Mulai 21 November, operasi pesawat tanpa pemandu (UA) rentas sempadan dilarang melainkan dengan permit, kata Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dan Pasukan Polis Singapura (SPF) pada 20 November.
Pengendali UA, atau dron, yang didapati mengendalikan UA masuk atau keluar Singapura secara haram akan didakwa pihak berkuasa.
Pesalah boleh didenda hingga $50,000, dipenjara hingga dua tahun, atau dikenakan kedua-dua hukuman.
Ini adalah rangka kerja baru untuk operasi UA rentas sempadan yang menambah rangka kerja sedia ada di Singapura yang diperkenalkan pada 2015, kata CAAS dan SPF dalam satu kenyataan bersama.
Pihak berkuasa juga akan mempunyai kuasa menurunkan sembarang UA rentas sempadan yang tidak dibenarkan.
Sedang kemajuan teknologi meningkatkan keupayaan, jarak penerbangan dan ketahanan UA, peranti ini dapat terbang lebih jauh dan membawa muatan lebih besar.
“Penerbangan sebegitu mungkin mendatangkan bahaya kepada keselamatan dan keamanan awam. Pada peringkat global, kami telah melihat kes UA mengganggu operasi lapangan terbang, serta digunakan untuk aktiviti jenayah, seperti bagi penyeludupan, dan melakukan serangan pengganas,” kata kenyataan bersama itu.
“Di Singapura, kami menyaksikan penggunaan UA untuk penyeludupan dadah rentas sempadan pada 2020.”
Pada Jun 2020, empat orang ditangkap kerana disyaki mengedar dadah menggunakan UA selepas aktiviti mencurigakan UA dikesan di sekitar Taman Kolam Air Kranji.
UA itu membawa beg hitam mengandungi bahan yang disyaki dadah terkawal – kira-kira 278 gram dadah jenis Ice – dari Malaysia.
Data penerbangan yang diperoleh dari telefon suspek menunjukkan bahawa UA itu terbang dari Kranji ke Johor Bahru dan kembali semula ke Kranji pada hari tersebut.