Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:09
Isyak
8:23
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PARLIMEN

Kadar letak jawatan S'pura kekal rendah sepanjang tempoh pandemik

Feb 19, 2022 | 05:30 AM



KADAR peletakan jawatan di Singapura kekal rendah secara konsisten sepanjang tempoh pandemik Covid-19.



Kadar tersebut turun daripada 1.8 peratus pada suku ketiga 2019 kepada 1.6 peratus pada suku ketiga tahun lalu.



Bahkan kadar itu adalah lebih rendah berbanding purata suku tahunan pra-Covid iaitu 1.8 peratus pada 2018 dan 2019.



Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, mendedahkan demikian semalam di parlimen ketika menjawab pertanyaan Encik Yip Hon Weng (Yio Chu Kang) sama ada Singapura turut mengalami gelombang peletakan jawatan seperti di negara-negara lain.



"Ini adalah satu lagi contoh di mana pasaran buruh Singapura telah bertindak balas terhadap Covid-19 secara berbeza daripada ekonomi lain.



"Kita juga telah melihat bahawa kadar pekerjaan bagi wanita dan pekerja tua tidak turun tetapi kekal stabil atau terus meningkat," kata Dr Tan.



Pun begitu, beliau berkata kementeriannya menjangka kadar peletakan jawatan akan meningkat sedang ekonomi pulih dan lebih ramai pekerja mencari peluang lebih baik.



"Ini boleh dijangka dalam pasaran buruh yang berfungsi dengan baik.



"Kami sudah memerhatikan kadar peletakan jawatan yang lebih tinggi dalam sektor pertumbuhan seperti khidmat kewangan, khidmat profesional, maklumat dan perhubungan serta khidmat kesihatan dan sosial, dengan kadar pengambilan kerja juga telah meningkat sejajar," ujar Dr Tan.



Dalam pada itu, Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP), Encik Leon Perera (GRC Aljunied), telah bertanya mengenai lima industri dengan kadar pengangguran jangka panjang tertinggi, serta apa yang dilakukan untuk membantu para penganggur ini.



Dr Tan berkata, industri pengangkutan dan penyimpanan; perkhidmatan pentadbiran dan sokongan; seni, hiburan dan rekreasi; pembinaan, perkhidmatan penginapan dan makanan; dan perkhidmatan hartanah merupakan industri dengan kadar pengangguran jangka panjang tertinggi sehingga Jun 2021.



Industri-industri ini lebih terkesan oleh pandemik Covid-19, jelasnya.



"Bagaimanapun, kadar pengangguran jangka panjang merentasi industri turun naik dari tahun ke tahun, jadi tidak masuk akal untuk memberi tumpuan kepada industri-industri yang di atas sahaja.



"Sebaliknya, kita perlu membantu pekerja di seluruh ekonomi untuk kekal relevan, dan pencari kerja untuk bertukar kepada pekerjaan baru," kata Dr Tan.



Beliau memberi contoh Program Pertukaran Kerjaya (CCP) yang membantu mereka yang sedang mencari pekerjaan mendapatkan kemahiran baru bagi pekerjaan yang mempunyai permintaan tinggi.



Dalam soalan susulan, Encik Perera bertanya sama ada lebih banyak tempat bakal ditetapkan dalam program sedemikian kerana maklum balas yang diterimanya ialah tempat bagi program seperti CCP adalah terhad.



Dr Tan berkata, CCP terhad oleh kebolehan syarikat atau perniagaan yang bekerjasama dengannya untuk menyediakan sumber yang sesuai.



Pun begitu, Tenaga Kerja Singapura (WSG) mempunyai program untuk menambah dan memaksimumkan bilangan CCP yang berkolaborasi dengan syarikat-syarikat.



"Perkara utama ialah untuk mendapatkan minat syarikat-syarikat ini kerana bagi mereka, terutama syarikat lebih kecil, mereka tidak mempunyai keupayaan atau sumber untuk menyertai kami dalam mewujudkan CCP ini," kata Dr Tan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >