Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kekal positif meski diuji barah kolorektal pada usia muda

Jul 26, 2023 | 05:30 AM



Dengan nadanya yang ceria, raut muka yang tenang dan personaliti yang sungguh positif, sukar untuk percaya bahawa Cik Noresah Mohd Yousof, 45 tahun, menanggung derita barah kolorektal, atau usus besar, tahap empat.

Malah, apabila ditanya tentang cabaran yang dihadapinya bertarung dengan penyakit itu, Cik Noresah kerap mengalihkan tumpuan orang yang bertanya kepada pesakit barah lain yang beliau percaya mengalami “keadaan lebih teruk” daripada beliau.

Bagaimanapun, kepahitan yang dirasa apabila dikhabarkan tentang penyakit itu lima tahun lalu tetap tidak dapat dilupakan Cik Noresah, yang pada waktu itu hampir berusia 40 tahun – usia dianggap muda untuk diserang barah kolorektal.

Lelaki dan wanita berusia 50 tahun dan ke atas berisiko lebih tinggi dilanda barah kolorektal.

Namun, sejarah keluarga meningkatkan risiko seseorang menghidap penyakit itu.

Bagi Cik Noresah, lebih 10 anggota keluarga terdekatnya, termasuk datuk, ibu dan mak cik, menghidap barah kolorektal.

“Jadi saya tak rasa terkejut, tapi saya rasa terkesan kerana umur saya masih muda,” ujar beliau, yang terpaksa menjalani pembedahan pada hari sama beliau menerima diagnosis dengan penyakit itu.

Menyingkap pengalamannya, Cik Noresah berkata beliau menyangka sakit perut yang dialaminya hanyalah gastrik biasa.

Namun, setelah pemeriksaan lanjut, doktor mendapati barah menyebabkan usus besar beliau tersumbat.

“Doktor berkata saya perlu dibedah dengan segera. Sekiranya usus saya pecah, ia (barah) akan merebak dan saya boleh kehilangan nyawa,” ujarnya, yang bersyukur kerana menganggap dirinya bernasib baik.

Cik Noresah kemudian berhenti kerja untuk menumpukan perhatian pada rawatan imunoterapi dan kemoterapi yang berjalan kira-kira dua setengah tahun.

Kesan sampingan kemoterapi membuat Cik Noresah berasa lesu, kerap muntah, dan hilang selera makan, tetapi beliau masih kekal positif dan beransur pulih kerana terdapat sokongan kukuh daripada keluarga.

Ibu dua anak itu juga menasihati anak-anaknya supaya menjalani pemeriksaan barah pada usia muda sebagai langkah pengesanan awal memandangkan keluarganya ada sejarah penyakit barah. Namun, beliau tidak memaksa mereka.

Barah kolorektal selalunya bermula sebagai ketumbuhan bukan barah sama ada di usus besar atau rektum (bahagian hujung usus besar yang terhubung dengan dubur) yang boleh dikesan awal dan dikeluarkan sebelum ia berkembang menjadi barah.

Memandangkan barah Cik Noresah masih ‘aktif’, beliau perlu ke hospital sekali dalam tiga bulan hingga kini untuk memeriksa keadaan barahnya dan pada masa yang sama mengesan apakah ada barah baru di bahagian lain tubuhnya.

Kos rawatan barah adalah berat, ujar Cik Noresah. Oleh itu, beliau bersyukur bantuan kewangan daripada Dana Barah Institut Barah Universiti Nasional, Singapura (NCIS) meringankan bebannya.

Suri rumah itu berkata bantuan yang dihulurkan masyarakat memberi sinar harapan kepada pesakit sepertinya kerana ia menunjukkan masyarakat prihatin.

“Saya amat menghargainya kerana dana ini dapat membantu bukan saya sahaja malah ramai pesakit di luar sana,” ujar beliau.

Orang ramai boleh menyumbang kepada usaha mengumpul dana dalam talian Cyclists vs Cancer 2023 bagi membantu pesakit barah.


Derma boleh dibuat di laman giving.sg. Usaha itu dijalankan hingga 30 Ogos.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >