Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kempen saat akhir sebelum Hari Bertenang

Calon Presiden dilarang berkempen seperti keluarkan iklan pilihan raya, bertemu warga, mulai Hari Bertenang, sehingga 8 malam pada Hari Mengundi
Aug 31, 2023 | 05:30 AM



Hari ini merupakan Hari Bertenang dan selepas sembilan hari berkempen, ketiga-ketiga calon Presiden menghentikan semua kegiatan mendekati rakyat menjelang Hari Mengundi pada Jumaat.

Menurut Jabatan Pilihan Raya (ELD), Encik Ng Kok Song, Encik Tharman Shanmugaratnam dan Encik Tan Kin Lian tidak dibenarkan berkempen pada Hari Bertenang.

Mereka tidak boleh mengeluarkan iklan pilihan raya, sama ada berbayar atau tidak, serta bertemu dengan warga pada Khamis.

Hari Bertenang, yang jatuh satu hari sebelum Hari Mengundi, merupakan tempoh untuk memberi masa kepada pengundi memikirkan pilihan mereka, kata ELD dalam kenyataannya pada Rabu.

Rabu merupakan hari terakhir ketiga-tiga calon Presiden berkempen sejak Hari Penamaan Calon pada 22 Ogos.

Bagi Encik Ng, 75 tahun, beliau meluangkan hari terakhir berkempen dengan melawat Kampung Hainan Hougang, Biara Foo Hai Ch’an, dan Sengkang Kopitiam Square untuk berinteraksi dengan penduduk di kawasan masing-masing.

Ketika bercakap dengan pihak media, mantan ketua pegawai pelaburan GIC itu berkata beliau mengambil langkah berjaga-jaga tambahan.

Ini susulan lawatannya ke Clementi pada Selasa di mana seseorang lelaki melemparkan kata-kata kesat kepadanya.

Lelaki itu telah dibawa ke Institut Kesihatan Mental (IMH) selepas dia sendiri pergi ke balai polis untuk membuat laporan tentang insiden itu.

“Saya meminta pasukan kempen saya untuk mempunyai lebih ramai orang yang boleh menjaga keselamatan. Saya telah dilindungi dengan baik oleh beberapa kakitangan keselamatan saya,” ujar Encik Ng.

Mantan Menteri Kanan, Encik Tharman, 66 tahun, melawat Kelab Lawan Pedang Legends yang terletak di Shenton Way di mana beliau mengadakan dialog tertutup dengan beberapa atlet setempat, termasuk pemain badminton nombor satu negara, Loh Kean Yew, petinju profesional seni bela diri campuran (MMA), Amir Khan, serta adik-beradik perenang Quah Ting Wen dan Quah Zheng Wen.

Mantan ketua pegawai eksekutif NTUC Income, Encik Tan Kin Lian, 75 tahun, pula mendekati warga Hougang selepas bercakap dengan pihak media di luar Hougang Mall.

Pasukannya, bersama-sama sukarelawan yang daripada orang awam, berpecah untuk pergi ke kawasan kejiranan yang berbeza dan mengedarkan risalah kempennya.

Semasa bercakap dengan pihak media, Encik Tan menegaskan bahawa Dr Tan Cheng Bock dan Encik Tan Jee Say menyokong beliau “dalam kapasiti peribadi mereka dan bukannya sebagai wakil parti politik yang mereka dikaitkan.”

Dr Tan ialah Pengerusi Parti Kemajuan Singapura (PSP), manakala Encik Tan sebelum ini pernah menyertai Parti Demokratik Singapura (SDP) dan kemudian menubuhkan Parti Singaporeans First (SingFirst atau Warga Diutamakan).

“Kami berkongsi visi yang sama tentang seorang Presiden yang bebas daripada pemerintah. Mereka berdua adalah orang terhormat yang mengutamakan negara sebelum diri mereka sendiri,” kata Encik Tan.

Hari terakhir berkempen juga bertepatan dengan Siaran Calon Presiden kedua yang disiarkan di saluran televisyen dan radio, yang memberi platform kepada ketiga-tiga calon mendekati penyokong.

Encik Ng berkata kepimpinan pemerintah akan mengalami perubahan generasi dalam beberapa tahun akan datang dan akan terdapat ketidakpastian dan risiko pada semua peralihan.

Dalam menghadapi risiko yang semakin meningkat, Singapura tidak mampu mempunyai Presiden yang mungkin bergantung pada parti politik yang menyokong pencalonan mereka dan membantu mereka agar dipilih, tambahnya.

Encik Tharman pula berkata, beliau tidak pernah mempunyai motif untuk berpatisan dalam politik.

Sebaliknya, Encik Tharman berkata beliau telah memainkan peranan aktif dalam peralihan dasar-dasar pemerintah untuk menyediakan lebih banyak bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik, bagi meningkatkan mutu pekerjaan dan gaji pekerja berpendapatan rendah, dan meningkatkan jaminan persaraan untuk warga senja.

“Keutamaan saya selama ini tidak pernah untuk berat sebelah kepada mana-mana parti politik, sepertimana yang diketahui mereka yang mengenali saya dan sedar akan tugas yang saya lakukan, di dalam dan di luar pemerintah.

“Jika saya berat sebelah, saya berat sebelah kepada (mewujudkan) peluang dan sokongan yang lebih baik bagi warga Singapura yang kurang bernasib baik,” katanya.

Encik Tan pula berkata beliau sedar bahawa Presiden tidak mempunyai kuasa eksekutif tetapi beliau ingin menggunakan pengaruh dan prestij pejabat Presiden untuk bekerjasama dengan pemerintah untuk memudahkan kehidupan warga Singapura.

Jika dipilih Presiden, mantan ketua pegawai eksekutif NTUC Income itu berkata beliau akan memperjuangkan kesejahteraan rakyat Singapura dan sentiasa meletakkan keperluan rakyat mengatasi keperluan diri sendiri.

Pada Hari Mengundi, pengundi harus mengelak daripada memakai pakaian dengan imej atau membawa barang-barang ke pusat mengundi yang boleh ditafsirkan sebagai mempengaruhi pengundi lain atau menyokong mana-mana calon, kata ELD.

Ini termasuk baju, pakaian, beg atau lencana yang mempunyai cetakan sama atau hampir menyerupai simbol yang diperuntukkan calon Presiden, atau mengandungi perkataan yang boleh ditafsirkan sebagai menunjukkan sokongan kepada mana-mana calon.

“Jika mereka (pengundi) berbuat demikian, mereka mungkin disuruh keluar oleh pegawai pilihan raya di pusat mengundi,” kata ELD.

Warga Singapura akan mengundi untuk Presiden kesembilan negara pada Jumaat (1 September) yang merupakan cuti umum.

Dalam kenyataan berasingan, polis menasihatkan pengundi supaya menaiki pengangkutan awam atau berjalan ke pusat mengundi pada Hari Mengundi.

Polis juga berkata pemandu tidak dibenarkan meletak kereta di dalam premis pusat mengundi yang terletak di tempat seperti sekolah dan kelab masyarakat.

Laporan Lanjut Pilihan Raya Presiden di Muka 6-7




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >