Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PARLIMEN

Cuti paterniti dilanjut sehingga 4 minggu

Sep 19, 2023 | 06:39 PM



Cuti Paterniti Dibayar Pemerintah (GPPL) yang dikhususkan untuk golongan bapa akan ditambah seganda dari dua kepada empat minggu bagi anak-anak yang lahir dari 1 Januari 2024, selepas pindaan kepada Akta Simpanan Bersama Pembangunan Kanak-Kanak (CDCA) diluluskan Parlimen pada Isnin (19 Sep).

Akta tersebut dipinda berdasarkan pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa Belanjawan 2023, mengenai peluasan kepada langkah sokongan ‘Perkahwinan dan Keibubapaan’.

Cuti paterniti tambahan selama dua minggu itu akan dikuatkuasa secara sukarela untuk memberi peluang kepada majikan menyesuaikan diri terhadap perubahan tersebut, kata Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling, di Parlimen.

Dalam ucapannya di Parlimen pada Selasa selepas pindaan tersebut diluluskan, Cik Sun turut menjawab keprihatinan yang diketengahkan beberapa Anggota Parlimen (AP) mengenai pindaan itu.

Katanya, berdasarkan tinjauan pemerintah, sebab utama mengapa golongan bapa tidak memanfaatkan cuti paterniti mereka berkait dengan sokongan di tempat kerja.

“Ini termasuk sama ada penyelia berusaha meyakinkan prospek kerjaya golongan bapa tidak akan terjejas jika mereka menggunakan cuti paterniti tersebut dan sama ada rakan kerja mereka sanggup membantu memangku tugas apabila golongan bapa mengambil cuti paterniti,” kata Cik Sun.

Beliau menjelaskan perkara tersebut sebagai menjawab pertanyaan Cik He Ting Ru (GRC Sengkang) pada Isnin di mana beliau menekankan pentingnya memastikan cuti paterniti dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan menyarankan agar Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) menjalankan tinjauan untuk mengkaji alasan di sebalik cuti paterniti tidak digunakan.

Menyentuh tentang usaha pemerintah menggalak golongan bapa memanfaatkan cuti paterniti serta pentingnya tanggungjawab yang dikongsi antara ibu bapa, Cik Sun menekankan bahawa penting bagi masyarakat mendorong penglibatan awal golongan bapa dalam kehidupan anak-anak mereka.

Menurut Cik Sun, pemerintah juga telah bekerjasama dengan rakan kongsi masyarakat untuk mengukuhkan lagi hubungan serta daya tahan keluarga, dengan tujuan mempertingkat kestabilan rumah tangga serta menggalak tanggungjawab yang dikongsi antara ibu bapa.

Memberikan respons terhadap saranan AP untuk menyamakan jumlah hari cuti bagi kededua ibu bapa, Cik Sun berkata cuti materniti yang ditetapkan dan cuti paterniti berbeza berdasarkan keperluan.

“Cuti materniti diberikan kepada golongan ibu supaya mereka mempunyai tempoh yang mencukupi untuk beransur pulih secara fizikal selepas melahirkan anak dan juga untuk menjaga dan menjalin hubungan dengan anak-anak.

“Justeru, ia lebih lama berbanding cuti paterniti, yang memberikan peluang kepada golongan bapa untuk menjaga isteri mereka dan menjalin hubungan dengan anak-anak,” katanya.

Pemerintah tidak merancang untuk mengubah cuti ibu bapa yang ditetapkan, kata Cik Sun.

Mengenai sama ada cuti penjagaan anak-anak akan dinaikkan, Cik Sun berkata langkah tersebut sukar bukan kerana “kos” kepada pemerintah tetapi disebabkan kesukaran yang bakal dihadapi majikan dan perniagaan apabila cuti tersebut diwajibkan.

Berdasarkan jumlah cuti paterniti dan Cuti Jagaan Bayi yang Tidak Dibayar (UICL), majikan telah mengetengahkan keprihatinan bahawa jumlah cuti yang ditetapkan akan menjejas kos tenaga kerja dan operasi, tambahnya.

Mengenai cuti penjagaan anak yang sakit, Cik Sun berkata sektor perkhidmatan awam kini menawarkan cuti penjagaan anak yang sakit bagi setiap anak, sementara 27 peratus syarikat swasta pada 2020 memberikan cuti penjagaan anak yang sakit tambahan kepada pekerja.

Ibu bapa dengan anak yang lebih ramai memerlukan lebih banyak hari cuti untuk menjaga mereka jika mereka sakit, kata Cik Sun, sedang beliau menggalak majikan sektor swasta untuk mempertimbang memberikan cuti penjagaan anak yang sakit berdasarkan jumlah anak.

“Ini mampu mengurangkan tekanan yang dialami dalam menjaga lebih ramai anak,” kata Cik Sun.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >