Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengumumkan pada Selasa bahawa kadar Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) akan naik $1 di tiga lokasi ekspreswe dalam empat tempoh tertentu mulai 28 Ogos.
Kadar yang disemak itu menyusuli semakan LTA ke atas keadaan lalu lintas baru-baru ini pada Julai 2023, yang menunjukkan peningkatan kesesakan di pelbagai laluan ekspreswe.
Bagi set dua gantri di Ekspreswe Rentas Pulau (PIE), antara Adam Road dan Mount Pleasant Road, pemandu akan dikenakan bayaran $1 dari 9 pagi hingga 9.30 pagi.
Di Ekspreswe Kallang-Paya Lebar (KPE) selepas Jejambat Defu, pemandu akan membayar $6, naik daripada $5, dari 8.30 pagi hingga 9 pagi.
Kadar ERP memuncak pada $6 dan kali terakhir kadar itu dikenakan ialah sebelum pandemik Covid-19 bermula.
Di PIE arah barat sebelum Eunos, pemandu akan membayar $2, naik daripada $1 dari 8.30 pagi hingga 9 pagi.
Mereka juga akan dikenakan bayaran $1 dari 9 pagi hingga 9.30 pagi.
LTA berkata kadar bagi slot masa dan gantri yang diumumkan sebelum ini akan kekal sama.
Dengan pelarasan ini, bilangan lokasi dan slot masa yang dicaj kekal lebih rendah daripada jumlah yang dikenakan sebelum Covid-19 bermula, tambah agensi itu.