Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Tharman: Penglibatan dalam politik jadi kelebihan ‘unik’ berbanding calon lain

Aug 30, 2023 | 07:36 PM



Tempoh dua dekad mendekati penduduk dan menyumbang kepada pembentukan dasar nasional ke arah masyarakat lebih inklusif dan adil menerusi penglibatan dalam politik memberikannya kelebihan “unik” berbanding calon lain dalam Pilihan Raya Presiden 2023.

Berkata demikian semasa menyampaikan perutusannya dalam siaran calon presiden kedua pada Rabu, Encik Tharman Shanmugaratnam menambah keutamaannya dalam politik tidak pernah “berat sebelah” terhadap mana-mana parti politik.

Mengulas kenyataannya itu dengan menyentuh dorongan di sebalik penglibatannya dalam arena politik, Encik Tharman berkata:

“Saya ingin berkhidmat secara aktif kepada warga, serta untuk membentuk dasar secara langsung ke arah masyarakat yang lebih adil dan inklusif.

“Keutamaan saya selama ini tidak pernah untuk berat sebelah kepada mana-mana parti politik, sepertimana yang diketahui mereka yang mengenali saya dan sedar akan tugas yang saya lakukan, di dalam dan di luar pemerintah.

“Jika saya berat sebelah, saya berat sebelah kepada (mewujudkan) peluang dan sokongan yang lebih baik bagi warga Singapura yang kurang bernasib baik,” kata mantan menteri kanan itu dalam menyampaikan mesej kempennya yang disiarkan di televisyen dan radio.

Siaran politik pada Rabu itu dimulakan Encik Tan Kin Lian, disusuli Encik Tharman dan kemudian Encik Ng Kok Song.

Sebelum itu, setiap calon presiden juga telah menyampaikan mesej kempen mereka melalui siaran politik pertama pada 24 Ogos.

Menurut Encik Tharman, melalui penglibatannya dalam politik, beliau telah memainkan peranan aktif dalam menggubal dasar pemerintah demi memberikan sokongan lebih tinggi kepada golongan kurang bernasib baik, mempertingkat mutu pekerjaan dan gaji pekerja bergaji rendah, serta membantu warga emas bersara dengan tenang.

Peluang berkhidmat mendekati warga Singapura dan membentuk masyarakat yang lebih adil dan inklusif serta memastikan nama Singapura terus diiktiraf di peringkat dunia merupakan satu penghormatan, kata Encik Tharman.

“Saya membawa pengalaman yang meluas dan mendalam, yang saya perlu katakan dengan rendah diri, merupakan (ciri) unik dalam kalangan calon Pilihan Raya Presiden ini,” kata Encik Tharman.

Menurutnya lagi, pengalaman itu membentuk pemahaman meluas “yang tidak dapat ditandingi calon lain” dari segi bidang kuasa Presiden yang kritikal, termasuk dalam menjaga rizab negara serta pelantikan jawatan penting dalam perkhidmatan awam.

“Secara ringkas, saya mengenali sistem rizab negara secara keseluruhan. Yang lebih penting bagi Presiden adalah memahami bagaimana rizab boleh dipelihara dan digunakan pemerintah.

“Peranan utama yang perlu difahami Presiden apabila memegang ‘kunci kedua’ rizab negara adalah untuk memastikan dasar perbelanjaan pemerintah dan agensi awam lain tidak membawa ke arah penyalahgunaan rizab negara,” ujar Encik Tharman.

Beliau sebelum ini telah memainkan peranan sebagai Pengerusi Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan juga Pengerusi Jawatankuasa Strategi Pelaburan GIC.

Encik Tharman juga pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dari 2007 hingga 2015.

Pengalamannya itu membentuk pemahaman mendalam berkaitan cara terbaik memelihara rizab negara untuk memastikan “generasi warga Singapura hari ini dan juga masa depan dapat meraih manfaat”.

Dalam mesejnya itu, Encik Tharman turut menggesa warga Singapura supaya mengutamakan kestabilan dalam memikirkan masa depan Singapura bersama.

Katanya: “Pilihan Raya Presiden ini adalah mengenai masa depan bersama kita sebagai warga Singapura.

“Saya menyeru setiap warga supaya mengundi saya pada Jumaat: sebagai undian untuk masa depan yang stabil, masa depan di mana setiap generasi rasa bertuah sebagai warga Singapura dan masa depan perpaduan yang lebih mendalam di kalangan kita.”

Encik Tharman menambah, beliau yakin dapat berkhidmat dengan baik sebagai Presiden yang berdiri bebas daripada pemerintah dan politik sedang Singapura melangkah ke arah masa depan yang baru dan lebih kompleks. – SITI AISYAH NORDIN




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >