Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

CSA senarai aplikasi antivirus bagi orang awam elak ancaman siber

Edisi kelima kempen keselamatan siber dilancar, tumpu cara lindungi diri dan sedia petua praktikal perkukuh keupayaan warga
Sep 30, 2023 | 04:10 PM



Buat kali pertama, Agensi Keselamatan Siber (CSA) mengeluarkan satu senarai aplikasi antivirus yang disyorkannya, yang mempunyai ciri-ciri seperti mengesan perisian hasad dan pancingan data.

Senarai itu sebahagian daripada usaha CSA untuk meningkatkan kesedaran ramai tentang ancaman siber dan menggalak “amalan kebersihan siber yang baik”.

Ia dikemukakan pada Sabtu semasa pelancaran edisi kelima Kempen Keselamatan Siber di Suntec City yang dilancarkan Menteri Perhubungan dan Penerangan, Cik Josephine Teo, dan Ketua Eksekutif CSA, Encik David Koh.

Cik Teo, yang juga Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Inisiatif Negara Bijak dan Keselamatan Siber, berkata rakyat Singapura masih menghadapi penipuan dalam kehidupan harian mereka.

“Jadi persoalannya (ialah) bagaimana kita dapat membolehkan orang ramai terus meraih manfaat daripada perkhidmatan digital dan mendapat keyakinan dalam melindungi diri mereka? Kempen ini memberi tumpuan pada cara orang ramai boleh melindungi diri dan orang tersayang dengan lebih baik. Ia akan menawarkan petua praktikal yang akan memperkukuh keupayaan rakyat kita mempertahan diri daripada penipu.”

Kempen keselamatan siber itu meliputi sebuah pameran bergerak yang berlangsung hingga 1 Oktober di lantai satu Suntec City, di sebelah kedai pakaian Uniqlo. Pameran itu dimodelkan mengikut susun atur sebuah rumah dan mempunyai lima zon, dengan setiap satu menyerupai bilik berbeza, seperti ruang tamu dan bilik tidur.

Di zon pertama, bak pintu hadapan sebuah flat HDB, pengunjung dikehendaki memilih kad kunci yang mempunyai kata laluan lemah untuk membuka pintu dan memasuki rumah. Tujuan zon ini mendidik pengunjung mengenal pasti kata laluan lemah dan mensimulasikan betapa mudahnya seseorang boleh mencuri masuk rumah yang keselamatan sibernya lemah.

Kemudian, pengunjung tiba di zon kedua, yang merupakan sebuah ruang tamu. Di sini, mereka boleh bermain permainan yang direka CSA untuk mengenal pasti sama ada e-mel atau SMS yang diterima mereka sah atau adalah pancingan data.

Permainan ini bertujuan menguji keupayaan pengunjung mengenal pasti tanda-tanda pancingan data. Jika memberi jawapan salah, permainan itu akan menyerlahkan silap mereka.

Zon ketiga ibarat bilik tidur dan bertujuan mendidik pengunjung tentang kepentingan mengemas kini dengan segera perisian alat elektronik, seperti telefon bijak dan komputer.

Pengunjung boleh mengimbas satu kod QR untuk melengkapkan soal selidik bagi menguji pengetahuan mereka tentang mengemas kini perisian alat elektronik.

Melalui sebuah program realiti terimbuh (AR) di zon keempat, yang merupakan sebuah bilik belajar, pengunjung akan mempelajari bahawa memasang aplikasi antivirus adalah kunci untuk mengesan dan menghilangkan perisian hasad serta menyediakan lapisan keselamatan tambahan untuk alat elektronik mereka.

Mereka juga akan mempelajari kepentingan memuat turun aplikasi ScamShield bagi mengesan SMS penipuan dan menyekat panggilan penipuan.

Untuk memudahkan pilihan orang awam yang mungkin tidak mahir dalam keselamatan siber, CSA menyenaraikan aplikasi antivirus yang disyorkannya itu. Senarai itu boleh didapati di laman csa.gov.sg.

Namun, CSA berkata aplikasi antivirus tidak dapat menawarkan perlindungan sepenuhnya dan pengguna masih perlu mengamalkan tabiat kebersihan siber yang baik.

Di zon terakhir, bak sebuah dapur, pengunjung berpeluang menebus pelbagai hadiah, seperti kotak makanan, pemegang kad pengenalan frekuensi radio (RFID) dan sebuah beg guna semula.

Dalam ucapannya, Encik Koh berkata: “Sejak kecil, kita diajar mengamalkan tabiat baik seperti mengunci pintu kita, melihat kedua-dua arah apabila menyeberang jalan dan tidak meninggalkan barang berharga tanpa diawasi.


“Amalan ini telah menjadi naluri kita. Begitu juga dalam era digital ini, kita harus membangunkan tabiat kebersihan siber yang baik dalam kehidupan harian. Penjenayah siber semakin canggih, jadi kita perlu memainkan peranan kita untuk melindungi diri daripada bahaya dalam talian.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >