Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Harga air naik 50 sen setiap meter kubik menjelang 2025

Keluarga pendapatan rendah dan sederhana bakal terima bantuan kewangan
Sep 27, 2023 | 05:00 PM



Harga air akan dinaikkan sebanyak 50 sen bagi setiap meter kubik secara berperingkat dalam tempoh dua tahun, pada 1 April 2024 dan 1 April 2025, untuk menampung kos yang semakin meningkat bagi membekal dan mengeluarkan air, kata agensi air negara, PUB.

Dengan peningkatan penuh mulai April 2025, tiga dalam empat isi rumah akan melihat peningkatan kurang daripada $10 secara purata dalam bil air bulanan mereka, sebelum sokongan pemerintah, manakala tiga dalam empat perniagaan, termasuk perniagaan kecil dan sederhana (SME), akan melihat peningkatan kurang daripada $25 dalam bil air bulanan mereka.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu, PUB berkata harga air akan dinaikkan sebanyak 20 sen bagi setiap meter kubik mulai 1 April 2024 dan 30 sen bagi setiap meter kubik mulai 1 April 2025.

Secara keseluruhan, isi rumah akan melihat kenaikan sebanyak 50 sen bagi setiap meter kubik, naik daripada harga sekarang sebanyak $2.74 setiap meter kubik, bagi isi rumah yang menggunakan sehingga 40 meter kubik air.

1 meter kubik air sama seperti 1,000 liter air atau umpama 5,000 200ml cawan kopi.

“Kenaikan secara berperingkat ini, dengan kenaikan yang lebih rendah pada tahun pertama, bertujuan membantu isi rumah dan perniagaan menyesuaikan diri dengan kenaikan harga dan memberi lebih banyak masa untuk menyesuaikan diri dengan langkah penjimatan air.

“Pemerintah akan menyediakan sokongan kewangan tambahan untuk membantu mengurangkan kesan kenaikan harga air dan kebimbangan kos sara hidup lain, terutama bagi isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana. Butiran lanjut akan diumumkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) tidak lama lagi,” kata PUB.







Kali terakhir Singapura menjalankan semakan harga air adalah pada 2017, yang menyaksikan kenaikan harga air sebanyak 30 peratus secara berperingkat dalam tempoh dua tahun. Sebelum itu, kenaikan air juga pernah dijalankan pada 2000.

PUB berkata walaupun dengan langkah aktif untuk mengurangkan kos, kos pengeluaran dan pembekalan air telah meningkat dengan ketara sejak semakan harga terakhir pada 2017, ekoran tekanan luar.

“Purata tarif pasaran elektrik telah meningkat kira-kira 37 peratus, menambah kos tenaga PUB. Kos pembinaan di Singapura juga telah meningkat sebanyak 35 peratus di seluruh industri, dengan peningkatan yang lebih tinggi untuk kerja-kerja khusus yang mesti dilakukan PUB seperti projek terowong dan saluran paip melalui kawasan perbandaran yang tinggi.

“Perbelanjaan PUB untuk bahan kimia penting dalam air dan rawatan air terpakai telah meningkat kira-kira 33 peratus disebabkan oleh tekanan inflasi dan gangguan rantaian bekalan. Perbelanjaan penyenggaraan telah meningkat sebanyak 18 peratus disebabkan oleh kos tenaga kerja yang lebih tinggi untuk perkhidmatan kontrak,” kata PUB.

Tambahan pula, PUB berkata permintaan air Singapura juga dijangka naik hampir dua kali ganda menjelang 2065, seiring dengan pertumbuhan ekonomi dan penduduk.

Apabila ditanya oleh Berita Harian sama ada PUB telah meneroka sumber pendapatan lain sebelum melaksanakan kenaikan harga air seperti mengeluarkan lebih banyak bon hijau awam sama seperti yang dikeluarkannya pada 2022, PUB berkata bon yang dikeluarkan bertujuan untuk membiayai pelaburan modal jangka panjang dan bukan kos operasi.


“Kami tidak meminjam untuk kos operasi. Kami meminjam untuk membiaya pelaburan modal jangka panjang dengan faedah akan terakru merentas generasi. Ia adalah cara pembiayaan yang lebih saksama.

“Pada masa yang sama, PUB sebagai agensi air negara, juga perlu memastikan bahawa kami diurus dengan baik dari segi kewangan dan kemampanan,” kata PUB.

Dengan semakan harga penuh selepas 1 April 2025, isi rumah HDB akan menyaksikan kenaikan bil air bulanan mereka antara $4 dengan $9 secara purata, manakala bil air bulanan isi rumah privet dijangka naik antara $7 dengan $8 secara purata, sebelum bantuan pemerintah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >