Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Dewan tolak usul gantung Iswaran dari Parlimen

Penggantungan AP perkara serius, perlu dilakukan berdasarkan undang-undang dan prinsip betul: Indranee
Sep 19, 2023 | 08:57 PM



Parlimen pada Selasa menolak usul untuk menggantung Menteri Pengangkutan, Encik S. Iswaran, sebagai Anggota Parlimen (AP) sepanjang baki sesi Parlimen ke-14.

Usul itu dibentangkan oleh Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) daripada Parti Kemajuan Singapura (PSP), Cik Hazel Poa dan Encik Leong Mun Wai, menyusuli siasatan kes rasuah yang melibatkan Encik Iswaran.  

Encik Iswaran sedang disiasat oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) dan dilarang menjalankan tugasnya atas arahan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.

Gaji beliau juga telah dipotong kepada $8,500 sebulan, sehingga diberitahu kelak, sebagaimana yang diumumkan Encik Lee dalam satu kenyataan menterinya pada Ogos.

Ketua Dewan, Cik Indranee Rajah, dalam ucapannya berkata penggantungan seseorang AP adalah “satu perkara serius”.

Sekiranya dilaksana, ia perlu dilakukan berdasarkan undang-undang dan prinsip yang betul.

“Kita perlu tahu atas dasar apa penggantungan itu diminta. Apakah ada had atau kelayakan penggantungan yang menjadi sandaran NCMP, dan apakah prinsip yang mendorong Cik Poa mencadangkan penggantungan Encik Iswaran pada masa ini?” kata Cik Indranee. 

Beliau menambah bahawa Dewan diberi hak istimewa untuk mengawal kelakuan anggotanya dan apabila ia berlaku, ia harus bertindak berdasarkan prinsip, rasional dan adil, dan piawaian yang ditetapkan harus juga dikenakan terhadap semua AP.

Ketika membentangkan usul mereka, Cik Poa berkata beliau dan Encik Leong “mengemukakan usul ini di hadapan Dewan selepas pertimbangan yang serius”.

Beliau berkata, walaupun Encik Iswaran kini menerima gaji yang telah dikurangkan, beliau masih terus menikmati elaun penuh AP sebanyak $192,500 setahun.

“Perdana Menteri berkata ia bukan dalam budi bicaranya untuk memotong elaun itu. 

“Untuk melakukan perkara itu, ia mesti dilakukan melalui usul di Parlimen bagi menggantung ahli itu daripada perkhidmatan Parlimen.

“Justeru, PSP telah memutuskan untuk membentangkan usul penggantungan menteri juga,” ujar Cik Poa.

Menyuarakan pendapatnya terhadap perbahasan itu, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, berkata Cik Poa dan Encik Leong salah memahami perkara itu.

“Saya tidak tahu sama ada mereka telah mendapatkan nasihat undang-undang atau sama ada mereka telah membaca peruntukan (di bawah Akta Parlimen (Keistimewaan, Kekebalan dan Kuasa) 1962).

“Saya tidak tahu sama ada anda faham bagaimana peruntukan itu berfungsi bersama. Ini adalah perkara yang serius. 

“Saya mencadangkan anda membacanya dengan teliti,” kata beliau.

Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh, berkata Parti Pekerja (WP) menyokong usul pemerintah dan tidak bersetuju dengan usul yang dibentangkan PSP. 

Beliau berkata: “Pada pandangan WP, roda keadilan mesti dibenarkan berputar sepenuhnya sebelum Parlimen memutuskan apa yang perlu dilakukan.

“Parti Pekerja tidak boleh bersetuju dengan usul yang dikemukakan oleh PSP.

“Ia bukan sahaja tidak adil dan pramatang, malah lebih penting, dewan ini akan berusaha membatalkan mandat pilihan raya yang diberikan kepada Encik Iswaran oleh orang ramai di peti undi dengan menjatuhkan penghakiman ke atasnya,” kata beliau.

Sementara itu, Dewan menerima usul yang dibentangkan Cik Indranee mengenai keperluan mengurus AP yang sedang disiasat atas kesalahan salah laku dengan tegas dan adil.

Dua lagi usul juga diterima, iaitu bagi mengesahkan untuk mempertimbangkan perkara berkenaan Encik Iswaran apabila hasil siasatan telah diketahui, di samping keperluan setiap AP menegakkan standard integriti tertinggi dan berkelakuan mengikuti undang-undang.

“Adalah penting untuk memberi isyarat kepada rakyat Singapura bahawa ini adalah apa yang kita harapkan daripada diri kita sendiri, supaya mereka mendapat jaminan mengetahui bahawa kita komited terhadap perkara ini,” katanya lagi.

Seramai tujuh AP menyuarakan pandangan mereka berkaitan usul-usul yang dikemukakan di Parlimen itu. 

Cik Indranee berkata adalah penting Parlimen menangani situasi seperti ini “secara objektif dan tidak berpihak”.

“Kita tidak seharusnya cuba mengeksploitasi situasi sedemikian untuk tujuan politik, sebaliknya melakukan perkara yang betul pada masa yang sesuai,” ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >