Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Buat bubu, tangkap ikan bantu tambah pendapatan

Sep 10, 2023 | 05:31 AM



Di pantai West Coast, ada satu kawasan kecil yang berpagar yang sangat sesuai digelarkan sebagai bengkel membuat bubu.

Perangkap ikan yang dibuat daripada kawat itu boleh dilihat di merata kawasan tersebut dalam pelbagai peringkat pembikinan.

Bubu pelbagai saiz menanti giliran untuk dikerahkan ke laut atau diambil oleh pembeli yang telah membuat tempahan awal.

Jerat itu telah dihasilkan oleh beberapa nelayan yang masih aktif membuat bubu di sini termasuk Encik Hamzah Mohamad, 68 tahun, bekas penduduk Pulau Sudong di selatan Singapura.

“Masa kecil di kampung dulu, saya selalu tengok orang tua bikin bubu. Saya mula buat bubu saya sendiri sejak umur saya 18 tahun.

“Selepas saya pindah ke Singapura, saya teruskan buat bubu. Hari enam, hari minggu saya ke laut dan main bubu,” kata datuk tujuh cucu itu yang berpindah dari Pulau Sudong ketika berumur 20-an tahun selepas berumah tangga.







Sejak bersara daripada kerja ‘darat’ sekitar dua tahun lalu, Encik Hamzah meluangkan hari-harinya membuat bubu, yang setiap satu mengambil masa sekitar lima jam untuk disiapkan.

Beliau bermula dengan memotong kawat menjadi bentuk asas bubu dan kemudian mengukuhkannya dengan beberapa jenis dawai. Bubunya mempunyai reka bentuk tertentu agar ia mudah dikenal pasti.

Bubu rata-rata selebar empat kaki mengikut ukuran kawat dan panjangnya bergantung kepada keperluan masing-masing.

“Kalau panjang dia kita kira ikut mata,” kata Encik Hamzah, merujuk kepada bulatan pada kawat.

“Ada orang minta 17 mata, 19 mata, 21 mata. Bagi saya, bubu yang bersaiz sederhana sudah memadai. Kalau terlalu besar, nanti nak angkat susah sikit,” tambahnya yang menjual bubu yang dibuatnya pada harga sekitar $150 hingga $200 bergantung pada saiz.

Memandangkan bubu cuma bertahan selama sekitar tiga bulan sebelum ia pecah disebabkan karat atau dirosakkan ikan besar, proses pembikinan bubu tidak pernah berakhir.

Bubu juga boleh pecah ketika diangkat ke bot jika ia mengandungi terlalu banyak ikan.

Menurut Encik Hamzah, berat bubu yang memerangkap banyak ikan boleh mencecah 60 kilogram dan perlu diangkat oleh dua orang.

“Saya seorang boleh tarik dalam 40 kilogram. Kalau dua orang tarik lagi senang. Tapi kadang-kadang satu orang pun boleh tarik juga. Ikan banyak, datang kuat pula,” katanya sambil berseloroh.

Sedang sesetengah nelayan suka memasang bubu mereka di laut dalam, Encik Hamzah pula lebih suka meletakkannya di kawasan karang yang airnya cetek.

Ini bagi memudahkan tugasnya ketika menyelam untuk meletak dan mengangkat bubu, memandangkan beliau sekadar menahan nafas dan tidak menggunakan sebarang peralatan menyelam seperti tangki oksigen.

“Saya letak tak dalam, paling dalam kadang-kadang tiga meter. Kalau air surut habis, boleh nampak sikit belakang bubu saya. Ini masing-masing punya kepandaian.

“Kalau pasang dalam, kadang-kadang bila kita nak tarik penat juga. Kalau pasang cetek, kita tarik sekejap dah sampai bot. Lagi kita pakai nafas sendiri,” katanya yang akan mengangkat bubunya pada waktu air surut, apabila air berada di paras pinggang.







Apabila Berita Minggu (BM) mewawancara Encik Hamzah sekitar dua minggu lalu, beliau berkata sebanyak 18 bubunya berada di laut.


Beliau akan turun ke laut pada Sabtu dan Ahad sendiri atau ditemani anaknya untuk mengangkat bubu yang sudah berisi ikan dan meletakkan bubu baru.

Encik Hamzah, yang tinggal di West Coast, berkata beliau biasanya bertolak ke laut pada 7 pagi dan pulang ke darat sekitar 12 tengah hari. 

Ikan-ikan yang biasa memasuki bubu Encik Hamzah ialah ikan karang termasuk ikan lingkis, ikan becuk dan ikan kerapu.

Hasil penangkapannya itu akan dijual kepada orang ramai yang menanti di pantai, atau kepada penjual ikan di pasar.

Pendapatan yang diraih “cukup untuk lepas duit pasar” dan kalau bernasib baik, Encik Hamzah berkata beliau boleh mendapat hingga $600.

Namun ini bergantung kepada musim serta keadaan angin dan air, dengan tempoh terbaik untuk memasang bubu adalah dari September hingga Mac.

“Bagi saya, dengan adanya kemahiran bikin bubu, walaupun dari dulu saya bekerja, dengan bubu ini dapat jugalah menambah pendapatan. Duit pasar memang dapat lepas, pokok pangkal nak rajin,” kata Encik Hamzah.

Pengalamannya membuat bubu telah beberapa kali dikongsi media dalam masa beberapa tahun kebelakangan, namun Encik Hamzah berkata beliau masih tidak melihat ramai orang mahu belajar kemahiran itu.

“Sekarang saya tengok macam tak ada yang nak bikin bubu. Tapi kalau orang nak datang belajar, saya pasti akan ajar. Bukan susah sangat, paling lama seminggu dah tau dah,” katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >