Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kereta lama tak lapuk ditelan zaman masih dapat permintaan

Jatuh cinta pada kereta klasik

Jun 19, 2023 | 05:31 AM



Trend memiliki kenderaan klasik dalam kalangan golongan muda di sini semakin meningkat. Ramai yang memilih untuk mendapatkan kenderaan lama ini kerana ia mempunyai keunikan tersendiri. Dua pemilik muda berkongsi pengalaman mereka memiliki kenderaan klasik ini dengan BERITA HARIAN (BH).


Sementara ramai rakyat Singapura beralih kepada kereta terpakai disebabkan harga Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) yang menjulang tinggi, bilangan pemilik kereta klasik di sini pula semakin meningkat.

Bilangan pemilik kenderaan klasik dalam kalangan generasi muda turut menyaksikan peningkatan ketara menurut pengamat.

Kereta klasik, yang berusia 35 tahun ke atas, bukan sahaja popular dalam kalangan penggemar kereta lebih berusia, malah ia kini mendapat perhatian golongan muda yang berada dalam lingkungan usia 20-an tahun.

“Jika kita lihat sejak beberapa tahun yang lalu, demografi pemilik kereta klasik dan ‘retro’ telah berubah.

“Jika dahulu, ramai dalam kalangan pemilik ini merupakan golongan pertengahan usia, kini kita dapat lihat ramai di antara mereka yang berusia dalam lingkungan 20-an dan 30-an tahun.

“Malah, ada juga yang membeli kereta klasik ini sebagai kereta pertama mereka.

“Kita dapat melihat peningkatan sekitar 20 peratus tahun demi tahun bagi permintaan dan pertanyaan mengenai kenderaan klasik daripada kalangan golongan muda (di bawah 30 tahun),” kata Encik Fabian Ng, pengarah urusan syarikat SGretroCar Pte Ltd.

Encik Ng membantu membawa masuk dan mendaftarkan kereta klasik ke Singapura dari luar negara seperti Malaysia, Indonesia dan sejauh Britain.

Menurutnya, baru-baru ini, beliau mendapat permintaan daripada seorang remaja berusia 17 tahun untuk membawa masuk kereta klasik Toyota, yang ingin memandu kereta itu selepas mendapat lesen.

Beliau berpendapat lebih ramai golongan muda meminati kenderaan klasik pada masa kini kerana kenderaan lama rata-rata mempunyai ‘jiwanya’ yang tersendiri.

Bagi sesetengah pemilik kenderaan klasik tegar, kekasaran, getaran serta bunyi yang dikeluarkan oleh kenderaan klasik itu adalah jauh lebih penting daripada kuasa kuda atau kelajuan yang ditawarkan kebanyakkan kenderaan moden.

Keupayaan pemilik untuk memulihkan semula kenderaan mengikut cita rasa mereka juga merupakan antara tarikan utama.

Ini di samping memberikan pengalaman memandu yang benar-benar tulen dan tidak dapat diberikan oleh kereta-kereta moden, tambah Encik Ng.

“Benar, kereta baru menawarkan kepantasan, mempunyai kuasa kuda lebih tinggi dan penggunaan bahan api lebih rendah, di samping lebih selesa, tetapi ia mungkin tidak dapat menawarkan perhubungan istimewa dan komunikasi antara pemandu dengan kereta, seperti kereta klasik,” kata Encik Ng, yang turut merupakan penggemar kereta lama.

Beberapa pemilik muda kereta klasik yang Berita Harian (BH) temui berkata mereka seronok memiliki kenderaan yang menonjolkan personaliti mereka dan sesuai dengan gaya hidup mereka.

Misalnya, Encik Juffrie Juma’at, 34 tahun, yang memiliki sebuah ‘campervan’ Volkswagen Vanagon T3 berusia lebih 40 tahun berkata kenderaannya itu mencerminkan dirinya sendiri.

“Saya seorang yang suka mengembara dan kenderaan ini sesuai dengan saya kerana ia praktikal dan saya boleh memuatkan peralatan saya di dalamnya,” kata pengarah komersial itu.

Adalah mudah untuk mengecam kereta klasik yang dipandu di jalan raya Singapura kerana ia biasanya dikenal pasti dengan nombor plat berwarna merah dan kuning.

Menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), bilangan kereta klasik yang didaftarkan di bawah Skim Kenderaan Klasik (CVS) semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Daya tarikan kereta lama semakin berkembang sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan sebanyak 1,176 kereta klasik didaftarkan di sini di bawah CVS setakat Disember 2022, berbanding 1,023 pada 2021.

Terdapat juga sedikit peningkatan dari 2020 hingga 2021, dengan 903 kereta didaftarkan pada 2020, menurut data LTA yang dikongsi dengan BH.

Kenderaan yang berusia lebih 35 tahun boleh didaftar di bawah skim CVS ini, yang termasuk cukai lebih rendah serta sekatan penggunaan.

Kereta yang didaftarkan di bawah skim CVS, yang diperkenal pada 2000, boleh dipandu hanya 28 hari setahun, dan boleh ditambah lagi 17 hari dengan membayar kupon $20 sehari.

Untuk menukar kenderaan mereka kepada klasik, pemilik perlu mengesahkan pengisytiharan perubahan yang tidak boleh ditarik balik bagi status kenderaan mereka.

Kenderaan tersebut kemudian akan mendapat nombor plat baru berwarna merah dan kuning, yang dipasang di pusat pemeriksaan.

Sebaik sahaja kenderaan didaftar di bawah skim CVS, ia tidak boleh ditukar kembali kepada kereta biasa.

Bagaimanapun, mereka yang memilih untuk terus menggunakan kereta klasik mereka dengan menggunakan plat biasa, masih lagi dibenarkan, selagi COE mereka masih sah.

Memiliki kereta klasik, terutamanya dari Jepun, tidak menelan kos yang begitu besar seperti yang disangkakan.

Encik Ng berkata seseorang boleh mendapatkan kereta Honda Civic atau Toyota Corolla generasi pertama yang sudah pun berdaftar pada harga sekitar $30,000 di pasaran semasa.

“Harga itu termasuk proses pembatalan pendaftaran, pengimportan, cukai import, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), semua yuran LTA yang berkaitan, Yuran Pendaftaran Tambahan (ARF) serta COE,” kongsi beliau.

Bagi mereka yang berhasrat mendapatkan kereta klasik sebagai kegunaan harian mahupun untuk menjadikan kereka koleksi, Encik Ng menasihatkan agar mereka terlebih dahulu mengambil kira beberapa perkara.

Beliau berkata: “Mereka perlu mengambil kira ketersediaan alat ganti dan harga alat ganti itu, kerumitan teknologi kereta lama ini yang menentukan keupayaan untuk diperbaiki dan kebolehpercayaan umum kereta.

“Ini semua merupakan kos tambahan yang akan anda lihat setelah memiliki kenderaan klasik.

“Oleh itu, kereta klasik buatan Italy misalnya merupakan kereta yang sering mengalami masalah dan ia lebih sesuai untuk pemandu dan peminat kereta yang lebih berpengalaman berbanding untuk mereka yang masih baru.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >