Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

TEKS UCAPAN TIMBALAN PERDANA MENTERI, ENCIK LAWRENCE WONG, DI RAHAT TAHUNAN KE-18 RRG

Perlu kukuh kerjasama rentas masyarakat demi tangani ekstremisme pelbagai bentuk

Jun 21, 2023 | 06:08 PM



Saya gembira diberi peluang untuk menyertai anda semua di Rahat Tahunan RRG pada tahun ini.

Ini merupakan satu acara penting dalam kalendar RRG setiap tahun, di mana anda semua dapat berkumpul, bersama-sama keluarga, untuk berkongsi pengalaman, cabaran dan amalan-amalan terbaik dan menghabiskan masa menjalinkan ikatan yang baik antara satu dengan lain. Tetapi seperti yang dinyatakan tadi, acara rahat tahun ini mempunyai kepentingan tambahan kerana Sambutan Ulangtahun ke-20 RRG. Ini menandakan pencapaian besar dalam usaha kita menentang pengganasan dan ekstremisme di Singapura.

Pada 2003, selepas kita memberkas anggota kumpulan Jemaah Islamiyah (JI), pemerintah berhadapan dengan satu keputusan sukar – apa yang akan kita lakukan terhadap individu-individu ini?

Pada ketika itu, idea untuk memulihkan dan mengintegrasikan para pengganas tidak pernah didengar. Tiada negara yang melakukannya secara sistematik. Justeru kita tidak dapat merujuk kepada sesiapa untuk huraiannya.

Namun kita tahu bahawa pengganas ini telah menjadi radikal akibat pemahaman salah tentang Islam, agama yang aman, bukan ganas.

Kita juga tahu bahawa individu-individu tersebut bukan sekadar anggota atau radikal JI. Mereka adalah individu yang berkeluarga; mereka mempunyai ibu bapa dan pasangan yang menyayangi mereka, serta anak-anak yang bergantung kepada mereka.

Maka pemerintah telah ambil keputusan untuk lakarkan langkah kita sendiri demi menuju ke hadapan – dengan melakukan yang terbaik untuk memberi individu-individu ini peluang untuk kembali berintegrasi dan pulang kepangkuan masyarakat.

Ketika itulah kami mendekati para pemimpin masyarakat Muslim di Singapura: Ustaz Ali Haji Mohamad dan Ustaz Mohamad Hasbi Hassan. Kami minta bantuan serta kepakaran agama mereka untuk memberi kaunseling kepada tahanan dan berkongsi tentang ajaran sebenar mengenai Islam. Mujur mereka bukan sahaja bersetuju, bahkan mereka menyertakan sama sekumpulan cendekiawan serta guru Islam yang berdedikasi dan berilmu untuk menubuhkan RRG.

Perjalanan sepanjang 20 tahun ini tidak mudah atau lancar. Tiada panduan atau contoh untuk diikuti.

Anda telah membangunkan strategi anda sendiri dan menulis manual kaunseling anda daripada mula. Tetapi anda teguh dengan pendirian, dan dedikasi serta daya tahan anda telah membuahkan hasil yang hebat.

Sepanjang 20 tahun ini, RRG telah menjadi rakan kongsi utama pemerintah dalam menangani ancaman keganasan dan ekstremisme. Usaha anda sangat penting dalam pemulihan ramai rakyat Singapura yang radikal dan membolehkan mereka untuk kembali semula kepada masyarakat.

Daripada kira-kira 140 rakyat Singapura yang ditahan ekoran aktiviti berkaitan keganasan, sebahagian besar (hampir 90 peratus) telah berjaya berintegrasi semula ke dalam masyarakat. Ini termasuk hampir semua bekas ahli JI.

Saya menghargai sumbangan dan usaha anda, dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli RRG.

Kerja keras dan kepimpinan anda yang berwawasan telah membuahkan perubahan yang besar – bukan sahaja kepada mereka yang telah berjaya mendapat kehidupan mereka semula, malah kepada masyarakat Singapura secara luas. Kerana kejayaan RRG mencerminkan apa sebenarnya yang diajar agama Islam dan ia juga menjadi bukti apa yang kita boleh capai bersama sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, agama, dan yang terpenting, Singapura yang bersatu.

Mengubah Sifat Radikalisasi

Hari ini, keganasan mungkin tidak menjadi tumpuan ramai rakyat Singapura. Tetapi sebenarnya, ancaman radikalisme dan ekstremisme masih tinggi. ISD akan mengeluarkan Laporan Penilaian Ancaman Keganasan Singapura tahunannya pada bulan depan, namun izinkan saya berkongsi dengan anda beberapa perspektif daripada laporan itu.

Landskap keselamatan global kekal tidak menentu. Kumpulan pengganas global seperti Isis dan Al-Qaeda sedang membina semula kekuatan mereka dan tetap bertekad untuk menyemai kekacauan dan huru-hara dengan melakukan serangan di negara lain. Ini termasuk Singapura, yang dianggap sebagai sasaran utama oleh pengganas.

Kumpulan tersebut telah menjadi lebih canggih dalam menggunakan platform digital seperti media sosial untuk menyebarkan propaganda dan menghasut pengikut mereka untuk melakukan serangan. Ini bukan sahaja menjadikan bahan pelampau mudah diakses, tetapi ia juga telah mempercepatkan proses radikalisasi kepada beberapa bulan atau minggu. Kerana semua ini berlaku di belakang skrin komputer dan ia lebih sukar untuk dikesan.

Tetapi apa yang paling membimbangkan ialah kumpulan pengganas semakin menyasar golongan muda, yang lebih mudah terpengaruh dan terdedah kepada pengaruh. Selain daripada saluran media sosial tradisional, mereka telah menggunakan penstriman muzik dalam talian dan platform permainan yang popular di kalangan belia.

Tetapi apa yang paling membimbangkan ialah kumpulan pengganas semakin menyasarkan golongan belia, yang lebih mudah terpengaruh dan terdedah kepada pengaruh. Selain daripada saluran media sosial tradisional, mereka telah mula mengeksploitasi muzik dalam talian penstriman dan platform permainan yang popular dengan golongan muda.

Contohnya, seorang belia berumur 16 tahun yang menjadi radikal secara sendiri yang telah dikenakan Perintah Sekatan (RO) pada Januari tahun ini. Dia didedahkan dengan ideologi ISIS dan lagu-lagu jihad melalui YouTube dan wadah penstriman muzik dalam talian.

Dia meneroka pelayan (server) bertemakan ISIS dalam permainan dalam talian iaitu Roblox – orang ramai mungkin sudah biasa dengan permainan ini, ia sangat popular di kalangan kanak-kanak – dan dalam permainan ini, ia mencipta semula zon konflik ISIS di Syria dan Bandar Marawi di Filipina. Di situ, dia berlatih menembak musuh-musuh ISIS dan juga mengambil a bai’ah (atau ikrar) kepada ‘pemimpin ISIS’ dalam permainan itu. Semua ini berlaku secara maya.

Jadi, anda boleh bayangkan keadaan ini telah mencipta trend yang sangat membimbangkan: peningkatan bilangan individu yang ditangani ISD adalah belia. Sejak 2015, ISD telah mengeluarkan perintah ISA kepada 11 warga Singapura di bawah usia 21 tahun. Sebahagian daripada mereka memulakan proses radikalisasi seawal usia 14 tahun. Dalam semua tahun sebelum 2015, terdapat hanya satu kes radikalisasi belia. Tetapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kita sudah ada 11 kes. Justeru, ia adalah peningkatan yang mendadak, dan ini adalah trend yang sangat membimbangkan.

Ancaman juga telah melampaui batas ekstremisme Islam, kerana kita telah lihat kumpulan radikal, pelampau dan pengganas lebih luas yang aktif dalam menyebarkan ideologi mereka secara dalam talian. Di antara 11 belia yang meradikalisasikan diri, yang saya ketengahkan sebentar tadi, salah seorang daripada mereka ialah remaja berusia 16 tahun yang telah merancang untuk melakukan serangan terhadap orang Islam di dua masjid di Singapura. Dia adalah seorang Kristian Protestan, yang telah menyerap ideologi ekstrimis sayap kanan, termasuk manifesto Brenton Tarrant, iaitu penyerang di Christchurch pada 2019. Mujur ISD menanganinya sebelum sebarang bahaya berlaku.

Strategi Masa Depan

Semua ini bermakna ideologi yang melampau dan ganas boleh meradikalisasikan mana-mana warga Singapura tanpa mengira usia, bangsa atau agama. Ini mempunyai implikasi yang serius kepada masyarakat kita. Ancaman pelampau dan keganasan jauh lebih berbahaya sekarang. Ia boleh ada di kalangan masyarakat kita sendiri. Ia akan cuba mengeksploitasi perbezaan kaum dan agama, dan cuba memecahbelahkan kita.

Kita tahu dari sejarah pahit kita bagaimana hal ini boleh membawa kepada konflik dan kebencian. Jadi kita mesti melakukan yang terbaik untuk memastikan ideologi ini tidak bertapak di Singapura, dan kita mesti melakukan yang terbaik untuk memelihara kepercayaan dan kesefahaman yang telah terbina sepanjang berdekad lamanya antara satu sama lain dalam komuniti kita yang berbeza-beza.

MHA juga akan memperkenalkan undang-undang untuk terus memerangi bahaya dalam talian, termasuk yang menghasut aktiviti berkaitan keganasan.

Ini adalah perkara yang boleh dan akan dilakukan oleh pemerintah tetapi ia mustahil untuk melindungi rakyat Singapura daripada segala-galanya yang ada dalam talian.

Jadi pendekatan kita mestilah menginokulasi rakyat Singapura terhadap ideologi ekstremisme. Ini bukan sesuatu yang boleh dilakukan oleh hanya pemerintah atau agensi penguatkuasaan. Untuk berjaya, kita memerlukan semua orang untuk memainkan peranan mereka.

Kita memerlukan rakyat yang aktif dan berwaspada yang akan menyumbang kepada keselamatan Singapura dengan cara mereka sendiri.

Pertama, kita mesti melengkapkan orang ramai dengan pengetahuan yang betul untuk mengenal pasti dan mencabar idea ekstremisme dan mengesan petunjuk radikalisasi supaya mereka boleh mendapatkan bantuan untuk ahli keluarga atau rakan mereka.

RRG telah memainkan peranan penting dalam bidang ini selama bertahun-tahun, dan mereka yang perlu menjelaskan konsep agama, atau mendapatkan bantuan untuk seseorang yang mereka syaki mungkin menjadi radikal boleh melawati Pusat Sumber dan Kaunseling atau menghubungi talian bantuan RRG.

Bulan lalu, RRG telah melancarkan Galeri Majulah, yang mempunyai pameran terkini untuk mendidik pengunjung tentang keganasan dan kerja penting RRG.

Usaha ini bermakna. Tetapi dengan lebih ramai anak muda kita disasarkan dalam talian, kita perlu berusaha untuk secara langsung menentang ideologi radikal di media sosial.

RRG sudah pun melakukan sedemikian di YouTube, Facebook dan Instagram, dan saya gembira kerana RRG akan melancarkan akaun TikToknya hari ini – media sosial yang semakin popular di kalangan golongan muda.

Saya gembira RRG melakukan ini. Saya tahu daripada pengalaman peribadi bahawa bukan mudah untuk menghasilkan kandungan di media sosial yang menarik minat golongan muda. Ia sangat mencabar. Kadang-kadang anda cuba dan tidak dapat banyak tontonan jadi anda perlu cuba sesuatu yang lain.

Melalui platform media sosial, saya berharap kita semua dapat membangunkan cara yang lebih berkesan untuk melibatkan golongan muda, membetulkan salah tafsir dan menggalakkan pemahaman teks dan konsep agama, sesuai dengan masyarakat sekular Singapura.

Kedua, kita mesti mengembangkan kaedah pemulihan kita supaya kita boleh membantu tahanan kita, termasuk bilangan belia yang semakin meningkat, untuk menyertai semula masyarakat.

Pelbagai ideologi ekstremisme yang semakin meningkat – daripada ekstremisme Islam kepada idea sayap kanan, anti-Semitik dan Neo-Nazi – akan menjadikan pemulihan lebih kompleks dan mencabar.

Kita mesti lebih memahami mengapa sesetengah belia tertarik kepada ideologi ini, dan bekerjasama dengan keluarga mereka untuk membantu mereka memulihkan kehidupan mereka.

KIta juga perlu mengukuhkan kerjasama kita merentasi kumpulan masyarakat yang berbeza, berkongsi pengalaman kita, supaya kita secara kolektif dapat menangani ekstremisme dalam pelbagai bentuknya.

Saya gembira kerana RRG telah mendahului dalam bidang ini dengan berkongsi pengalamannya dengan Majlis Gereja Kebangsaan Singapura (NCCS), apabila NCCS menasihati pemuda Kristian berusia 16 tahun yang ditahan.

Akhir sekali, untuk memastikan pendekatan seluruh masyarakat ini berkesan, kita perlu terus mempunyai pemimpin masyarakat kukuh yang sangat terlibat dan komited kepada usaha penting ini.

Ini bermakna memastikan RRG dan kepimpinannya mempunyai pembaharuan yang stabil dan diberikan nafas baru.

Ini sesuatu yang saya faham anda telah bincangkan di seminar ini juga.

Pemergian Ustaz Ali awal tahun ini merupakan kehilangan besar buat RRG dan buat Singapura.

Bersama anggota kanan RRG yang lain, Ustaz Ali telah menetapkan asas yang kukuh bagi kerja RRG, dan membimbing RRG menjadi seperti sekarang.

Beliau memainkan peranan penting dalam membentuk bagaimana RRG mendekati dan memulihkan tahanan.

Beliau juga mempromosikan keamanan dan pemahaman dalam masyarakat kita yang pelbagai, dan membantu membina negara kita menjadi masyarakat yang selamat dan harmoni seperti sekarang.

Kami amat berterima kasih atas dedikasinya kepada masyarakat, dan Singapura.

Kepimpinan RRG kini diteruskan bersama Ustaz Dr Mohamed Ali dan Ustaz Hasbi Hassan yang beliau sendiri hadir sewaktu RRG diasaskan.

Beliau mmeberitahu saya tadi bahawa beliau bersama RRG dari tahun sifar dan masih kuat bertahan.

Saya mempunyai keyakinan yang tinggi dalam keupayaan mereka untuk membawa RRG ke hadapan kerana saya pasti mereka akan terus menetapkan mekanisme bagi memastikan penggantian kepimpinan berkesan dalam RRG.

Saya juga menggalakkan para asatizah yang lebih muda agar melibatkan diri bersama RRG, dan bagi mereka yang sudah dalam kumpulan ini untuk memainkan peranan lebih aktif.

Dengan ancaman radikalisasi menjangkau ke anak muda di Singapura, kita memerlukan perspektif segar serta cara baru untuk mendekati belia kita. Dan ia hanya dengan bantuan anda, bersama bimbingan dan sokongan daripada kumpulan berpengalaman perintis RRG, di mana RRG boleh mengekalkan kerja pentingnya ke dekad seterusnya dan selanjutnya.

Sebagai kesimpulan, RRG telah mencatat kemajuan sejak anda pertama ditubuhkan 20 tahun lalu.

Cara kita yang unik kepada Singapura iaitu memulihkan dan mengintegrasi semula pelampau ke dalam masyarakat memberi harapan kepada setiap tahanan, dan mengekalkan masyarakat kita yang berbilang agama dan berbilang bangsa.

Kita tidak akan dapat mencapai ini tanpa setiap daripada anda dalam bilik ini.

Jadi sekali lagi, saya berterima kasih kepada anda semua atas kerjasama anda yang teguh dan tidak putus-putus bersama pemerintah.

Marilah kita kekal bersatu menentang sebarang kuasa atau idelogi yang ingin memecahbelahkan fabrik sosial kita.

Bersama, kita boleh terus melindungi cara kehidupan kita dan memastikan Singapura yang selamat dan bersatu bagi bergenerasi akan datang.

Terima kasih.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >