Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BERITA

Dari pelajar ‘normal’ jadi pilot pesawat terbesar dunia

Bekas pelajar aliran Normal, Muhammad Redzuan Rashid, kini juruterbang A380 di Emirates
Jun 14, 2023 | 05:30 AM



Beliau berasal dari sekolah kejiranan biasa – Sekolah Rendah Fuchun di Marsiling dan Sekolah Menengah Woodlands.

Namun berbekalkan semangat kental yang sering mahu mencabar diri semampu mungkin, Encik Muhammad Redzuan Rashid akhirnya meraih lulusan ijazah kepujian kelas pertama dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Universiti terkemuka RMIT Australia.

Pencapaian yang cemerlang itu bagaimanapun tidak mendorong Encik Muhammad Redzuan untuk mencari pekerjaan sebagai seorang jurutera. Ini kerana beliau masih belum berpuas hati lalu melanjutkan pengajian dan kemahirannya dalam bidang yang berbeza sama sekali.

Beliau berusaha melayakkan diri dalam kursus pengajian Akademi Penerbangan Oxford di United Kingdom (UK) bagi memenuhi cita-cita barunya untuk menjadi seorang juruterbang.

Malah dalam kursus penerbangan selama dua tahun itu, Encik Muhammad Redzuan merupakan satu-satunya pelatih dari negara Asia dan Singapura dalam kohortnya yang dipilih setelah lulus untuk melayakkan diri menerusi wawancara selama tiga hari di London.

Latihan selama dua tahun di Britain itu termasuk latihan selama sebulan di Phoenix, Arizona, Amerika Syarikat. Daripada 20 pelatih kadet yang dipilih bagi menjalani kursus itu, hanya lapan pelatih lulus dan Encik Muhammad Redzuan adalah salah seorang daripadanya. 

Kini bapa kepada tiga orang anak, berusia 38 tahun, bangga bertugas sebagai juruterbang bagi pesawat terbesar di dunia, A380 dengan syarikat Penerbangan Emirates, yang membawa lebih 600 penumpang bagi setiap penerbangan. 

“Saya jenis yang suka cabar diri sendiri untuk mencapai sebaik mungkin. Semasa menuntut di RMIT ramai mengatakan sangat sukar untuk lulus kepujian kelas pertama. Namun saya bertekad kuat dan alhamdulillah dapat meraihnya. Pencapaian itu mengukuhkan lagi semangat dan azam saya semasa menjalani kursus Akademi Penerbangan Oxford di UK.

“Orang tanya kenapa susah payah mahu ke Oxford sedangkan ada kursus penerbangan biasa di Perth, Australia seperti yang biasa dilalui kebanyakan juruterbang Singapura?

“Bagi saya pendedahan lebih luas penting dan saya mahu mencabar diri sendiri untuk menjangkau lebih jauh lagi. Jenama Oxford mempunyai prestij, bolehkah saya menyesuaikan diri dan menjadi pelatih di sana? Bolehkah saya dan keluarga tinggal di luar negara dengan selesa?

“Bolehkah saya memecahkan lingkaran yang biasa dilakukan orang kita? Saya yakin boleh jika kita berani berjuang lebih bersungguh lagi dan berusaha sebaik mungkin.

Keputusan cemerlang di RMIT sebelum ini memberi keyakinan dan dorongan bagi saya bahawa jika ada kemahuan yang kuat, insya-Allah di sana ada jalannya,” ujar beliau dalam wawancara eksklusif dengan Berita Harian (BH) baru-baru ini.


Menceritakan sedikit latar belakangnya, Encik Muhammad Redzuan yang kini menetap di Dubai bersama isteri dan tiga anak berusia lapan, lima dan tiga tahun, berkata semasa di bangku sekolah rendah dan menengah, beliau gemar mata pelajaran Matematik.

 “Saya menganggap Matematik sebagai satu permainan ‘game’ dan pastikan yang saya menang dalam permainan tersebut,” selorohnya.

Beliau kemudian meneruskan pendidikannya di Politeknik Singapura selama tiga tahun dan meraih Diploma Elektronik. Selepas menamatkan Perkhidmatan Negara (NS) dalam tentera selama dua tahun.

Encik Muhammad Redzuan lalu bekerja di syarikat Penerbangan Kargo Singapura dengan tugas utamanya mengatur jadual penerbangan bagi para juruterbang.

Beliau kemudian menyertai kampus bersama RMIT-Singapura di Singapura selama setahun sebelum melanjutkan pengajiannya di Universiti RMIT, Melbourne selama tiga tahun lagi.

Selepas tamat pengajian di RMIT, beliau melakukan kerja yang sama di Penerbangan Kargo Singapura dan mengenali lebih ramai juruterbang. Di sana terdetik dalam hatinya untuk menjadi seorang juruterbang antarabangsa.

Selepas tamat pengajian kursus penerbangan di UK, Encik Redzuan memulakan tugas sebagai juruterbang kedua (co-pilot) dengan syarikat penerbangan bajet Singapura, Tigerair dan kemudian Scoot selama sekitar empat tahun sebelum berpindah kepada tugas lebih mencabar sebagai juruterbang dengan Emirates Airlines. 

Ditanya tentang tugasnya sekarang, Encik Muhammad Redzuan berkata beliau rasa teruja kerana diberi tanggungjawab besar mengemudi penerbangan terbesar di dunia A380.

“Ia merupakan satu lompatan besar daripada penerbangan kecil Airbus 320 kepada penerbangan terbesar di dunia, A380. Tentunya saya teruja, namun ia datang bersama tanggungjawab yang besar. Saya membawa lebih 600 penumpang bagi setiap penerbangan termasuk keluarga dan anak-anak mereka.

“Jadi saya ingin pastikan dan sentiasa berdoa saya dapat terbang sebaik mungkin, selamat dan selesa bagi semua penumpang saya,” katanya yang sudah membuat penerbangan di merata bandar-bandar utama dunia termasuk Eropah, Amerika Syarikat, Asia, Australia, Timur Tengah, Afrika dan Russia.

Oleh kerana tugasnya sebagai juruterbang banyak meluangkan masa duduk dalam kokpit pesawat, beliau pastikan dirinya sentiasa sihat dengan banyak minum air, bersenam, berlari anak dan ke gimnasium semasa hari-hari rehatnya.

Menurutnya lagi semasa di Singapura beliau sering menyumbang tenaga di sekolah-sekolah kejiranan berkongsi pengalamannya dalam sesi-sesi motivasi dan kerjaya – bagaimana dari sekolah kejiranan biasa aliran normal, beliau berusaha sehingga menjadi seorang juruterbang pesawat terbesar di dunia.

“Saya beritahu para pelajar sekolah bahawa saya dulu biasa-biasa sahaja sama seperti awak semua datang dari sekolah kejiranan aliran Normal bukan aliran Ekspres pun. Jadi, jika saya boleh, anda tentu boleh lakukan lebih baik lagi,” ujarnya. 

Penulis mantan wartawan ‘Berita Harian’ dan berpengalaman 30 tahun dalam bidang media sebelum berhijrah ke Dubai, Amiriah Arab Bersatu (UAE). Beliau penulis tamu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >