Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Bina S’pura yang lebih hijau satu keutamaan pemerintah: DPM Wong

Pergerakan ‘Ayuh Hijau SG’ dilancar galak warga S’pura main peranan bina negara lebih hijau
Jun 30, 2023 | 05:32 PM



Membina Singapura yang lebih hijau merupakan keutamaan pemerintah dan ia akan menyediakan infrastruktur yang diperlukan, serta menetapkan peraturan dan dasar yang betul untuk membina negara yang lebih mampan dan berdaya tahan iklim, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong.

Beliau juga mengajak individu, perniagaan dan masyarakat untuk memainkan peranan seperti mengubah gaya hidup dan mengamalkan tabiat yang lebih mampan.

“Sama ada dengan menaiki lebih banyak pengangkutan awam, mengurangkan penggunaan tenaga kita di rumah, atau meningkatkan usaha mengitar semula, semua tindakan ini boleh memberi kesan yang bermakna kepada alam sekitar kita,” tambahnya.

Demikian dikongsi oleh Encik Wong dalam ucapan pembukaannya semasa menghadiri majlis pelancaran pergerakan Ayuh Hijau SG pada Jumaat di Sekolah Mee Toh di Punggol.


Ayuh Hijau SG atau Go Green SG adalah pergerakan nasional baru yang diterajui Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) yang bertujuan menggalak warga dan organisasi untuk mengambil tindakan kolektif ke arah membina alam sekitar Singapura yang lebih mampan dan berdaya tahan iklim.


Lebih 300 aktiviti dari 150 rakan kongsi telah dirancang sepanjang Julai. Jumlah ini adalah seganda bilangan rakan kongsi dan aktiviti berbanding tahun lepas.

Acara pelancaran itu turut dihadiri Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu; Menteri Negara (Pendidikan dan Tenaga Manusia) Cik Gan Siow Huang; dan Setiausaha Parlimen Kanan (Kemampanan dan Sekitaran dan Pengangkutan), Encik Baey Yam Keng, serta rakan kongsi.

Dalam ucapannya juga, Encik Wong berkata Singapura tidak boleh leka dan harus mempertingkat usaha menangani cabaran perubahan iklim dan pemanasan global.

“Pada Mei, kami merekodkan suhu tertinggi di Singapura dalam tempoh 40 tahun, iaitu 37 darjah Celsius.

“Selain daripada menghadapi suhu yang lebih tinggi, kita juga akan mengalami cuaca yang lebih tidak menentu seperti hujan yang lebih lebat dan musim panas.

“Ini akan menjejaskan bukan sahaja bekalan air kita, malah bekalan makanan kita dari negara jiran,” kata Encik Wong.

Bagi menyokong pergerakan Ayuh Hijau SG, bank DBS telah memperkenalkan inisiatif Sustainability Sparks – sebuah program perintis yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang isu kemampanan di kalangan kanak-kanak berumur lapan hingga 11 tahun, dan untuk membantu mereka memupuk tabiat yang lebih mampan dalam kehidupan harian mereka melalui pembelajaran berasaskan pengalaman dan permainan.


Semasa majlis itu, Encik Wong turut menyeru rakyat Singapura untuk mengambil Ikrar Negara Hijau bagi menunjukkan komitmen dalam menangani isu kemampanan alam sekitar.

“Menerusi ikrar ini, individu dan organisasi boleh menunjukkan komitmen untuk melakukan pelbagai tindakan yang menyumbang kepada masa depan hijau Singapura, berdasarkan tahap kesediaan sendiri,” kata Encik Wong.

Buat masa ini, sekitar 20,000 individu, lebih 270,000 pelajar, pekerja daripada 500 institusi dan organisasi pendidikan, dan kesemua agensi pemerintah telah mengambil ikrar itu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >