Lebih 100 belia berbilang bangsa dan agama turun padang demi menyahut Cabaran Futsal Harmoni Mayor yang diadakan di Anjung @ Wisma Geylang Serai pada Ahad.
Dianjurkan buat kali pertama oleh Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, cabaran futsal itu menyatukan belia yang belajar dan menetap di kawasan CDC tersebut dan menerapkan pemahaman lebih mendalam tentang kepentingan perpaduan dan harmoni dalam masyarakat yang rencam.
Acara tersebut adalah sebahagian usaha berterusan CDC South East memupuk generasi yang mendakap kepelbagaian dan menghormati fabrik sosial berbilang kaum Singapura.
Sebanyak 16 pasukan dalam dua kategori – belia bawah 16 tahun dan belia bawah 21 tahun – mengambil bahagian.
Mayor CDC South East, Encik Fahmi Aliman, menyertai peserta dalam satu perlawanan pameran persahabatan bersama Menteri Negara Kanan bagi Perhubungan dan Penerangan, Encik Tan Kiat How0 dan penasihat pertubuhan akar umbi GRC Marine Parade, Encik Seah Kian Peng.
“Menyedari keperluan memahami kepentingan keharmonian kaum dan agama dalam masyarakat, terutamanya bagi anak muda kita yang tidak pernah melalui hari-hari kesengsaraan awal Singapura, cabaran ini bertujuan menghapuskan jurang sosial dan mewujudkan perpaduan dalam kalangan pelbagai kumpulan,” kata Encik Fahmi.
Beliau menjelaskan bahawa futsal dipilih kerana ada “nilai-nilai dalam sukan yang menyatukan manusia dan melebihi kaum dan agama”.
Antara belia yang mengambil bahagian dalam cabaran futsal itu ialah adik-beradik Mohamad Rozaidy Putera Mohamad Aris, 16 tahun, dan Mohamad Rohaizat Putera Mohamad Aris, 18 tahun
Mereka berkata acara tersebut berfaedah kerana ia bukan menggalak mereka kekal aktif sahaja, malah merupakan peluang untuk merapatkan jalinan persahabatan dengan rakan-rakan mereka.
“Kami belajar berkomunikasi dengan satu sama lain dengan lebih baik dan selain itu, daripada hanya bermain permainan dalam talian, dengan inisiatif seperti ini, kami dapat peluang berinteraksi dengan orang di luar lingkungan biasa kami,” kata Mohamad Rozaidy.
Abangnya pula berkata: “Saya suka dapat menjalinkan hubungan baru pada perlawanan seperti ini, ia membantu saya mengenali lebih ramai orang dan juga membolehkan saya mempunyai lebih ramai kawan bermain pada masa depan.”