Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Keseimbangan lebih baik bagi wanita usaha berterusan: Puan Halimah

Nov 05, 2023 | 04:46 PM



Usaha memastikan keseimbangan tanggungjawab yang lebih baik di rumah bagi wanita masih perlu digiatkan, kata mantan Presiden Halimah Yacob.

Ini sedang peranan yang digalas wanita hari ini semakin berubah dan lebih kompleks, menyebabkan mereka terdedah kepada tekanan yang lebih banyak.

Puan Halimah berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama pada majlis Hari Penghargaan Wanita Darul Arqam Singapura 2023 pada Ahad di Aloft Singapore Novena.


Majlis itu, yang julung-julung kalinya diadakan Darul Arqam, meraikan sumbangan sukarelawan kepada persatuan saudara baru itu dan masyarakat secara am. Seramai 14 sukarelawan diiktiraf dalam majlis tersebut.

Puan Halimah berkata ramai wanita juga yang menggalas tanggungjawab sebagai pengasuh atau penjaga di rumah, termasuk bagi ahli keluarga yang sakit.

“Ini boleh memberikan tekanan hebat kepada mereka. Bahkan apabila penjaga sedemikian meningkat usia, semakin sukar bagi mereka dan keupayaan mereka menjaga orang tersayang semakin berkurangan,” ujar beliau.

Oleh itu, adalah penting masyarakat mengakui perkara ini dan memberi sokongan kepada mereka.

Dalam konteks hari ini, dengan lebih ramai wanita keluar bekerja, sedikit sebanyak peranan wanita telah berubah secara besar-besaran kerana mereka juga perlu mengimbangi peranan mereka di tempat kerja, ujarnya.

Daripada perangkaan terkini yang dikongsi Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang, di Parlimen pada Januari 2022, kadar pekerjaan wanita dalam kalangan warga Singapura meningkat kepada 57.7 peratus pada 2020 daripada 54 peratus pada 2010.

Ini bermakna hampir enam dalam 10 wanita Singapura bekerjaya.

Puan Halimah juga menggesa wanita supaya jangan berasa janggal untuk meminta bantuan daripada anggota keluarga yang lain.

Selain itu, beliau menegaskan peri penting menyemai sikap bertanggungjawab dalam diri anak-anak dari usia kecil bagi membina daya tahan mereka.

Beliau memberi contoh kisah seorang budak perempuan dimarahi ibunya apabila mengemas katilnya kerana pada si ibu, ia merupakan tugas pembantu rumah mereka.

“Jika kita ingin membina daya tahan dan kekuatan moral dalam golongan muda kita yang akan membawa mereka melalui liku-liku kehidupan, (ini) bukanlah cara terbaik,” ujar Puan Halimah.

Sungguhpun demikian, beliau menjelaskan kesedaran dan fokus terhadap kesihatan mental semakin meningkat tetapi stigma yang terkait dengan kesihatan mental perlu diperhalusi.


Berkongsi kepada pihak media selepas acara, Puan Halimah berkata: “Saya rasa kita telah orak langkah yang jauh dalam beberapa tahun sejak kebelakangan ini, tetapi kita perlu lakukan lebih banyak lagi kerana jelas stigma masih ada dan ia sangat mendalam. Di sinilah kita perlu sentiasa berusaha (memperhalusinya).”


Di majlis itu, Darul Arqam turut menyerahkan cek bernilai $20,000 sebagai sumbangan kepada Yayasan Warisan Melayu (MHF) bagi membeli lukisan The Heritage, karya pelukis tempatan Encik Mohammad Shahril Selamat.


Lukisan tersebut dilukis di pelancaran Hari Warisan anjuran MHF pada 2021, dengan Puan Halimah, yang merupakan Presiden Singapura ketika itu, memberi hias penyudah pada lukisan itu.

Sumbangan Darul Arqam itu bertujuan membantu MHF dalam program kemasyarakatan dan pendidikannya.

Turut diadakan pada majlis itu ialah forum bertajuk Memupuk Daya Tahan dan Kesejahteraan: Pengemudian Kesihatan Mental dalam Landskap Singapura yang Pelbagai, dengan Tumpuan pada Wanita.


Panelis forum itu ialah pengasas bersama Club Heal, Dr Bibi Jan Ayyub; pakar kesihatan mental, Cik Roszian Roslan; dan pengasas pusat pendidikan Islam ILMHUB, Ustazah Shameem Sultanah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >