamis, statistik kepelbagaian jantina lembaga terkini yang didedahkan menunjukkan peningkatan wanita yang menduduki lembaga pengarah syarikat tersenarai, lembaga berkanun dan institusi bertaraf awam (IPC) telah meningkat tetapi perwakilan dalam 100 syarikat tersenarai teratas Singapura masih ketinggalan.

Penyertaan wanita dalam lembaga pengarah 100 syarikat tersenarai teratas meningkat kepada 22.7 peratus pada Jun 2023, berbanding 15.2 peratus pada Disember 2018.

Data yang disiarkan menunjukkan bahawa walaupun bahagian itu menuju ke sasaran sebanyak 25 peratus menjelang 2025, 13 daripada 100 syarikat teratas terus diterajui oleh lembaga pengarah kesemua lelaki setakat Jun 2023.


Majlis itu mengaitkan peningkatan keseluruhan dalam kepelbagaian lembaga pengarah, antara lain, berkaitan dengan pindaan kawal selia baru-baru ini oleh SGX untuk menggalakkan kepelbagaian lembaga pengarah serta peralihan sejagat dalam persekitaran perniagaan. Ini termasuk pengiktirafan faktor persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam mewujudkan perusahaan nilai.

Menjawab beberapa soalan Cik Sun, Puan Halimah, yang merupakan penaung majlis tersebut, menggesa syarikat dan badan-badan amal agar memastikan kepelbagaian dalam keanggotaan lembaga pengarah demi mengharungi masa yang tidak menentu dan kompleks.

Beliau berkata sebuah syarikat mungkin akan terlepas daripada memanfaatkan bakat sebagai kelebihan daya saing, sementara badan bukan keuntungan boleh terputus hubungan dengan komuniti yang disantuninya.

“Penyertaan wanita dalam lembaga pengarah juga merupakan pengukur sejauh mana masyarakat kita menghargai sumbangan wanita dan sama ada sumbangan ini dilihat sama dengan sumbangan lelaki,” ujar beliau.

Sesi itu merupakan salah satu pertemuan masyarakat terakhirnya sebagai Presiden sebelum pengundi keluar mengundi di Pilihan Raya Presiden pada Jumaat.

Di awal bicaranya, beliau berkongsi bahawa Majlis Penasihat Presiden (CPA) terdiri daripada lelaki sahaja ketika beliau mula-mula mengambil peranan sebagai ketua negara pada 2017.

Beliau berkata, usaha dibuat supaya lebih ramai wanita disertakan dalam CPA, dan ini dilakukan dengan melantik wanita untuk menggantikan ahli yang telah tamat tempoh perkhidmatannya.


Kini terdapat tiga wanita dalam CPA: pengerusi bersama CBD dan pengerusi Lembaga Tote Board, Cik Mildred Tan; penasihat kanan dan mantan ketua pegawai eksekutif Singtel, Cik Chua Sock Koong; dan pekerja sosial veteran, Cik Sudha Nair.

“Di sinilah saya menghargai kepelbagaian pandangan. Mempunyai suara wanita, mendengar mereka, menyatakan pandangan dan kebimbangan mereka, bertanya soalan juga sangat penting,” ujar Puan Halimah.

Kepelbagaian pengalaman ini menjadi begitu penting bagi syarikat yang perlu mengatasi pelbagai gangguan perniagaan, tambah beliau.


Walaupun kemajuan telah dicapai, Singapura masih ketinggalan di belakang pasaran lain dari segi penyertaan wanita berbanding beberapa negara lain.


Penyertaan wanita dalam lembaga pengarah di Malaysia berjumlah 30.6 peratus, manakala Amerika Syarikat 33.3 peratus dan New Zealand 36.5 peratus, menurut data daripada CBD.


Puan Halimah akur bukan mudah bagi syarikat menarik penyertaan wanita dalam lembaga pengarah, memandangkan banyak syarikat milik keluarga yang mungkin mempunyai nilai lebih tradisional mengenai jantina.

Namun beliau menarik perhatian bahawa keadaan telah berubah apabila pemimpin generasi baharu menyertai lembaga pengarah syarikat, dan syarikat juga telah melakukan proses pelantikan dengan pendekatan profesional.

Memandangkan banyak syarikat swasta mempunyai dasar yang melarang pekerja mereka sendiri daripada berkhidmat dalam lembaga pengarah syarikat lain, beliau berkata wanita dalam jawatan pengurusan boleh bermula dengan menyertai lembaga berkanun pemerintah atau badan-badan amal untuk menimba pengalaman berkaitan tadbir urus.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >