Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BAHASA, BUDAYA & WARISAN KITA

Buku kanak-kanak ajar cara sebut huruf ‘c’ dalam bahasa Melayu

Sep 04, 2023 | 05:32 AM



Buku kanak-kanak, Bel, Tom dan Oyen, tidak sekadar menceritakan tentang tiga kucing kesayangan sebuah keluarga dan kekeliruan mengenal pasti mereka yang kesemuanya berwarna putih.


Ia juga mengajar pembaca cilik tentang cara menyebutkan perkataan Melayu yang bermula dengan huruf ‘c’ dengan betul iaitu dengan bunyi /ch/ dan bukan /k/ seperti dalam bahasa Inggeris.

Penulis buku itu, Cik Maria Mahat, berkata: “Apa yang saya telah dapati sejak lama dahulu, ramai kanak-kanak kita sering keliru dengan bunyi huruf ‘c’ dalam bahasa Melayu. Oleh kerana mereka lebih peka pada penggunaan bahasa Inggeris yang menyebut huruf ‘c’ sebagai /k/, saya pernah dengar kanak-kanak yang menyebut ‘cuci’ sebagai ‘cookie’.”

“Oleh itu, dengan buku ini, saya berharap kanak-kanak dapat menyebut dan membezakan bunyi huruf ‘c’ dan dapat menyebutnya dengan betul apabila membaca dalam bahasa Melayu. Ada sedikit permainan kata di dalam buku ini,” tambah pengasas bersama syarikat penerbit buku tempatan Ungu Pen itu.

Buku itu mengisahkan tentang kucing-kucing peliharaan keluarga Mamat yang dinamakan Putih Satu, Putih Dua dan Putih Tiga.

Apabila Mamat memanggil Putih Satu, ketiga-tiga kucing mengiau kepadanya. Mamat menjadi keliru.

Pada suatu hari, Mamat telah membeli cat untuk mengecat dinding rumahnya dan sesuatu yang aneh berlaku kepada warna dan corak bulu kucing-kucingnya.

Buku itu dilancarkan pada 25 Ogos semasa majlis perasmian Pesta Buku Melayu Singapura 2023.

“Cerita ini menggunakan imaginasi seorang kanak-kanak kerana ia tidak berlandaskan sesuatu yang ‘masuk akal’. Namun, saya harap ia mampu menggeletek si kecil dengan cara Mamat dan keluarganya menyelesaikan kekeliruan Mamat,” kata Cik Maria yang berpengalaman menulis buku kanak-kanak bergambar dan juga untuk remaja.

“Saya cuba menyelitkan sedikit humor dan juga untuk seseorang itu berfikir di luar landasan yang biasa. Kadangkala, inovasi atau kreativiti hanya dapat berlaku sekiranya kita melihat sesuatu dari lensa yang berbeza. Saya harap cerita ini mampu menarik minat kanak-kanak untuk lebih (cenderung) membaca,” tambahnya.

Cik Maria berkata beliau memilih menulis tentang kucing kerana sebagai seorang penjual buku, beliau mendapati bahawa orang Melayu mempunyai minat yang mendalam dengan kucing.

“Buku-buku yang ada gambar kucing di kulit depan atau bertemakan kucing sering laris terjual.

“Ada satu ketika, seorang pembeli buku pernah datang ke reruai buku saya dengan isteri beliau dan kami telah berbual tentang buku kucing.

“Beliau sendiri akui bahawa kucing adalah haiwan yang amat disayangi beliau dan beliau sendiri mempunyai 13 kucing di rumah. Dari situ, tekad saya menjadi lebih kuat untuk menulis buku yang bertemakan kucing,” katanya.







Cik Maria turut mengambil kesempatan melalui buku itu untuk menunjukkan yang orang Melayu mempunyai cita rasa dan impian yang pelbagai.

Sebagai contoh, beliau telah menggunakan nama Mamat, Mina dan Mona bagi watak-watak dalam buku itu kerana ia senang disebut dan “rata-rata adalah panggilan yang lazim ditujukan kepada orang Melayu iaitu Mat dan Minah”.

Dalam buku itu, Mamat tinggal di rumah tiga tingkat dan mempunyai skuter dengan tempat duduk di sisinya.

“Sudah tiba masanya, kita tunjukkan orang Melayu pun mampu untuk duduk di rumah berhalaman dan bukan hanya rumah flat. Orang Melayu juga mempunyai cita rasa dan impian yang pelbagai,” kata Cik Maria.

“Kita harus memberi ‘penglihatan’ baru dan menukar persepsi tentang orang Melayu menerusi buku-buku kita dan ia boleh bermula dengan buku-buku peringkat awal. Buku-buku yang diterbitkan zaman ini mesti menunjukkan sesuatu yang dinamik bagi orang Melayu,” tambahnya.

Buku itu mempunyai glosari perkataan dan maknanya dalam bahasa Inggeris yang boleh digunakan oleh kanak-kanak dan ibu bapa.

Selain mengajak kanak-kanak mengenal dan menyebut huruf ‘c’ dalam bahasa Melayu, buku itu turut mengajar kanak-kanak tentang corak seperti belang dan tompok.

“Pelbagai aktiviti susulan boleh dijalankan mengenai huruf dan nama corak dalam bahasa Melayu,” kata Cik Maria.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >