Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Jalin hubungan sulit: Anggota kanan WP Leon Perera, Nicole Seah letak jawatan

Hubungan disyaki sejak 2020, namun Perera, Seah tidak mengaku sehingga video disebar baru-baru ini: Pritam
Jul 19, 2023 | 07:44 PM



Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP), Encik Leon Perera dan anggota kanan parti itu, Cik Nicole Seah, telah meletak jawatan daripada parti selepas berbohong mengenai hubungan sulit yang disyaki bermula selepas Pilihan Raya Umum (GE) 2020.

Kededua Encik Perera dan Cik Seah, yang sebelum ini menafikan dakwaan menjalin hubungan sulit apabila ditanya oleh kepimpinan kanan WP, mengaku mengenai hubungan tersebut selepas video yang menunjukkan mereka berpegangan tangan disebarkan pada Isnin.

Mengumumkan demikian pada Rabu, Setiausaha Agung WP, Encik Pritam Singh, berkata beliau menerima surat peletakan jawatan oleh Cik Seah pada Selasa dan oleh Encik Perera pada Rabu.

Bercakap di sidang media yang diadakan di ibu pejabat WP di Geylang, Encik Pritam berkata Encik Perera juga telah memaklumkan pemangku Speaker Parlimen, Cik Jessica Tan, yang beliau meletak jawatannya di Parlimen.

Sidang media itu diadakan selepas WP pada Isnin berkata ia akan menyiasat video yang mencadangkan “perlakuan tidak sesuai antara dua anggota kanan parti”.

Video 15 saat itu menunjukkan Encik Perera makan di restoran bersama seorang wanita yang kelihatan seperti Cik Seah. Beliau juga dilihat mengusap tangan wanita itu. Tidak diketahui di mana atau bila video itu dirakam. Difahamkan, ia pertama kali ia dimuat naik oleh pengguna Facebook ‘Victoria Wang’ dan hingga petang Selasa, video dan akaun itu tidak aktif lagi.

Menurut Encik Pritam, yang juga Ketua Pembangkang, hubungan sulit itu bermula selepas GE 2020 tetapi telah berakhir.

“Sejak parti tahu mengenai video itu, kami bertindak sepantas yang termampu, dengan mengambil kira kami perlu bersikap adil kepada setiap pihak, untuk dapat menghuraikan perkara ini dan memperbetulkan keadaan,” kata Encik Pritam.

Encik Perera, 53 tahun, dan Cik Seah, 36 tahun, masing-masing telah berumah tangga dengan orang lain dan masing-masing mempunyai dua anak. Anak kedua Cik Seah dilahirkan pada April 2022.

Kededua mereka berada dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) WP.

Encik Perera adalah AP bagi divisyen Serangoon dalam GRC Aljunied dan mengetuai pasukan media parti itu.

Cik Seah pula merupakan presiden sayap belia WP dan bertanding untuk GRC East Coast dalam pilihan raya umum 2020.

Menurut Encik Pritam, sekitar hujung 2020 dan awal 2021, beliau telah menerima kiriman WhatsApp daripada pemandu peribadi Encik Perera yang mendakwa Encik Perera dan Cik Seah “sering” bertemu di restoran dan hotel.

Pemandu itu juga mendakwa melihat kededua pemimpin itu berpelukan dan berpegangan tangan.

Encik Pritam berkata pada Rabu dakwaan itu tidak diiringi sebarang bukti pada masa itu. Beliau juga tidak mengenali secara peribadi pemandu Encik Perera dan Encik Perera telah menyangkal dakwaan tersebut.

“Leon juga berkongsi dengan saya bahawa beliau sedang dalam pertikaian berterusan dengan pemandunya dan akan menamatkan perkhidmatannya dan telah mendapatkan nasihat undang-undang mengenai dakwaan pemandunya,” kata Encik Pritam.

Beberapa bulan kemudian, pemandu tersebut berkongsi maklumat yang sama dengan beberapa anggota parti lain dan Encik Perera sekali lagi menafikan dakwaan itu apabila disoal.

Apabila ditanya secara berasingan oleh anggota CEC, Cik Seah turut menafikan tuduhan itu, ujar Encik Pritam.

“Apabila video Nicole dan Leon muncul pada Isnin, itulah kali pertama kami semua melihatnya,” kata Encik Pritam.

Beliau segera menemui kedua-duanya secara berasingan pada Isnin petang dan mereka mengaku yang mereka telah menjalin hubungan sulit, kata Encik Pritam.

“Apabila saya bertemu Leon pada petang 17 Julai, beliau mengakui bahawa beliau sepatutnya lebih bersikap terbuka apabila saya dan anggota parti lain mula-mula bertanya mengenai dakwaan yang dibuat oleh pemandunya,” kata Encik Pritam.

Diminta mengulas mengenai video yang tersebar di Internet beberapa jam sebelum pengumuman peletakan jawatan mantan Speaker Parlimen, Encik Tan Chuan-Jin, dan mantan AP GRC Tampines, Cik Cheng Li Hui, daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) ekoran hubungan sulit pada Isnin, Encik Pritam berkata beliau enggan membuat spekulasi.

“Saya rasa ia difikirkan ramai orang. Saya biarkan anda membuat kesimpulan sendiri mengenai (insiden yang berlaku secara) kebetulan dan luar biasa ini,” katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >