Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BERITA

Calon Anugerah Ibu Ideal imbangi masa sebagai ibu, pendidik dan pelajar

Jun 07, 2023 | 09:48 AM



Semasa melanjutkan pengajian ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang pendidikan di Universiti London pada 1994, Profesor Madya Dr Kamsiah Abdullah terpaksa membawa tiga orang anak bersamanya, manakala tiga lagi orang anak dititipkan bersama ibu dan ibu mertuanya di Singapura.

Walaupun dikenali sebagai guru Melayu Singapura pertama yang mendapatkan PhD, ramai yang tidak tahu tentang pengorbanannya menggalas tanggungjawab sebagai seorang ibu di samping memartabatkan pendidikan bagi wanita.

Suami Dr Kamsiah, Encik Darlan Zaini, merupakan bekas pensyarah di Universiti Malaya dan Universiti Teknologi Malaysia dari 1980-1989 dan pulang ke Singapura pada setiap hujung minggu.

Semasa ketiadaan suami di Singapura, Dr Kamsiah perlu mengimbangi masa untuk membesarkan anak dan bekerja dalam bidang yang beliau minati sebagai seorang pendidik.

“Saya akur bahawa membesarkan anak sendiri bukanlah satu tugas yang mudah tetapi saya dan suami saling menyokong,” jelasnya, 76 tahun.

Bagi Dr Kamsiah, beliau menganggap bahawa pendidikan anak-anak dan dirinya sama penting kerana pendidikan yang diburu adalah untuk mempertingkatkan dirinya.

Sekiranya anak-anak beliau menduduki peperiksaan utama, beliau akan meluangkan masa dan tenaga untuk mempersiapkan mereka bagi peperiksaan itu.

Antara sumber kekuatan semasa pembelajaran beliau adalah sokongan keluarganya.

Ibu dan ibu mertuanya merupakan antara mereka yang memberi sokongan kuat kerana kededuanya memahami dorongannya untuk menyambung pengajian.

Semasa belajar di London pula, anak kedua beliau, yang kini berusia 50 tahun, akan membantunya mengambil adik-adik dari sekolah dan ini membolehkan beliau untuk membuat penyelidikan di perpustakaan universiti.

Kini, hampir semua anak-anaknya menggenggam ijazah dalam bidang masing-masing.

“Saya tidak pernah memaksa anak-anak saya untuk belajar sesuatu kerana saya ingin mereka mencari minat sendiri. Pembelajaran perlu terdorong dari minat mereka sendiri. Sekiranya mereka ingin mencari pengalaman dahulu, saya sebagai ibu, akan menyokong,” tambah beliau, yang kini merupakan profesor madya sambilan di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

Pembelajaran bagi dirinya sahaja belum tamat. Dr Kamsiah kini sedang mempelajari bahasa Arab sendiri secara dalam talian untuk mempertingkatkan dirinya.

Beliau percaya bahawa pendidikan itu adalah sepanjang hayat dan sekiranya beliau penat, beliau akan belajar secara bertahap-tahap mengikut kemampuan diri.

“Walaupun anak-anak saya sudah besar, saya masih rasa bertanggungjawab sebagai nenek untuk menasihatkan dan berkongsi ilmu bersama mereka,” jelas beliau yang mempunyai kumpulan di Whatsapp bersama keluarga untuk bertukar-tukar soalan tentang bahasa Arab.

Dedikasi dan semangat beliau sebagai seorang ibu sambil mengejar impian telah diiktiraf sebagai calon bagi Anugerah Ibu Ideal semasa Pesta Kebangsaan Untuk Ibu Ideal Ketujuh di Luxor, Mesir, pada 3 Mei.

Beliau berharap pengiktirafan ini dapat dijadikan inspirasi bagi anak-anaknya untuk belajar sepanjang hayat sambil menjalankan tanggungjawab dalam keluarga masing-masing.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >