Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kos sara hidup: Mengapa harga semakin naik?

Sep 30, 2023 | 05:30 AM



Mungkin ada rakyat Singapura yang berasa kos sara hidup di negara ini telah meningkat dan akan terus meningkat dalam beberapa bulan akan datang.

Ini meskipun kadar inflasi di Singapura, walaupun masih tinggi, telah menunjukkan tanda-tanda reda di samping pertumbuhan ekonomi yang lembab.

“Bagi rakyat biasa, banyak harga barangan masih lebih tinggi berbanding tempoh prapandemik walaupun kadar pertumbuhan harga telah menjadi sederhana. Jadi, isu kos sara hidup kekal utama di pemikiran orang ramai,” kata Cik Selina Ling, Ketua Ekonomi selaku Ketua Penyelidikan dan Strategi Kewangan OCBC.

Daripada harga makanan, tambang pengangkutan awam, harga air, elektrik dan gas – sehinggalah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan cukai karbon yang bakal naik pada 2024 – rakyat Singapura terpaksa hadapi kos kenaikan harga lebih tinggi.

Bagaimanapun, adalah penting untuk memahami mengapa kos barangan tertentu meningkat, sama ada disebabkan oleh dasar pemerintah ataupun disebabkan kuasa di luar kawalan pemerintah.

“Di Singapura, kebanyakan perkara yang menyebabkan kenaikan kos sara hidup adalah di luar kawalan langsung pemerintah atau ekonomi tempatan. Ini kerana pada asasnya, kebanyakan input (barangan dan keperluan) utama diimport dan oleh itu perubahan dalam harga pasaran global untuk makanan, tenaga, dan sebagainya, dihantar kepada Singapura secara langsung,” kata pakar ekonomi, Profesor Madya Walter Theseira, dari Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

Dasar seperti keperluan untuk meningkatkan GST adalah penting untuk memastikan Singapura berada dalam kedudukan fiskal yang stabil dan mampan, tetapi malangnya, masih ramai yang melihatnya sebagai punca inflasi lebih tinggi.

“Kenaikan GST sebanyak 1 peratus tidak boleh menyebabkan lebih daripada 1 peratus kenaikan inflasi, dan sebenarnya pakar-pakar akan setuju ia berkemungkinan menyebabkan kurang daripada 1 peratus kenaikan harga, kerana sebahagian daripada kenaikan itu dikongsi oleh penjual.

“Sebab mengapa terdapat tanggapan popular kenaikan GST menyebabkan kenaikan lebih daripada 1 peratus adalah sangat mudah – peruncit mengambil kesempatan daripada kenaikan GST untuk menaikkan harga, kerana adalah lebih baik perniagaan menyalahkan kenaikan harga ke atas GST,” tambahnya.

Harga Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) juga telah meningkat minggu lalu dengan harga kereta lebih besar dan lebih berkuasa, serta untuk kategori terbuka mencatat rekod mencecah paras $140,000 buat kali pertama.

Harga jualan semula perumahan juga meningkat, dengan harga jualan semula flat HDB naik 0.6 peratus manakala harga jualan semula kondo naik 1 peratus pada Ogos.

Meskipun kenaikan harga ini sebahagian besarnya disebabkan oleh kuasa pasaran, dan bukan disebabkan campur tangan pemerintah, terdapat tanggapan ia telah meningkatkan inflasi dan menjejas isi rumah.

“Bagi pengguna yang sudah memiliki kenderaan sendiri, kenaikan COE tidak meningkatkan perbelanjaan mereka, malah meningkatkan nilai pasaran kenderaan mereka. Begitu juga dengan isi rumah yang sudah memiliki rumah sendiri.

“Justeru, walaupun harga tinggi, kesan sebenar kepada isi rumah terhad kepada mereka yang baru ingin membeli kereta atau rumah. Ini adalah sebahagian kecil daripada penduduk,” kata Dr Theseira.

Meskipun demikian, beberapa pemerhati yang bercakap dengan Berita Harian bersetuju lebih banyak bantuan harus dihulurkan oleh pemerintah untuk menangani kenaikan kos bagi harga air, cukai karbon, GST dan juga harga elektrik.


Mereka menambah subsidi, pembayaran tunai dan sokongan oleh pemerintah mesti disasarkan dan tidak membawa kepada pembaziran, dan lebih banyak usaha diperlukan untuk menjelaskan secara berterusan rasional di sebalik beberapa dasar ini sementara pemerintah kekal berhemat dalam perbelanjaannya.

“Mesti ada isyarat yang betul bahawa pembaziran berada pada tahap minimum, dan bantuan disalurkan kepada keperluan masyarakat yang sesuai. Ini juga bermakna mengurangkan acara sosial yang tidak perlu, dan bersedia memberi tumpuan kepada membantu secara langsung golongan yang memerlukan tanpa sebarang rentetan atau syarat,” kata Zamil Kanan yang juga Penyelaras bagi Program Pengajian Budaya dan Sosial Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat.

Selaras dengan itu, Ketua Kajian Forex Pasaran Global Kumpulan Maybank, Encik Saktiandi Supaat, berkata subsidi semasa dan sokongan pemerintah disasarkan untuk membantu warga emas dan kumpulan berpendapatan rendah yang mungkin terjejas oleh kenaikan harga.

“Beberapa subsidi dan pemindahan juga diberikan secara menyeluruh seperti baucar CDC yang ditujukan untuk semua isi rumah. Dalam kes kenaikan GST, pakej offset (pengimbang) bertujuan untuk membantu keluarga dan keluarga berpendapatan rendah mengimbangi kenaikan tersebut sehingga beberapa tahun.


“Cara terbaik untuk mengurangkan inflasi, yang didorong oleh faktor global yang mungkin pada kebanyakan masa berada di luar kawalan Singapura, adalah untuk memastikan segmen penduduk yang produktif terus bekerja dan mempunyai peningkatan yang baik dalam gaji median (pertengahan),” kata Encik Saktiandi, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh.

Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) juga sedang beusaha untuk membantu pekerja meningkatkan kemahiran mereka demi untuk mengharungi cabaran inflasi dan kos sara hidup yang tinggi.

Salah satu contoh adalah dengan bekerjasama dengan syarikat untuk menggalak pekerja menjalani latihan kemahiran diri.

“Di NTUC, kami percaya bahawa untuk menangani peningkatan kos sara hidup, adalah penting pekerja kami dapat mengekalkan pekerjaan mereka dan memperoleh gaji yang lebih baik.

“Untuk memudahkan ini, NTUC telah menyokong pekerja dalam meningkatkan kemahiran mereka, memastikan mereka bersedia dan berdaya tahan untuk merebut peluang baru dan memperoleh prospek kerja yang lebih baik dalam ekonomi yang sedang berkembang,” kata Timbalan Setiausaha Agung NTUC, Encik Desmond Tan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >