Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Keluarga, tenaga asatizah lebih teguh kunci masyarakat diperkukuh

Penerima Anugerah Jasa Cemerlang, Ustaz Pasuni Maulan, melahirkan harapan bagi perkukuh masyarakat
Aug 13, 2023 | 05:30 AM



Beliau cuba menahan sebak, menutup kesedihannya dengan senyuman sambil ketawa kecil.

Namun, tokoh agama yang dihormati, Ustaz Pasuni Maulan, akhirnya merelakan air matanya mengalir tanpa dibendung apabila mengenang kembali pertemuannya dengan dua anak kecil semasa bertugas sebagai hakim Mahkamah Syariah.

Menceritakan salah satu kes penceraian yang dikendalikannya sebagai hakim, Ustaz Pasuni berkata:

“Saya ingat lagi, si isteri membawa dua anak kecil, mungkin berusia dua dan tiga tahun. Biasanya bagi kes penceraian, kita akan berjumpa pasangan dan sarankan dulu untuk selesaikan di luar mahkamah.

“Selepas berbuat demikian, dah terangkan semuanya, si suami masih berkeras untuk menceraikan isteri.

“Apabila saya lihat anak-anak kecil itu, saya fikirkan apa yang akan mereka alami. Saya terus sebak dan air mata saya jatuh,” katanya, sambil menyapu air matanya semasa ditemu ramah Berita Minggu (BM) baru-baru ini.


Meskipun sudah hampir dua dekad meninggalkan tugasan di Mahkamah Syariah, peristiwa tersebut masih jelas dalam ingatannya.

Rasa sebak setiap kali mengendalikan kes seperti itu dirasakan bukan sahaja apabila memikirkan kesannya terhadap keluarga dan individu tetapi juga kesan keseluruhan terhadap masyarakat.

Pengalaman serta sumbangan yang meluas merentasi institusi berbeza – termasuk melalui sektor masjid, madrasah dan juga pembangunan keluarga – memberikan Ustaz Pasuni perspektif menyeluruh dari segi perkembangan masyarakat serta apa yang diperlukan untuk menghadapi cabaran masa depan.

Khidmat serta sumbangan Ustaz Pasuni – yang juga anggota Majlis Muis – yang meluas diiktiraf apabila beliau menerima Anugerah Jasa Cemerlang Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada Sabtu.

Anugerah tersebut memberi penghormatan kepada individu cemerlang yang membuat sumbangan ketara kepada kehidupan sosio-agama masyarakat Muslim di Singapura.

KELUARGA PERLU TERUS TEGUH HADAPI CABARAN MASA DEPAN

Pembangunan keluarga merupakan antara isu yang dekat di hati Ustaz Pasuni, yang telah berkhidmat sebagai kadi selama lebih lima dekad.

Komitmen ini mendorong beliau menerajui program ‘Bersamamu’, yang menawarkan bimbingan oleh Naib Kadi kepada pasangan sebelum dan hingga dua tahun pernikahan, bertujuan memperkukuh institusi keluarga.

Menurut Ustaz Pasuni, cabaran yang bakal dihadapi keluarga pada masa depan dijangka lebih sukar dan ini memerlukan institusi keluarga untuk berdiri lebih teguh.

“Ia berbalik kepada keluarga, bagaimana keluarga dapat fahami cabaran akan datang, apa persiapan mereka, apa langkah-langkah yang mereka harus ambil jika sesuatu berlaku dalam rumah tangga.

“Kalau tidak, kita akan dengar mak ayah yang suruh anak-anak mereka keluar rumah, tanpa menyedari bahawa di luar itu banyak yang ingin menyambut mereka,” kata Ustaz Pasuni, kini berusia 79 tahun.

Beliau turut melahirkan kekhuatiran berkaitan “pemahaman orang muda” yang lebih liberal dari segi pegangan agama, sikap dan gaya hidup, sambil menambah ini merupakan antara cabaran masa depan yang perlu dihadapi ibu bapa.

Seiringan dengan usaha memperkukuh keluarga, beliau turut menekankan pentingnya memperkukuh keupayaan asatizah Singapura memandangkan ini “cabaran untuk masyarakat dan juga asatizah”.

MEMPERKUKUH TENAGA ASATIZAH

Masyarakat meletakkan harapan ke atas asatizah untuk memimpin mereka dalam menghadapi isu-isu agama, justeru usaha perlu diteruskan dalam memperkukuh tenaga asatizah di sini, kata Ustaz Pasuni.

Beliau terlibat dalam Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB) sejak 2007 dan dilantik sebagai pengerusi ARB pada 2023.

Ustaz Pasuni juga memainkan peranan penting dalam melakar Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) yang bertujuan mempertingkat mutu asatizah setempat yang berkuat kuasa pada 2017.

Beliau berkata, asatizah perlu dilengkapkan dengan pengetahuan mengikut peredaran zaman, termasuk bidang pengetahuan baru seperti ‘cryptocurrency’ dan kecerdasan buatan (AI).

“Asatizah perlu fahami hal-hal ini kerana mereka berada di barisan hadapan. Kalau mereka ditanya oleh jemaah di masjid, mereka tak boleh katakan ‘saya tak tahu’.

“Kalau mereka berkata seperti itu, guru agama seperti ini tak produktif nak membimbing masyarakat,” ujarnya.

Meskipun akur pelbagai usaha telah dilakukan ARB dan Muis bagi mempertingkat keupayaan asatizah dan juga sektor agama, Ustaz Pasuni akui usaha perlu terus dipertingkat.

Ustaz Pasuni, yang kini berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Madrasah Aljunied sejak 1995, berharap madrasah setempat dapat terus memenuhi visi untuk melahirkan ulama bertaraf antarabangsa yang amat diperlukan masyarakat.

“Apabila di akhir pengajian, (pelajar madrasah) pilih ‘channel’ lain, bidang lain.

“Ini mungkin kerana minat mereka, tapi ia juga mungkin ada kaitan dengan pulangan yang mereka jangkakan dalam sektor itu,” ujarnya.

Beliau berkata ini merupakan satu cabaran yang perlu terus diatasi, untuk memastikan sektor agama bersaing dengan majikan lain.

“Dapatkah kita bersaing dengan mereka dalam menarik asatizah untuk kekal dalam bidang ini?

“Ini kerana (pendapatan bidang lain) lebih lumayan berbanding bekerja di madrasah; meskipun sudah dinaikkan, aras pemulaan gaji tak dapat tandingi mereka,” kata Ustaz Pasuni yang mendapat pendidikan awal di Madrasah Aljunied Al-Islamiah dan lulusan Kolej Islam Klang.

“Mungkin ini sesuatu yang akan terus difikirkan dan diatasi (pemimpin) generasi akan datang. Saya tinggal tidak berapa lama saja lagi,” katanya, ketawa.

Dalam meneruskan usaha mempertingkat sektor agama, Muis telah memperuntuk tempoh tiga tahun, mulai 2023, bagi menaikkan secara berperingkat gaji asatizah di madrasah dan masjid selaras dengan pelaksanaan Garis Panduan Gaji Umum (CSG).

CSG merupakan antara saranan yang dikemukakan Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (Cofa) pada 2019.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >