Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Ideologi radikal di media sosial mesti ditangani secara langsung: DPM Wong

RRG lancar TikTok untuk dekati belia, betulkan salah faham tentang ajaran Islam
Jun 21, 2023 | 05:19 PM



Singapura mesti berusaha untuk secara langsung menentang ideologi radikal di media sosial sedang lebih ramai golongan muda menjadi sasaran dalam talian, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Ini termasuk membangunkan cara baru dan berkesan untuk membetulkan salah faham dan menggalakkan pemahaman teks dan konsep agama yang betul, dalam konteks kesederhanaan dan masyarakat sekular Singapura, tambahnya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan sebagai tetamu terhormat di Rahat Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) ke-18 di Shangri-La Rasa Sentosa pada Rabu.

“Dengan lebih ramai anak muda kita disasarkan dalam talian, kita juga perlu bekerja secara langsung untuk menentang ideologi radikal di media sosial.

“Melalui platform media sosial ini, saya berharap kita semua boleh membangunkan cara yang lebih berkesan untuk melibatkan golongan muda, untuk membetulkan salah faham dan menggalakkan pemahaman yang lebih baik tentang teks dan konsep agama yang sesuai dengan masyarakat sekular Singapura,” katanya.

Beliau turut merasmikan pelancaran akaun TikTok RRG.

Akaun tersebut menambah kepada kehadiran media sosial RRG yang sebelum ini sudah pun memanfaatkan wadah YouTube, Instagram dan Facebook.

Encik Wong berkata kumpulan-kumpulan pelampau kini semakin canggih menggunakan platform digital seperti media sosial untuk menyebarkan propaganda mereka dan menghasut pengikut mereka untuk melakukan serangan.

“Namun, apa yang lebih membimbangkan ialah kumpulan pengganas ini semakin menyasar para belia yang lebih mudah terpengaruh dan mudah dipengaruhi,” kata Encik Wong sambil menambah bahawa selain media sosial, laman penstriman muzik serta wadah permainan dalam talian juga digunakan.

Bahkan, ancaman tersebut telah melangkaui ekstremisme Islam – kumpulan ekstremis, ganas dan radikal lain juga telah menyebarkan pemahaman mereka secara dalam talian, tambahnya.

Untuk melindungi sepenuhnya warga Singapura daripada segala-galanya dalam talian adalah sesuatu yang tidak mungkin boleh berlaku, kata Encik Wong.

Oleh itu, pendekatan yang perlu diambil adalah untuk menginokulasi warga Singapura daripada pemahaman pelampau.

“Ini bukan sesuatu yang boleh dilakukan pemerintah atau agensi penguatkuasaan sendiri; untuk berjaya, kita perlukan semua orang memainkan peranan mereka,” ujarnya.

Beliau berkata orang ramai mesti dilengkapi dengan ilmu untuk mengenal pasti dan mencabar idea-idea pelampau serta mengesan tanda-tanda radikalisasi supaya mereka boleh mendapatkan bantuan bagi ahli keluarga atau rakan mereka.

Kedua, kaedah pemulihan yang digunakan juga mesti dikembangkan supaya kita boleh membantu tahanan, termasuk bilangan belia yang semakin meningkat, untuk menyertai semula masyarakat.

“Kepelbagaian ideologi pelampau yang semakin meningkat – daripada ekstremisme Islam kepada idea sayap kanan, anti-Semitik dan Neo-Nazi – akan menjadikan pemulihan lebih kompleks dan mencabar.

“Kita mesti berusaha untuk lebih memahami mengapa sesetengah orang muda tertarik kepada ideologi ini dan bekerjasama dengan keluarga mereka untuk membantu mereka memulihkan kehidupan mereka.

“Kita juga perlu mengukuhkan kerjasama merentas kumpulan masyarakat yang berbeza, berkongsi pengalaman kita, supaya kita secara kolektif dapat menangani ekstremisme dalam pelbagai bentuknya,” ujar Encik Wong.

Beliau turut menyatakan bahawa untuk memastikan pendekatan seluruh masyarakat ini berkesan, perlu ada pemimpin-pemimpin yang terlibat secara mendalam dan komited terhadap kerja penting ini.

Kata beliau: “Saya juga menggalakkan asatizah yang lebih muda untuk menyertai RRG dan bagi mereka yang sudah berada dalam kumpulan itu untuk memainkan peranan yang lebih aktif.

“Dengan ancaman radikalisasi yang meluas kepada golongan muda di Singapura, kami memerlukan perspektif baru dan cara baru untuk melibatkan golongan muda kita.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >