Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Gabungan sosioekonomi, gaya hidup antara faktor jejas kesihatan mental masyarakat Melayu

Sep 30, 2023 | 05:30 AM



Statistik Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional (NPHS) yang dibentangkan Rabu menunjukkan jumlah orang Melayu yang mengalami masalah kesihatan mental lebih tinggi berbanding kaum lain di sini.

Hampir seperlima atau sebanyak 19.5 peratus orang Melayu yang ditinjau mengalami masalah kesihatan mental berbanding kaum Cina (16.4 peratus) dan India (15.7 peratus) pada 2022.

Jumlah warga Singapura berbangsa Melayu yang mengalami masalah kesihatan mental pada 2022 juga meningkat daripada 16.3 peratus pada 2020.

Dengan pelbagai masalah yang membelenggu masyarakat sekarang, terutama sekali dengan kos kehidupan yang meningkat, kebimbangan tentang pekerjaan, kesihatan dan ketidaktentuan hidup yang memuncak, tidak hairan jika kita melihat jumlah warga Singapura yang mempunyai kesihatan mental kurang baik semakin meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Sebanyak 17 peratus warga Singapura yang ditinjau pada 2022 menunjukkan kesihatan mental yang kurang baik berbanding 13.4 peratus pada 2020 dan 12.5 peratus pada 2017.

Kesihatan mental warga Singapura jelas semakin merosot, namun kadar lebih tinggi yang dilihat di kalangan masyarakat Melayu boleh disebabkan gabungan faktor sosioekonomi, gaya hidup dan budaya yang membuat orang Melayu lebih terdedah kepada kesihatan mental yang kurang baik.

Faktor-faktor tersebut – termasuk tahap pendidikan, pendapatan dan sokongan keluarga – turut menjejas usaha menangani isu itu secara berkesan.

Menurut kajian, masalah kesihatan mental turut mempunyai kesan terhadap aspek kesihatan lain.

Tinjauan NPHS turut menunjukkan jumlah orang Melayu yang mengalami masalah kesihatan seperti kegemukan dan darah tinggi, lebih ramai berbanding kaum lain.

Justeru, dapatan tinjauan tersebut perlu mencelikkan kita terhadap usaha menyeluruh dalam menangani isu kesihatan masyarakat Melayu.

TAHAP SOSIOEKONOMI LEBIH
RENDAH, STIGMA JADIKAN MELAYU LEBIH TERDEDAH KEPADA
MASALAH KESIHATAN MENTAL

Anggota masyarakat Melayu telah mencapai pelbagai kemajuan sejauh ini dalam semua bidang, termasuk pendidikan, pekerjaan dan tahap pendapatan.

Pada masa yang sama, tidak dapat dinafikan jurang antara kaum di Singapura tetap wujud, dan orang Melayu masih membentuk sebahagian besar keluarga berpendapatan rendah dan pekerja bergaji rendah.

Ini dipaparkan dalam Banci Penduduk 2020, di mana jumlah orang Melayu dengan pendapatan kurang $1,500 bagi setiap anggota isi rumah adalah sebanyak 46.8 peratus, lebih tinggi berbanding masyarakat Cina (31.5 peratus) dan masyarakat India (29.6 peratus).

Faktor sosiobudaya, termasuk tahap pendidikan, sokongan keluarga, dan tahap pendapatan boleh menyumbang kepada tahap kesihatan mental, menurut pakar psikologi klinikal yang juga pengasas ImPossible Psychological Services, Encik Muhammad Haikal Jamil.

“Terdapat perbezaan dari segi faktor sosiobudaya yang terbukti menjejas tahap kesihatan mental, seperti tahap pendapatan serta keluarga seseorang.

“Kekurangan psikososial ini membawa kesan negatif kepada kesihatan mental. Contohnya, individu dengan tahap pendidikan lebih rendah lebih terdedah kepada masalah kewangan.

“Ini mungkin menjejas keupayaan mereka memenuhi keperluan asas masa depan, dan ini menyebabkan kebimbangan dan kurang tidur yang menjejas kesihatan mental,” katanya.

Dalam pada itu, stigma yang masih terkait dengan isu kesihatan mental turut menjejas usaha orang Melayu menghadapi masalah mental dengan lebih berkesan.

Apabila isu tersebut dielak, atau dilihat sebagai ‘kelemahan’ seseorang, ini boleh membuat seseorang ‘tawar hati’ untuk meluahkan perasaan atau mendapatkan bantuan.

Menyentuh tentang pemikiran di kalangan masyarakat Melayu itu, Presiden Kelab Heal, Dr Radiah Salim, berkata:

“Masih wujud stigma yang terkait dengan kesihatan mental di kalangan masyarakat Melayu.

“Ramai yang masih malu untuk mengaku bahawa mereka atau anggota keluarga menghadapi masalah kesihatan mental. Justeru usaha untuk menghapuskan stigma ini amat penting.”

Turut menekankan pentingnya mengubah pemikiran tersebut, Anggota Parlimen GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, berkata perbincangan mengenai masalah kesihatan mental masih dilihat sebagai ‘taboo’ di kalangan masyarakat Melayu.

“Dalam masyarakat Melayu, membincangkan isu kesihatan mental dilihat sebagai ‘taboo’ atau dilihat sebagai kelemahan dan memerlukan bantuan dari segi agama.

“Ini menjejas usaha mendapatkan bantuan yang diperlukan, dan menyukarkan usaha seseorang dalam menangani isu kesihatan mental secara berkesan,” kata Dr Wan Rizal.

Dalam pada itu, ramai di kalangan anggota masyarakat yang mengalami masalah kesihatan mental tidak mendapatkan bantuan segera atau intervensi awal.

Ini membuka ruang bagi masalah tersebut untuk bertambah teruk sebelum individu itu mendapatkan bantuan, kata Encik Muhammad Haikal.

“Klien saya dari masyarakat Melayu biasanya akan berjumpa saya berbulan atau bertahun selepas isu (kesihatan mental) bermula.

“Tanpa dilengkapkan kemahiran untuk mengatasi (coping skills) isu itu dan tanpa intervensi awal, risiko isu kesihatan mental itu bertambah teruk lebih tinggi,” kata Encik Haikal.

Di sebalik berita merundum yang dibentangkan NPHS, tercetus secebis berita baik yang menunjukkan jumlah masyarakat Melayu yang lebih terbuka untuk mendapatkan bantuan dalam menangani kesihatan mental semakin meningkat.

Namun, lebih ramai yang rela meluahkan masalah kepada “rangkaian sokongan tidak formal” termasuk teman, rakan sekerja, saudara-mara, pemimpin agama dan guru di sekolah berbanding pakar seperti doktor, kaunselor atau pakar psikologi.

Meskipun ini menunjukkan ramai yang lebih terbuka membincangkan tentang masalah kesihatan mental mereka, ia mungkin menjejas jenis bantuan atau sokongan yang diberikan.

“Orang tersayang kita mungkin boleh memberikan sokongan emosi yang baik. Namun, mereka tidak terlatih memberikan nasihat perubatan yang diperlukan.

“Jadi keengganan meminta bantuan daripada profesional boleh menjadi isu, terutama sekali dalam diagnosis dan rawatan masalah kesihatan mental secara berkesan,” menurut Dr Wan Rizal.

PENDEKATAN MENYELURUH TANGANI ISU KESIHATAN

Kesihatan mental yang kurang baik turut menjejas kesihatan seseorang secara keseluruhan.

Justeru, kadar kesihatan mental yang kurang baik mungkin menyumbang kepada jumlah masyarakat Melayu yang ‘kurang sihat’.

Ia juga merupakan gesaan masyarakat untuk menilai semula pemakanan, gaya hidup serta kebiasaan mereka, kata Dr Wan Rizal.

“Isunya bukan hanya kesihatan mental, ia terkait dengan kesejahteraan masyarakat Melayu secara keseluruhan, termasuk kesihatan fizikal dan juga pemakanan,” katanya.

Menurut Dr Radiah, masalah kesihatan mental membawa kepada risiko penyakit lain yang lebih tinggi, kerana ia menjejas keupayaan untuk menjalani gaya hidup yang lebih sihat.

Katanya: “Jika kesihatan mental seseorang tidak begitu baik, dia biasanya akan lebih negatif dalam hidup. Contohnya, jika dia berasa tertekan, ini akan menjejas usaha menjalani gaya hidup lebih sihat dan ini akan membawa kepada kesihatan fizikal yang lebih teruk.”

Justeru, pendekatan serta program khusus untuk masyarakat Melayu menjaga kesejahteraan mental mereka bertambah penting, menurut pakar.

Selain bantuan yang disediakan Club Heal, program seperti Cinta Minda – siri program baru yang menumpukan terhadap usaha peluang pendidikan, aktiviti, serta dialog ke arah meningkatkan kesedaran masyarakat Melayu/Islam tentang penjagaan kesihatan mental dan fizikal mewujudkan peluang dianjurkan M Kuasa Tiga (M3) amat penting.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >