Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kemurungan boleh dirawat walau serius

Jul 10, 2023 | 05:30 AM



Kemurungan adalah antara gangguan mental yang kerap belaku.

Dianggarkan 280 juta orang di seluruh dunia atau sekitar 5 peratus daripada orang dewasa mengalami kemurungan.

Ia merupakan salah satu punca utama di sebalik seseorang itu menjadi kurang upaya.

Secara umum, kemurungan didapati lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita berbanding lelaki.

Menurut Kajian Kesihatan Mental Singapura (2016), kelaziman berlakunya kemurungan dalam jangka hayat di sini ialah sekitar 6.3 peratus.

Ini bermakna kira-kira seorang daripada 16 orang dewasa di Singapura mempunyai gejala yang konsisten dengan kemurungan.

Dalam kalangan masyarakat Melayu, kajian mendapati kelaziman berlakunya kemurungan dalam jangka hayat di sini adalah 4.9 peratus dan ini konsisten dengan peratusan di peringkat sejagat.

Adalah penting untuk mengetahui bahawa kemurungan boleh menjejas sesiapa sahaja tanpa mengira usia, jantina, bangsa atau status sosioekonomi.

Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada kemurungan termasuk faktor biologi, psikologi dan sosial.

Sesetengah penyakit seperti tiroid atau masalah gangguan kepada otak pada awalnya boleh kelihatan seperti gejala kemurungan, manakala sesetengah individu mengalami kemurungan kerana kurang upaya untuk menghadapi cabaran kehidupan.

Mereka juga mungkin mengalami musibah atau bencana hidup yang tidak dijangka seperti:

– Kehilangan orang tersayang termasuk ibu bapa, pasangan, adik-beradik, anak, haiwan peliharaan atau kawan rapat;

– Kehilangan pekerjaan; atau

– Diberitahu menghidap penyakit serius.

Individu yang mempunyai sejarah keluarga dengan masalah kemurungan dan yang menghidapi penyakit kronik serius mempunyai risiko lebih tinggi mengalami kemurungan.

Wanita hamil atau baru bersalin juga berisiko lebih tinggi mengalami kemurungan berbanding penduduk umum.

Perasaan mereka harus dipantau teliti sewaktu mengandung dan enam bulan selepas bersalin.

Kemurungan boleh memberi kesan besar dalam kehidupan seseorang.

Ia boleh menjejas kesihatan fizikal, selain tahap seseorang itu mengekalkan gaya hidup seimbang, perhubungan dengan masyarakat sekeliling terutamanya dengan keluarga rapat dan rakan sekerja, prestasi di tempat kerja serta keupayaan menumpukan perhatian secukupnya di sekolah.

Adalah penting untuk mengetahui bahawa kemurungan adalah penyakit yang boleh dirawat dan matlamat rawatan ialah untuk memulihkan sepenuhnya.

Terdapat pelbagai rawatan berkesan termasuk ubat-ubatan, psikoterapi dan perubahan gaya hidup.

Bagi kemurungan yang gejalanya ringan, rawatan boleh diperolehi daripada doktor awam (GP) tanpa merujuk kepada pakar psikiatri.

Jenis kemurungan ringan boleh dirawat dengan baik melalui perubahan kepada jadual harian, senaman fizikal, peningkatan sokongan sosial dan psikoterapi.

Di beberapa poliklinik, perkhidmatan psikologi ditawarkan oleh pakar psikologi terlatih, dan ubat mengekang kemurungan boleh ditetapkan oleh GP.

Hanya kes yang lebih mencabar dan yang memerlukan penjagaan lebih rumit perlu dirujuk kepada pakar psikiatri.

Jika anda berpendapat anda atau kenalan anda mungkin mengalami kemurungan, adalah penting untuk mendapatkan bantuan profesional lebih awal.

Bagi kemurungan, Kajian Kesihatan Mental Singapura mendapati orang ramai lebih bersedia mendapatkan bantuan awal berbanding sebelum ini.

Pada 2010, median jurang rawatan ialah empat tahun – daripada awal diagnosis. Tapi pada 2016, ia berkurangan kepada setahun saja – petanda pesakit mendapatkan rawatan segera.

Mendapatkan bantuan kemurungan kini lebih lazim berbanding ketika saya mula bekerja dalam bidang kesihatan mental lebih sedekad lalu.

Saya melihat lebih ramai pesakit dan karyawan muda bersedia dan bersikap terbuka mendapatkan bantuan bagi keperluan kesihatan mental mereka, sama ada untuk terapi individu atau melalui ubat-ubatan.

Kemurungan adalah penyakit serius tetapi ia boleh dirawat secara berkesan bagi memperkuat kesihatan mental.

Penulis seorang Konsultan Psikiatri dan Pengarah Perubatan di The Starfish Clinic of Psychiatry & Mental Wellness.


Tahap gejala kemurungan boleh bermula daripada ringan hingga teruk

Antara gejala kemurungan termasuk:

– Kesedihan dalam kebanyakan hari dalam seminggu;

– Hilang minat dalam kegiatan yang biasanya dinikmati, atau tidak berupaya untuk berseronok;

– Perubahan selera makan atau berat badan;

– Sukar tidur atau terlalu banyak tidur.

– Kurang tenaga atau selalu rasa letih

– Sukar tumpukan perhatian atau membuat keputusan

– Sentiasa bersikap negatif, rasa bersalah dan tidak bernilai tentang banyak perkara dalam hidup, atau meningkatnya rasa gelisah apabila bertindak balas dengan orang lain

– Memikirkan tentang kematian, rasa putus asa untuk hidup atau keinginan bunuh diri




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >